Media Release

27 · May · 2022
PCG Mencatatkan Keuntungan Suku Tahunan Tertinggi Pada 1Q 2022

•    PAT pada RM2.1 bilion
•    Margin EBITDA pada 37%
•    Kadar Penggunaan Loji pada 87%

 

Kuala Lumpur, 27 Mei – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan satu lagi keuntungan suku tahunan tertinggi pada suku pertama Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2022 (1Q 2022) berikutan harga produk yang lebih tinggi dan permintaan yang berterusan. Keuntungan Selepas Cukai (PAT) 1Q 2022 Kumpulan sebanyak RM2.1 bilion mewakili 41% peningkatan tahun ke tahun berbanding 1Q FY2021, manakala melepasi PAT 4Q 2021 sebanyak RM2.0 bilion sebanyak 2% suku ke suku.  

 

Prestasi kewangan yang kukuh ini didorong oleh harga yang lebih tinggi di semua segmen produk, terutamanya ammonia dan urea, disokong oleh kenaikan harga tenaga di tengah-tengah permintaan global yang berterusan dan gangguan bekalan.

 

Sorotan utama 1Q 2022 berbanding 1Q 2021 

 

  • Pendapatan meningkat 42% tahun ke tahun kepada RM6.6 bilion didorong oleh purata harga produk yang lebih tinggi serta gabungan permintaan tinggi yang berterusan dan tidak dipenuhi disebabkan oleh gangguan bekalan berpanjangan; serta harga minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi akibat krisis geopolitik.
  • Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) adalah setanding pada 37% (1Q 2021: 36%) kerana margin produk yang lebih tinggi.
  • EBITDA and PAT meningkat sebanyak 43% dan 41% tahun ke tahun kepada RM2.4 bilion (1Q 2021: RM1.7 bilion) dan RM2.1 bilion (1Q 2021: RM1.5 bilion), sejajar dengan margin yang lebih baik ditambah dengan sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada unit bahan kimia khusus, BRB International.
  • Jumlah jualan kekal tinggi pada 1Q 2022 pada 1.9 juta tan metrik walaupun kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 87% (1Q 2021: 90%) berikutan aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan statutori yang lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, "Kami berpuas hati dengan permulaan yang kukuh untuk tahun ini.  Berbanding setahun yang lalu, harga produk purata lebih tinggi sebanyak 20% hingga 60%. Walaupun kami melihat beberapa penyederhanaan harga bermusim dalam produk tertentu berbanding 4Q 2021, harga produk kekal kukuh akibat konflik Rusia-Ukraine terus meningkat, disokong lagi oleh permintaan yang kukuh."

 

"Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran dan cabaran rantaian bekalan, kewaspadaan dan strategi kecemerlangan komersial PCG membolehkan PCG memenuhi sasaran jualan walaupun beberapa bandar tertentu di China berada di bawah perintah berkurung selama beberapa minggu," katanya.

 

Memaklumkan mengenai projek pertumbuhan PCG, Yusri berkata "Kami telah memulakan operasi di Kompleks Bersepadu Pengerang seperti yang dirancang pada awal Mei dan aktiviti pentauliahan sedang berjalan dengan sewajarnya." 

 

Minggu lalu, PCG mengumumkan pengambilalihan Perstorp Holding AB, peneraju global dalam bahan kimia khusus lestari untuk pertimbangan pembelian asas sebanyak €1.538 bilion. "Pengambilalihan Perstorp adalah peristiwa penting bagi PCG dalam mewujudkan platform utama bagi mengukuhkan penglibatan dalam industri bahan kimia khusus dan merebut peluang pertumbuhan baharu. Pengambilalihan ini juga akan memberi kami bakat kritikal, pengetahuan, platform teknologi dan saluran pelanggan yang terbukti untuk menangani keperluan pasaran yang mendesak untuk penyelesaian yang lebih lestari," tambah Mohd Yusri.

 

Pengambilalihan ini adalah tambahan utama kepada siri pelaburan yang dibuat oleh PCG untuk membangunkan segmen Bahan Kimia Khusus yang akan menjadi pelengkap kepada perniagaan komoditi berasaskan gas sedia ada. Pada tahun 2019, PCG memperoleh Kumpulan BRB, yang berkhusus dalam bahan kimia yang berasaskan silikon. Antara 2020 dan 2021, PCG memulakan beberapa projek lapangan hijau melalui perkongsian strategik dengan syarikat kimia antarabangsa. "Segmen bahan kimia khusus dijangka memacu matlamat PCG untuk menjana pendapatan tambahan 30% daripada perniagaan bukan tradisional menjelang 2030," akhiri beliau.
 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu
Media Relations, Strategic Communications & Administration Department
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
E : yogeswari.thangavel@petronas.com
 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.