Media Release

27 · May · 2021
PCG Mencatatkan Keuntungan Kukuh Sebanyak RM1.5 Bilion Pada 1Q2021 Didorong Oleh Permintaan dan Pemulihan Harga
Kuala Lumpur, 27 Mei – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan lonjakan pada keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.5 bilion dalam suku pertama tahun 2021 (1Q 2021), menunjukkan tiga kali ganda pertumbuhan berbanding pendapatan Kumpulan pada 1Q 2020 dan juga 4Q 2020. Prestasi yang sangat kukuh itu sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh peningkatan harga minyak mentah dan petrokimia yang didorong oleh pemulihan permintaan global serta gangguan bekalan. 

 

Sorotan utama 1Q 2021 berbanding 1Q 2020 

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 20% kepada RM4.7 bilion berikutan kenaikan ketara dalam harga purata produk, disokong oleh permintaan tinggi dan persekitaran bekalan yang ketat.
  • Hasil penyebaran produk yang lebih tinggi meningkatkan margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) kepada 36% (1Q 2020: 20%). 
  • EBITDA meningkat kepada RM1.7 bilion (1Q 2020: RM764 juta) sejajar dengan pemulihan margin. Keuntungan selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada RM1.5 bilion (1Q 2020: RM493 juta). 
  • Operasi kekal kukuh pada 1Q 2021 dengan jumlah jualan setanding 1Q 2020, dengan kadar penggunaan loji 90% (1Q 2020: 94%) disebabkan beberapa aktiviti penyelenggaraan loji dan pemulihan statutori.

 

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, “Kami berbesar hati dapat mencatatkan hasil yang membanggakan bagi 1Q 2021, menandakan perbezaan ketara berbanding tahun 2020 dalam industri petrokimia. Selain daripada peningkatan harga minyak mentah, harga purata produk turut melonjak naik melebihi jangkauan, sekitar 20% ke 30% disebabkan oleh bekalan produk yang ketat berpunca daripada ribut salji di Amerika Syarikat pada bulan Februari. Keadaan ini telah memberikan kelebihan margin kepada kami menerusi semua segmen produk, termasuk produk daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu kami.” 

 

Bagi prospek masa hadapan PCG, Datuk Sazali berkata, “Walaupun pasaran sedang melonjak, harga produk telah mulai sederhana disebabkan permintaan yang semakin kembali normal. Memandangkan permintaan produk kami yang memberangsangkan, kami optimis untuk mencapai prestasi yang lebih baik pada tahun 2021. Namun, kami tetap berhati-hati memandangkan peningkatan semula penyebaran global wabak COVID-19, kami akan kekal berwaspada dengan perubahan dalam pasaran.” 

 

Fokus utama PCG pada tahun 2021 adalah untuk mengekalkan kecemerlangan operasi, kerana beberapa loji pengeluaran Kumpulan di seluruh Malaysia telah dijadualkan untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori pada tahun ini. Dengan selesainya aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori di loji Methyl Tertiary Butyl Ether / Propane Dehydrogenation (MTBE / PDH) di Kuantan dan Loji Metanol 1 di Labuan secara lancar pada bulan Mei, PCG menjangkakan yang selebihnya akan berjalan dengan baik juga pada separuh kedua tahun ini. Mengenai pasaran, “kami lebih bersedia untuk menghadapi perubahan dalam pasaran dengan pengalaman kami menguruskan gangguan bekalan global tahun lalu,” kata Datuk Sazali. 

 

Mengulas mengenai strategi pertumbuhan Kumpulan, Datuk Sazali berkata bahawa mengambil peluang pelaburan dalam kedua-dua bahan kimia asas dan khusus akan terus menjadi keutamaan walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran. Mengenai perkembangan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pula, “Kami sedang bersedia untuk memulakan operasi PIC sepenuhnya pada separuh kedua tahun 2021,” akhiri Datuk Sazali.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi: 

 

Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)