Copyright © 2026 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.
Kuala Lumpur, 18 April – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 pada hari ini untuk berkongsi prestasi Syarikat kepada pihak berkepentingannya bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2022. AGM tersebut telah di dipengerusikan oleh Pengerusi PCG Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim, bersama ahli Lembaga Pengarah iaitu Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof dan Ketua Pegawai Kewangan Mohd Azli Ishak. Ir. Mohd Yusri turut berkongsikan prestasi, rancangan pengembangan, strategi kelestarian dan perancangan masa hadapan Syarikat untuk 2023.
Prestasi kukuh yang memberi nilai kepada pihak berkepentingan
PCG mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2022 walaupun menghadapi isu geopolitik, ketidaktentuan pasaran, dan cabaran umum dalam industri. Syarikat tetap meneruskan kecemerlangan operasi dan komersial walaupun mengalami ketidaktentuan dalam tenaga dan pasaran komoditi yang menyebabkan harga minyak mentah dan petrokimia meningkat, selaras dengan dasar sifar-COVID yang berterusan di China serta peningkatan kos operasi yang disebabkan oleh kenaikan kos tenaga dan logistik. PCG mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan setahun (tpa) dan jumlah jualan 8.3 juta tpa, di samping mengekalkan rekod prestasi cemerlangnya dalam aspek keselamatan. PCG mengakhiri 2022 dengan rekod hasil RM29.0 bilion dan keuntungan selepas cukai RM6.3 bilion.
"Kami berbangga dapat memberikan prestasi yang kukuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Berpandukan strategi dua serampang PCG untuk mengekalkan kekuatan kami dalam petrokimia asas di samping mendalami bahan kimia khusus, kami berharap dapat menerokai sumber pendapatan baru dan mengukuhkan kedudukan kami di rantau ini," kata Ir. Mohd Yusri.
Memberi tumpuan kepada pertumbuhan
2022 merupakan tahun yang penting dari segi pertumbuhan. Pengambilalihan Perstorp Group yang berpangkalan di Sweden oleh PCG, menghasilkan kepelbagaian dalam penawaran produk Syarikat, khasnya untuk portfolio bahan kimia khusus. Syarikat juga melancarkan fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir baru di bawah BRB Group di Belanda yang berfungsi sebagai hab utama bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia secara global untuk PCG. Selain itu, dua projek mencapai status Keputusan Pelaburan Akhir (FID) iaitu pembangunan loji melamin di Gurun, Kedah dan pengembangan kilang Asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang.
“Kemasukan Kumpulan Perstorp menandakan satu kejayaan besar yang akan menawarkan lebih 130 produk baru, tujuh tapak pembuatan di seluruh dunia dan lebih 1,500 ahli baru yang menyertai keluarga PCG. PCG juga telah menubuhkan Bahagian Kimia Khusus baru untuk mengurus dan mengemudi perancangan strategik penting selaras dengan aspirasi jangka panjang PCG dalam jurusan ini,” kata Ir. Mohd Yusri.
Komited untuk memajukan kelestarian
PCG meningkatkan komitmennya ke arah kelestarian pada 2022 dan menjangkau sasaran jangka pendeknya untuk mengurangkan pelepasan GHG Skop 1 dan Skop 2 sebanyak 100,000 tan Karbon Dioksida setara (tCO2e) menjelang 2024. Menerusi pelbagai usaha seperti pengoptimuman proses dan penambahbaikan pemangkin, PCG telah mencapai pengurangan kumulatif lebih daripada 108,000 tCO2e setakat ini. Di samping itu, kepakaran Perstorp dalam penyelesaian lestari akan mempercepatkan penciptaan nilai untuk PCG dan perjalanan Syarikat ke arah kelestarian.
Mengulas berkenaan agenda kelestarian PCG, Ir. Mohd Yusri berkata, “Selepas pelancaran Pelan Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NCZE) 2050 PCG pada 2021, kami berbangga atas pembangunan momentum yang kukuh pada tahun pertama. Kami mempertingkatkan Agenda Kelestarian kami yang bertujuan untuk menangani segala perkara yang mustahak kepada pihak berkepentingan kami. Salah satu peningkatan utama yang kami implementasikan adalah menggunakan pendekatan yang lebih strategik ke arah memajukan Agenda Kelestarian dalam Syarikat. Kami telah membuktikan komitmen kami dengan meraih kedudukan pada Indeks Kemampanan Dow Jones (DJSI) di mana kami mengekalkan kedudukan 10% teratas dalam industri bahan kimia, dan satu-satunya syarikat Malaysia di DJSI World pada 2022.
“PCG menantikan satu lagi tahun yang menarik, di samping kekal berhati-hati dengan potensi kesan inflasi tinggi dan faktor lain yang tidak menentu. Pada 2023, kami masih akan terus memastikan kecemerlangan operasi dan komersial, di samping meningkatkan usaha kelestarian kami sambil menerokai peluang pertumbuhan yang baru. Kami yakin bahawa visi, strategi dan bakat kami akan membolehkan kami untuk mengharungi ketidaktentuan serta terus mencipta nilai kelestarian untuk semua pihak berkepentingan kami,” akhiri Ir. Mohd Yusri.
Versi digital Laporan PCG 2022; Laporan Bersepadu, Laporan Kelestarian dan Laporan Kewangan boleh didapati di laman web PCG di https://www.petronas.com/pcg/media/reports..

(Left to Right) PCG Managing Director/Chief Executive Officer, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof; PCG Chairman, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim, together with Chief Financial Officer, Mohd Azli Ishak at PCG’s 25th AGM.