Media Release

1 · Sep · 2020
PCG dan PT AKR Berganding Bahu dalam Mengedarkan Bahan Kimia di Indonesia
Kuala Lumpur/Jakarta, 1 September 2020 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) akan bekerjasama dengan PT AKR Corporindo Tbk (PT AKR) bagi mengedarkan bahan kimia di seluruh Indonesia. Syarikat usaha sama akan ditubuhkan oleh anak syarikat PCG dan PT AKR untuk tujuan ini.
 
 

PETRONAS PCG and PT AKR

 
 
PT AKR Corporindo Tbk adalah syarikat logistik dan rangkaian bekalan Indonesia yang terlibat dalam perdagangan dan pengedaran petroleum dan bahan kimia asas. Dengan rangkaiannya yang luas, PT AKR terlibat dengan aktiviti penyimpanan pukal cair dan pukal kering, kemudahan pengangkutan, dan operasi pelabuhan.
 
PETRONAS Chemicals Marketing Sdn Bhd (PC Marketing), anak syarikat PCG dan PT AKR Niaga Indonesia (PT ANI), anak syarikat PT AKR baru-baru ini telah menandatangani perjanjian bagi memeterai usaha sama itu. Menandatangani bagi pihak PC Marketing ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Shakeel Ahmad Khan, sementara PT ANI diwakili oleh para Pengarahnya, Cik Mery Sofi dan Cik Nery Polim. Turut hadir bagi menyaksikan upacara yang telah berlangsung secara maya di Kuala Lumpur dan Jakarta secara serentak itu adalah Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif (MD / CEO) PCG, Datuk Sazali Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Presiden PT AKR, Encik Haryanto Adikoesoemo.
 
Kerjasama ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua buah syarikat bagi membawa nilai yang lebih besar kepada Indonesia. Pada masa yang sama, PCG dan PT AKR akan bekerjasama untuk memberikan penyelesaian pelanggan yang inovatif bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan. Metanol akan menjadi produk pertama yang diedarkan kepada pelanggan di Indonesia.
 
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Datuk Sazali Hamzah berkata, “Asia Tenggara adalah pasaran penting bagi kami. Mempunyai rakan tempatan yang mapan di Indonesia dengan infrastruktur logistik dan kehadiran pasaran yang kukuh akan membolehkan kami mengembangkan rangkaian serta melayani pelanggan dengan lebih berkesan. Pengalaman PT AKR dalam memenuhi keperluan pasaran metanol turut memberikan perhubungan bersinergi kepada PCG. Selain mengedarkan metanol, kami juga berhasrat untuk memperluas rangkaian kimia bagi merangkumi produk kimia lain pada masa akan datang."
 
Turut menjelaskan tentang usaha sama itu, Encik Haryanto Adikoesoemo berkata,“Kami teruja dapat bekerjasama dengan salah satu pengeluar bahan kimia bersepadu terbesar di Asia Tenggara. Kerjasama kami dengan PCG menandakan langkah penting dalam strategi pengembangan kami serta memperkukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu pengedar petroleum dan bahan kimia utama di Indonesia. PT AKR dengan pengalaman lebih daripada enam dekad dalam menyediakan penyelesaian logistik dan rangkaian bekalan, lengkap dengan infrastruktur seperti pelabuhan laut, pelabuhan sungai, terminal dan rangkaian pemasaran bersedia untuk menyokong usaha sama ini. Kami yakin, bersama-sama kami mempunyai kemampuan yang besar dalam memberikan penyelesaian inovatif bernilai tinggi kepada pelanggan di seluruh Indonesia."
 
 
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
 
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Kami merupakan pengendali loji bersepadu bertaraf dunia daripada pengeluaran bahan mentah sehingga kepada produk hiliran. Dengan jumlah kapasiti sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan kami melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk bahan kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta produk bahan kimia dan derivatif asas. Disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad dengan pengalaman selama tiga dekad di dalam industri petrokimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
 
PCG adalah antara 10 syarikat daripada 200 syarikat terbesar mengikut permodalan pasaran, yang tersenarai dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM). Kami terus komited untuk memastikan amalan perniagaan kami adalah selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG).
 
 
Mengenai PT AKR Corporindo Tbk
 
PT AKR Corporindo Tbk (PT AKR) secara rasmi ditubuhkan di Surabaya pada tahun 1977 dan disenaraikan di Bursa Saham Indonesia pada tahun 1994. PT AKR adalah penyedia penyelesaian rantaian bekalan bersepadu terunggul di Indonesia dan pengedar petroleum dan bahan kimia asas sektor swasta terbesar. PT AKR adalah salah satu pengedar utama bahan kimia asas, melayani pelbagai sektor ekonomi Indonesia menyediakan penyelesaian nilai tambah untuk keperluan bahan mentah pelanggan, dengan hubungan lama dengan prinsipal antarabangsa. Syarikat ini juga merupakan pengedar sektor Petroleum dari sektor swasta terbesar yang membekalkan ke sektor Perindustrian, perlombongan, perladangan dan lain-lain dan merupakan satu-satunya syarikat swasta yang dilantik oleh Pemerintah Indonesia untuk mengedarkan petroleum runcit bersubsidi; kini bekerjasama dengan bp, membuka stesen minyak tanpa subsidi, memulakan operasi bahan bakar penerbangan dan perniagaan pelincir. Melalui sejumlah anak syarikat, yang diperintahnya, Syarikat ini juga beroperasi di bidang perkhidmatan logistik dan pembuatan.
 
 
Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:
 
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
 
 
Suresh Vembu
Pengarah & Setiausaha Korporat
PT AKR Corporindo Tbk
M : (62) 8129211640
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.