Pengerang, 20 Mei 2018 – PETRONAS dan PRefChem (syarikat usahasama PETRONAS dan Saudi Aramco) baru-baru ini menyampaikan bantuan kepada 350 penduduk kurang bernasib baik di Pengerang, menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, Program Sentuhan Kasih Ramadan.
Program yang diadakan di Masjid Al-Huda, Kampung Punggai, Pengerang, ini menyaksikan seramai 150 penduduk menerima sumbangan wang tunai dan 200 lagi menerima bantuan berupa barangan makanan harian.
Menurut Pengarah Projek Penapisan dan Pemecah Stim Pengerang Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC), Haji Musa Mohd, program ini merupakan kesinambungan kepada tradisi PETRONAS mendampingi masyarakat sempena bulan Ramadan.
"Program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mendekatkan kakitangan PETRONAS dan PRefChem dengan golongan kurang bernasib baik, selain mengadakan beberapa aktiviti dengan penglibatan masyarakat setempat.
"Pada masa sama, ia bertujuan memupuk semangat kesukarelaan dalam diri mereka sekali gus berperanan untuk berinteraksi dan melibatkan diri dengan masyarakat yang merupakan pihak berkepentingan," tambah beliau.
Selain menerima sumbangan, penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim turut diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama kakitangan PETRONAS, PRefChem serta penduduk yang tinggal berhampiran.
Dalam program ini juga, seramai 50 kakitangan PETRONAS dan PRefChem bersama penduduk setempat bergotong-royong membersihkan masjid dan memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk berdekatan.
Haji Musa menambah, program yang dilancarkan sejak 2005 itu akan terus dilaksanakan untuk manfaat bersama.
Turut hadir, Haji Mohammed Ridha Bin Dato' Hj. Abd Kadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Pengurus Besar Pihak Kepentingan, Komunikasi dan Pengurusan Risiko PRPC Datin Anita Azrina Abdul Aziz.
Dikeluarkan oleh
Jabatan Perhubungan Media
Komunikasi Strategik Kumpulan
PETRONAS