Media Release

24 · Aug · 2020
PCG & LG CHEM Bekerjasama Membina Loji NBL Di Pengerang
Kuala Lumpur, 24 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan LG Chem menandatangani perjanjian untuk membina loji pembuatan Nitrile Butadiene Latex (NBL) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor bagi mensasarkan pasaran sarung tangan nitril yang sedang berkembang, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeksport sarung tangan terbesar di dunia.
 
Pembinaan loji akan bermula pada tahun 2021 sementara pengeluaran dijangka akan bermula pada tahun 2023. Apabila siap, loji ini akan mempunyai pengeluaran kapasiti tahunan sebanyak 200,000 tan.
 
Kerjasama strategik ini tepat pada masanya dengan permintaan sarung tangan nitril yang semakin tinggi. Di samping itu, kerjasama ini akan mewujudkan aliran pendapatan dan pasaran baharu dengan mengoptimumkan sumber daripada kedua-dua belah syarikat. Pada masa yang sama, PCG dan LG Chem akan bekerjasama untuk menawarkan pelbagai nilai tambahan dan aplikasi baharu NBL serta mengembangkan produk bernilai tinggi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan yang berterusan.
 
Mengulas tentang kerjasama tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, “Kami teruja dengan kerjasama ini. Ia merupakan langkah strategik bagi mengembangkan portfolio bahan kimia khusus PCG dan mengukuhkan kedudukan PCG sebagai pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia. Ini merupakan permulaan yang baik bagi PCG menceburi bidang produk berasaskan NBL yang kian berkembang. Kerjasama strategik ini juga membolehkan PCG meningkatkan kehadirannya di pasaran pengguna yang lebih menarik, seperti penjagaan diri dan kesihatan, terutamanya di rantau Asia Pasifik."
 
“Kerjasama ini turut mengukuhkan lagi agenda pertumbuhan kami setelah mengambil alih pemain silikon pada tahun lalu. Dengan lebih banyak bahan kimia khusus dalam portfolio kami, PCG akan bertumpu ke segmen yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi,”tambah Datuk Sazali.
 
NBL adalah getah sintetik yang menggunakan butadiena sebagai bahan mentah utama bagi membuat sarung tangan nitril yang banyak digunakan dalam beberapa industri seperti penjagaan kesihatan, perubatan dan makanan, antara lain. Ia digunakan secara meluas bagi melengkapi penggunaan sarung tangan getah asli yang sedia ada dia pasaran kerana ciri-ciri intensiti dan ketahanan kimia yang sangat baik. Baru-baru ini, penggunaan sarung tangan nitril juga semakin berkembang apabila digunakan bagi mencegah penyebaran COVID-19 dan jangkitan lain. Permintaan sarung tangan nitril terus meningkat dengan purata tahunan lebih daripada 10% dan dijangkakan akan merangkumi 70% daripada keseluruhan pasaran sarung tangan getah pada tahun 2024.
 
 
 
 
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
 
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.