Media Release

16 · Jun · 2020
Pretasi Operasi Yang Kukuh Untuk 2019, PCG Di Kedudukan Baik Untuk Meneruskan Rancangan Pertumbuhan
Kuala Lumpur, 16 June – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-22 secara maya bagi membentangkan prestasi Syarikat kepada para pemegang sahamnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi PCG, Datuk Md Arif Mahmood, yang juga Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, bersama dengan Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah serta Ketua Pegawai Kewangan, Puan Rashidah Alias.
 
Pada mesyuarat tersebut, Datuk Sazali berkongsi dengan para pemegang saham mengenai prestasi dan operasi Syarikat pada tahun 2019, rancangan pertumbuhannya serta tinjauan untuk 2020.
 
Pada tahun 2019, PCG mengekalkan kadar penggunaan loji terbaik pada 92% meskipun menjalankan salah satu program pemulihan intensif bagi lojinya. Oleh itu, Syarikat merekodkan jumlah pengeluaran yang tinggi iaitu 10.4 juta tan setahun (tpa). PCG juga mencapai tahap kebolehpercayaan pemenuhan pesanan bertaraf dunia pada 97% meningkat daripada 93% pada tahun 2018. Sehubungan itu, PCG mencatatkan jumlah penjualan yang tinggi pada 8.4 juta tpa berbanding tahun 2018.
 
"Pencapaian ini adalah hasil fokus berterusan PCG pada strategi kebolehharapan dan pemulihan loji yang efektif, serta kolaborasi bersama pembekal dan vendor bagi memastikan kecekapan rantaian bekalan. Dari sudut komersial, kami berusaha untuk memahami keperluan pelanggan dan menghasilkan penyelesaian khusus dan membantu mengembangkan perniagaan mereka. Kami berhasrat untuk mencapai prestasi operasi dan komersial pada tahun 2020 yang setanding dengan tahun 2019,” kata Datuk Sazali.
 
PCG melaporkan Keuntungan selepas Cukai sebanyak RM2.8 bilion untuk tahun 2019. Selaras dengan dasar dividen Kumpulan, untuk tahun kewangan 2019, PCG mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 18 sen atau RM1,440 juta, yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen 51.2% daripada Keuntungan selepas Cukai dan Kepentingan Tidak Dikawal (PATANCI).
 
Mengulas tentang strategi pertumbuhan PCG, Datuk Sazali berkata, “Kami meneruskan strategi serampang dua mata bagi memberikan pertumbuhan jangka panjang yang berterusan untuk perniagaan kami; iaitu mengekalkan kekuatan dalam petrokimia asas; dan mempelbagaikan kepada derivatif serta bahan kimia dan penyelesaian khusus untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan sekali gus menjana keuntungan dari margin yang lebih tinggi. Kami juga berhasrat untuk memberikan nilai tambah melalui pengembangan portfolio kami."
 
Setakat ini, PCG telah mengambil alih Da Vinci Group (DVG), pengeluar dan pembuat formulasi silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia bebas terbesar di dunia. Dengan DVG, PCG mempunyai perniagaan sedia ada di dalam pasaran akhir dengan pertumbuhan tinggi seperti penjagaan diri, pelapis, pembinaan dan penjagaan kesihatan. Ini akan membuka jalan untuk PCG mendapat pasaran dan pelanggan baru serta memperluas jejak geografinya.
 
"Projek petrokimia kami di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) merupakan platform lain bagi menyediakan peluang pertumbuhan lebih lanjut dalam derivatif dan bahan kimia khusus. Kami bersiap untuk memulakan operasi komersial sepenuhnya. Namun, ini bergantung kepada pemulihan pasaran daripada pandemik COVID-19,” tambah Datuk Sazali.
 
 

Photo 2rsz.jpg

 
 
Dalam mempercepatkan agenda pertumbuhannya, PCG juga mencapai dua Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk pembangunan loji derivatif butadiena di PIC dan loji kimia khusus di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC). Ini akan membolehkan Kumpulan bergerak melintasi rantaian nilai dan mendekati pengguna akhir, membolehkan Kumpulan menjadi pembekal penyelesaian yang lengkap dengan lebih cepat lagi.
 
Mengulas tentang prospek industri, Datuk Sazali berkata, “Tahun 2020 bermula dengan sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya bagi kebanyakan industri akibat wabak COVID-19 diikuti dengan kejatuhan OPEC+. Prospek global tetap tidak menentu. Namun begitu, Kumpulan terus berdaya tahan seperti yang dapat dilihat pada hasil Q1 2020 baru-baru ini dengan kekalnya kecekapan operasi, tumpuan pelanggan dan portfolio produk yang pelbagai. Keupayaan operasi dan komersial kami yang kukuh membolehkan PCG cekap bertindak balas terhadap perubahan pasaran. Kami dapat mengelakkan gangguan daripada sekatan pergerakan yang berlaku di seluruh dunia dan mengekalkan perniagaan kami. "
 
"Pandemik COVID-19 dan kejatuhan OPEC + telah meningkatkan ketidakpastian ekonomi dan pasaran. Harga produk pada amnya akan terus berada dalam tekanan di persekitaran yang sukar ini. Kami percaya bahawa cabaran ini bersifat sementara dan pasaran akan pulih secara beransur-ansur menjelang akhir tahun ini dan awal 2021. Oleh itu, adalah penting untuk kami terus berdaya tahan bagi menghadapi kesan penuh dari wabak dan kemerosotan ekonomi berikutnya. Kami yakin asas sedia ada yang kukuh akan membolehkan kami mengharungi waktu yang mencabar ini, ”ujar Datuk Sazali.
 
 
 
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.