Copyright © 2026 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.
Kuala Lumpur, 29 Mei – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) setinggi RM536 juta untuk suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (1Q 2023) walaupun mengalami ketidaktentuan ekonomi sedunia, serta permintaan yang semakin berkurang daripada pengguna dan juga sektor pembuatan. Kumpulan berjaya mengekalkan daya tahan kewangannya walaupun mengalami penurunan harga purata produk, terutamanya urea, ditambah dengan kos utiliti dan bahan api yang meningkat. PAT 1Q 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 11% berbanding dengan RM484 juta pada 4Q 2022.
Sorotan utama 1Q 2023 vs 4Q 2022
Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, “Kami telah mencatatkan suku yang kukuh walaupun berhadapan dengan permulaan tahun yang mencabar. Meskipun kami telah mengenal pasti beberapa pergerakan yang menggalakkan di daerah tertentu pada suku pertama, sektor kimia secara keseluruhan masih kekal berhati-hati lantaran harga tenaga yang masih tidak menentu.
Selain itu, didapati bahawa permintaan daripada China untuk bahan kimia terpilih semakin meningkat berikutan Tahun Baru Cina, namun pemulihan sepenuhnya masih belum kelihatan setakat ini. Bukan itu sahaja, malah kos operasi juga semakin meningkat kesan daripada inflasi pada gas dan bahan api yang menyebabkan kenaikan kos tenaga dan utiliti, seterusnya mengurangkan lagi kadar penyebaran produk dan menambah tekanan kepada margin. Menyumbang kira-kira 8% kepada EBITDA 1Q 2023, segmen Bahan Kimia Khusus Kumpulan yang baru ditubuhkan telah menunjukkan sedikit peningkatan dari segi prestasi kewangan walaupun menghadapi persaingan dari China dan eksport yang selaras dengannya, di samping kadar pemulihan permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan pada 1H 2023.”
Ir. Mohd Yusri mengulas, “Kami terus berhati-hati terhadap prospek bagi tahun 2023 berikutan perkembangan terkini sektor perbankan Amerika Syarikat dan potensi kesannya terhadap ekonomi sedunia, serta konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Daripada sudut positif, kos gas dan utiliti dijangka menurun pada suku akan datang. Tanpa mengambil kira faktor luaran, dalam jangka masa terdekat, kami akan memberi tumpuan bagi memastikan kelancaran operasi loji yang optimum dan kecemerlangan komersial untuk mengurangkan impak kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku. Tambahan pula, dalam jangka masa panjang, industri kimia dijangka mengekalkan kadar pertumbuhannya sebanyak 3% setiap tahun yang didorong oleh penggunaan meningkat daripada pelbagai industri yang semakin berkembang termasuk farmasi, automotif, dan pembinaan. PCG telah membuat perancangan lanjut untuk pelan pertumbuhannya yang lestari melalui rantaian nilai bahan kimia asas dan khusus bagi memenuhi permintaan pada masa akan datang.”
Mengenai operasi loji petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pula, “Kami beroperasi semula secara beransur mulai akhir tahun lepas. Kerja-kerja pemulihan berjalan dengan lancar setakat ini, dan kami menjangka untuk menjalankan operasi sepenuhnya untuk loji kami di PIC pada suku keempat tahun ini,” tambahnya.
Mengulas mengenai pelupusan kepentingan ekuiti sebanyak 25% dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FS) kepada syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah iaitu SMJ Sdn Bhd yang telah diumumkan baru-baru ini, “Negeri Sabah merupakan pihak berkepentingan utama dalam operasi perniagaan PCG di Malaysia Timur. Perjanjian ini menandakan komitmen bersama kami dalam memastikan kelestarian jangka panjang perniagaan dan komuniti di Sabah,” akhiri beliau.
###
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)