Media Release

10 · Nov · 2022
Anak Syarikat PCG, BRB International Membuka Fasiliti Baru di Echt, Belanda
  • BRB membuka fasiliti baru di Echt, Belanda, khusus untuk bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia
  • Fasiliti baru ini mempraktikkan pengeluaran yang lestari, mengurangkan jejak karbonnya

 

Kuala Lumpur, 10 November 2022 – BRB International (BRB), anak syarikat milik penuh PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), baru-baru ini membuka fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia yang baru di Echt, Belanda.

 

Dilengkapi dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang lebih tinggi, fasiliti baru  di Echt ini akan memberi tumpuan utama kepada pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC), dan akan beroperasi sebagai pusat LAC untuk pasaran global.

 

Pembukaan fasiliti ini telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Netherlands, YBhg. Dato’ Nadzirah Osman. Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Sazali Hamzah dan Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

Dalam ucapan beliau, Dato’ Nadzirah memuji langkah PCG untuk meluaskan operasinya di Belanda. Beliau berkata, “Pembukaan fasiliti ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia untuk memperluaskan kehadiran syarikat-syarikat Malaysia di pasaran Eropah melalui lokasi strategik Belanda.”

 

Ir. Mohd Yusri berkata, “Pengembangan BRB adalah selari dengan strategi PCG untuk mempelbagaikan portfolio produknya ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat dan berubah di rantauan ini. Sebagai salah satu daripada pelan pembangunan BRB, pembukaan fasiliti ini menandakan satu peristiwa penting bagi mengukuhkan kedudukan BRB sebagai pembekal penyelesaian yang inovatif.”

  

Ketua Pegawai Eksekutif BRB Ralph Pinckaers menambah, “Unit LAC ini sentiasa mengusahakan penyelesaian untuk pelanggan-pelanggan di bidang automotif, perindustrian dan pembuatan kelengkapan selama lebih 40 tahun. Dengan fasiliti baru ini, perniagaan LAC mempunyai lebih potensi untuk maju dan membangunkan produk baru. Kami yakin langkah ini dapat mempertingkatkan daya persaingan BRB di pasaran akhir.

 

Fasiliti di Echt ini mempraktikkan pengendalian yang lestari dalam pembuatan bahan tambahan minyak BRB, Petrolad®, yang menggunakan tenaga yang lebih rendah di samping mengurangkan jejak karbonnya secara keseluruhan dalam pembuatan produknya. Amalan ini akan menyumbang kepada visi kelestarian PCG untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

 

 

 

Mengenai BRB

BRB International BV adalah sebuah syarikat yang dinamik dan inovatif, menyediakan penyelesaian teknologi dalam bidang silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia. Ia adalah pengeluar bebas yang beroperasi secara global dengan strategi inovasi yang memberi tumpuan kepada menjangkakan keperluan dan kehendak pelanggan dan industri yang dikendalikannya – dan membangunkan teknologi canggih untuk memenuhi semua jangkaan. Pada September 2019, PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), salah satu pengeluar bahan kimia bersepadu terbesar di Asia Tenggara, mengambilalih Da Vinci Group BV, dikenali sebagai BRB. Dengan pengambilalihan ini, unit perniagaan Silikon, Bahan Tambahan Minyak Pelincir dan Bahan Kimia BRB telah menjadi segmen baru yang telah dimasuki oleh PCG sebagai sebahagian daripada strategi step-out untuk meneruskan pertumbuhan dalam bahan kimia khusus.

 

Maklumat lanjut mengenai BRB boleh didapati di https://www.brb-international.com/.

 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

 

Andrea Swemmer Huang

Pengurus Pemasaran

Bahan Tambahan Minyak Pelincir & Bahan Kimia

 

BRB INTERNATIONAL B.V.

Europastraat 5 - 6014 CD

Ittervoort, The Netherlands

P.O. Box 3552 NL - 6017 ZH Thorn

 

M +31 6 55000726

https://www.brb-international.com

 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.