PCG Mencatatkan PAT Sebanyak RM7.3 Bilion pada FY2021 Didorong oleh Harga Petrokimia yang Kukuh

2022 Media Release - 24 Feb

  • PAT tertinggi sejak IPO pada 2010
  • Kadar penggunaan loji pada 93%
  • Margin EBITDA pada 36%
  • Dividen Tahunan sebanyak RM4.5 bilion

Kuala Lumpur, 24 Feb –PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan prestasi kewangan tertinggi pada Tahun Kewangan 2021 (FY2021) didorong oleh peningkatan harga petrokimia sepanjang tahun. 

Harga produk petrokimia meningkat menjadi tertinggi dalam sejarah pada 2021 didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dan bekalan yang terhad pada waktu gangguan bekalan global. Pendapatan Kumpulan meningkat 60% tahun ke tahun kepada RM23 bilion disokong oleh kadar penggunaan loji yang tinggi, sebanyak 93%, walaupun terdapat beberapa aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori yang dijalankan pada tahun ini. Margin produk yang lebih baik disebabkan oleh harga produk yang lebih tinggi meningkatkan margin EBITDA FY2021 kepada 36% daripada 25% pada FY2020 dan turut meningkatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) kepada RM7.3 bilion daripada RM1.6 bilion dalam tahun tersebut.

Keputusan 4Q 2021 PCG juga merupakan prestasi suku tahunan terbaik sejak penubuhannya dan penyenaraian dalam Bursa Malaysia pada 2010. PCG mencatatkan PAT sebanyak RM2.0 bilion berikutan pendapatan sebanyak RM7.0 bilion, terutamanya disumbangkan oleh margin produk yang lebih baik daripada harga urea, polimer dan metanol yang lebih tinggi.

PCG mengumumkan dividen interim kedua berjumlah RM1.8 bilion.

Sorotan utama 4Q 2021 berbanding 4Q 2020 

  • Pendapatan bertambah sebanyak 82% kepada RM7.0 bilion (4Q 2020: RM3.8 bilion) disumbang oleh harga produk yang lebih tinggi disebalik permintaan global yang kukuh dan persekitaran bekalan yang terhad.
  • PAT melambung kepada RM2.0 bilion (4Q 2020: RM456 juta). 
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.3 bilion (4Q 2020: RM1.1 juta) hasil daripada harga dan margin produk yang lebih tinggi. Margin EBITDA meningkat pada 33% (4Q 2020: 30%). 
  • Dividen interim kedua sebanyak 23 sen sesaham telah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Dividen berjumlah RM1.8 bilion akan dibayar pada 25 Mac 2022. Jumlah dividen yang telah diisytiharkan sebanyak RM4.5 bilion bagi FY2021 menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 61% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI).
  • Operasi kukuh dikekalkan pada 4Q 2021, dengan jumlah jualan sebanyak 2.0 juta mt dan kadar penggunaan loji yang rendah sedikit,sebanyak 89%, disebabkanaktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori di loji baja di Bintulu, Sarawak.

Pada Disember 2021, PCG melalui anak syarikat milik penuhnya, Kumpulan BRB mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pengeluar silikon utama di rantau ini dengan permulaan operasi fasiliti pengadunan silikon baharunya di Gebeng, Pahang. Ini adalah sejajar dengan strategi PCG untuk mempelbagaikan portfolionya ke dalam bahan kimia khusus dan produk differentiated.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata, "Kami berpuas hati dengan pencapaian yang memberangsangkan memandangkan cabaran yang kami hadapi. Cabaran-cabaran ini termasuk kekangan terhadap rantaian bekalan global, kejutan harga, kesan perubahan iklim dan sekatan berkaitan COVID-19, yang merupakan antara faktor yang masih relevan bagi tahun 2022. Prestasi FY2021 PCG yang cemerlang adalah hasil daripada inisiatif kecemerlangan operasi dan komersial warga kerja PCG. Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran, kami mengambil peluang, menyampaikan sasaran pengeluaran dan jualan kami, dan yang paling penting, memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami melalui produk dan penyelesaian inovatif tepat pada masanya.”

Mengulas mengenai prospek 2022, Ir. Mohd Yusri berkata, "Tahun 2022 telah bermula dengan baik. Bagi prospek pasaran jangka terdekat, harga produk dijangka kekal kukuh, disokong oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi seiring dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan peningkatan pengeluaran OPEC+ yang lambat. Kami menjangkakan pemulihan pasaran akan berlaku secara beransur-ansur apabila permintaan seimbang dengan bekalan daripada kapasiti baharu di rantau Asia Pasifik, yang dijadualkan bermula pada 2022.”

“Daripada aspek pertumbuhan jangka masa panjang, kami mengumumkan pembinaan kilang melamin di Gurun, Kedah, baru baru ini. Kilang ini disasarkan memulakan operasi pada tahun 2024, sejajar dengan strategi kami untuk menambah nilai kepada molekul sedia ada.

Dalam meneruskan agenda pertumbuhan, PCG mengukuhkan komitmen untuk mewujudkan kesan positif terhadap aspek Ekonomi, Alam Sekitar dan Sosial (EES). Baru-baru ini, PCG telah melengkapkan pelan tindakan Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) yang menetapkan matlamat dan jalan bagi pengurangan karbon PCG, bermula dengan pengurangan sebanyak 20% menjelang 2030 ke arah menjadi sifar bersih menjelang 2050," katanya.

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots