PCG Mencatatkan PAT Sebanyak RM2.0 Bilion Pada 3Q2021 Didorong Oleh Pertumbuhan Harga Yang Berterusan Dan Permintaan Kukuh

2021 Media Release - 22 Nov

  • Kadar penggunaan loji pada 94%
  • Margin EBITDA pada 37%
  • Dividen Khas RM800 juta

Kuala Lumpur, 22 Nov –PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) terus mencatatkan prestasi kukuh, ditunjukkan oleh pertumbuhan mendadak dalam pendapatan dan keuntungan 3Q 2021, didorong oleh harga produk petrokimia yang lebih tinggi. Kenaikan harga minyak mentah yang berpanjangan dan persekitaran bekalan yang ketat secara berpanjangan telah menyebabkan harga produk yang lebih tinggi pada suku tersebut. Ianya turut didorong oleh kecemerlangan operasi Kumpulan yang berterusan dan pengurusan kos yang berkesan.

PCG berjaya mencapai suku tahunan Keuntungan selepas Cukai (PAT) sebanyak RM2.0 bilion pada 3Q 2021, mengekalkan margin EBITDA yang tinggi sebanyak 37%. Secara kumulatif sepanjang 9 bulan, PCG mencatatkan PAT yang kukuh sebanyak RM5.3 bilion berbanding RM1.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

PCG juga mengumumkan pembayaran dividen khas sebanyak RM800 juta sempena ulang tahun ke-10 penyenaraiannya, yang disambut pada tahun 2020.

Sorotan utama 3Q 2021 berbanding 3Q 2020 

  • Pendapatan bertambah sebanyak 67% kepada RM5.8 bilion (3Q 2020: RM3.5 bilion) disumbang oleh harga purata produk yang lebih tinggi didorong oleh peningkatan harga minyak mentah, permintaan global yang bertambah baik dan persekitaran bekalan yang ketat.
  • Keuntungan selepas Cukai (PAT) melambung kepada RM2.0 bilion (3Q 2020: RM452 juta).
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM2.1 bilion (3Q 2020: RM914 juta) hasil daripada harga dan penyebaran produk yang lebih tinggi. Margin EBITDA meningkat kepada 37% (3Q 2020: 26%).
  • Dividen khas sebanyak 10 sen sesaham telah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Dividen berjumlah RM800 juta akan dibayar pada 30 Disember 2021.
  • Operasi kukuh dikekalkan pada 3Q 2021, dengan jumlah jualan sebanyak 2.0 juta mt dan kadar penggunaan loji sebanyak 94%.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah mengulas, “Pada mulanya kami menjangkakan pemulihan harga pasaran akan menjadi sederhana bermula 3Q 2021, tetapi harga produk kekal agak tinggi berikutan Taufan Ida pada bulan Ogos yang mengganggu bekalan di Amerika Utara dan masa henti (downtime) yang berpanjangan di loji urea Timur Tengah sewaktu pemulihan permintaan apabila sekatan COVID-19 semakin berkurangan. Walaupun harga polimer adalah lebih rendah sebanyak 5% berbanding 2Q 2021, harga urea dan methanol meningkat dengan kukuh sebanyak lebih kurang 25% dan 10% masing-masing. Melalui kecemerlangan operasi dan komersial, PCG mencatatkan prestasi yang baik dengan mengoptimumkan pengeluaran dan jualan berbanding pergerakan pasaran."

Mengulas mengenai prospek, Datuk Sazali berkata, "Keadaan pasaran semasa menunjukkan peningkatan yang baik bagi PCG. Kita mungkin akan melihat sedikit pengurangan kepada permintaan disebabkan kebangkitan semula jangkitan COVID-19 dan dasar China untuk mengurangkan intensiti tenaga dan mengehadkan jumlah penggunaan tenaga. Walau bagaimanapun, faktor mengimbangi lain seperti kekurangan gas asli di Eropah dan keputusan pengeluaran OPEC+, akan turut mempengaruhi harga minyak mentah dan seterusnya, harga produk PCG".

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, Datuk Sazali menambah, "Fasiliti petrokimia dijadualkan akan bermula pada 1Q 2022. Kami turut menantikan permulaan tersebut kerana pasukan komersial kami telah mendapatkan pelanggan yang bersedia untuk mengambil produk PCG. Ia akan menjadi permulaan yang mengujakan buat PCG untuk memulakan tahun baharu."

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Yogeswari Thangavelu

Media Relations, Corporate Affairs & Administration Department

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com