Media Release

29 · Aug · 2022
Mentri Besar Trengganu (Perbadanan) Menandatangani Letter Of Expression Untuk Memperoleh 5% Kepentingan Ekuiti Dalam PCGPCC

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2022 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan PCC SE hari ini telah menandatangani Letter of Expression (EOI Letter) dengan Mentri Besar Trengganu (Perbadanan) atau MBI, sebuah syarikat milik kerajaan Terengganu, untuk MBI melaksanakan kajian daya maju (due diligence) ke atas PCG PCC Oxyalkylates Sdn. Bhd. (PCGPCC). PCGPCC ditubuhkan pada 2020 sebagai usaha sama antara PCG dan PCC SE untuk membina loji oxyalkylates di Kerteh, Terengganu.

 

Dengan penandatanganan surat hari ini, kerajaan negeri Terengganu akan melaksanakan kajian daya maju (due diligence) yang relevan untuk membuat keputusan pelaburan muktamad bagi MBI untuk mengambil alih sejumlah 5% ekuiti daripada pemegang saham semasa dalam PCGPCC.

 

Surat tersebut telah ditandatangani wakil MBI, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof; dan Ahli Pengurusan PCC SE, Peter Berger, di hadapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

“PETRONAS telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Terengganu melalui pelbagai inisiatif dalam pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti serta alam sekitar. Penandatanganan surat hari ini merupakan satu lagi langkah ke arah mengukuhkan pembangunan ekonomi Terengganu. Kami mengalu-alukan peluang ini untuk menjadi rakan kongsi strategik dalam PCGPCC. Selain bertindak sebagai pemangkin pembangunan di negeri ini, pelaburan oxyalkylates PCG dan PCC SE yang berterusan akan menjana peluang pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi untuk masyarakat setempat,” kata Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri.

Ir. Mohd Yusri berkata, “PCG mengalu-alukan aspirasi kerajaan negeri Terengganu untuk menceburi industri petrokimia. Kerajaan negeri sentiasa menyokong PETRONAS dan PCG dengan menyediakan infrastruktur dan sumber yang diperlukan untuk projek dan pembangunan kami. Selama ini, kerjasama kukuh kami telah menghasilkan pelbagai ekonomi spin-off yang telah memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan kami berharap usaha baru ini akan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan kerajaan negeri Terengganu.”

 

Seterusnya, Peter Berger berkata, “PCC SE mengalu-alukan pelaburan kerajaan negeri Terengganu dalam PCGPCC. Projek ini sedang berjalan dengan baik. Pembinaan fasiliti ini telah bermula pada 2021 dan penghasilan produk dijadualkan bermula pada 2023. Apabila ia mula beroperasi sepenuhnya, loji ini akan menghasilkan sehingga 70,000 tan etoksilat khusus dan poliol polieter khusus setiap tahun. Projek ini merupakan loji dual-train pertama di Asia Tenggara (SEA) untuk oxyalkylates, yang disasarkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutamanya di rantau SEA dan Asia Pasifik.”

 

Oxyalkylates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdiri daripada etoksilat (surfaktan bukan ionik) dan poliol polieter. Bahan kimia ini digunakan dalam pembuatan pelbagai produk akhir. Di antara pelbagai kegunaan etoksilat adalah dalam pembuatan bahan cuci, produk penjagaan rumah dan produk penjagaan diri, manakala poliol polieter digunakan terutamanya dalam menghasilkan busa poliuretana untuk tilam dan aplikasi bahan-bahan upholsteri.

 

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media, Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com