Copyright © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (20076-K).
All rights reserved.
JOHOR BAHRU, 28 Oktober 2021 – Menyokong penuh usaha kerajaan dan petugas barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya mencapai imuniti kelompok serta fasa endemik, PETRONAS telah menyampaikan sumbangan berupa 51 unit komputer riba dan barangan keperluan bernilai lebih RM140,000 di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Sazli Zakaria, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan berkata, “Sumbangan ini merupakan salah satu usaha PETRONAS dalam membantu melancarkan tugas petugas barisan hadapan menangani kes Covid-19 selain mempercepatkan negara kita memasuki fasa endemik. Ianya juga sebahagian daripada usaha berterusan PETRONAS untuk menjaga kesejahteraan masyarakat setempat dalam mendepani wabak COVID-19.”
Dengan kerjasama Pejabat Daerah Johor Bahru, sumbangan berupa 20 unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM51,000 telah diserahkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Olive, Hospital Permai. Sumbangan itu telah disampaikan kepada Tuan Haji Amirul Hafiz Ariff, Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, merangkap Wakil Rasmi kepada Pegawai Daerah Johor Bahru, pada 20 Oktober yang lalu. PKRC Olive merupakan PKRC kedua di negeri Johor dan mampu menampung sehingga 540 orang pesakit Covid-19 terdiri daripada golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak.
Pada hari yang sama, PETRONAS telah menyerahkan sumbangan berupa lima unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM13,500 kepada Dr Roslinda Abdul Rahman, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Tinggi untuk kegunaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar daerah Kota Tinggi. Ini termasuklah program ‘Outreach’ dan MOVAK yang diadakan di kawasan felda, perkampungan orang asli, dan juga ladang-ladang.
Dengan kerjasama Kompleks Penghulu Mukim Pengerang pula, sumbangan berupa makanan sarapan dan tengah hari telah disalurkan kepada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi di Dewan Besar Taman Bayu Damai, Pengerang. Sumbangan yang diserahkan pada hujung Julai lalu itu merupakan tanda penghargaan kepada para petugas serta sukarelawan di dewan tersebut, selain diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi mereka yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
Di Melaka, PETRONAS telah menyampaikan sumbangan 20 unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM51,000 kepada Dr Rusdi Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (KA) Melaka pada 21 Oktober, untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Jabatan Kesihatan Melaka.
Selain itu, dengan kerjasama JKM Negeri Melaka, sumbangan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM5,000 telah diserahkan kepada Dr Kamarul Ariffin Arif, Komander PKRC MITC Melaka untuk kegunaan pusat kuarantin tersebut.
Bagi Negeri Sembilan pula, sumbangan berupa enam unit komputer riba bernilai RM15,000 telah diserahkan kepada YB Tuan Veerapan a/l Superamaniam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah pada 22 Oktober untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
PETRONAS akan terus komited dalam menyalurkan bantuan dan menyokong usaha kerajaan negeri di selatan tanah air dalam menangani Covid-19, seterusnya menjayakan hasrat negara untuk mencapai imuniti kelompok serta memasuki fasa endemik.