Media Release

23 · Feb · 2021
PCG Akhiri 2020 Dengan Prestasi Berdaya Tahan, Catat Keuntungan Selepas Cukai Sebanyak RM1.6 Bilion

 

  • Kecemerlangan operasi yang kukuh, menjadikan kadar penggunaan loji sebanyak 94%
  • Margin EBITDA pada 25%
  • Isytihar dividen interim kedua sebanyak RM560 juta
Kuala Lumpur, 23 Februari – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan tahunan selepas cukai sebanyak RM1.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY2020) didorong oleh prestasi operasi yang kukuh dan pemulihan harga petrokimia pada suku keempat tahun 2020. Walaupun menghadapi persekitaran yang baharu dan sangat mencabar pada tahun 2020, PCG mencatatkan jumlah pengeluaran loji tertinggi dan mengekalkan margin perolehan yang positif sepanjang tahun. Semua ini tercapai pada masa PCG mengharungi ketidaktentuan pasaran serta impak aliran perdagangan akibat daripada kegagalan rundingan OPEC+ dan wabak COVID-19.

 

Sorotan utama FY2020 berbanding FY2019

 

  • Prestasi operasi yang kukuh dimana Kumpulan mencatatkan sebanyak 3% peningkatan jumlah pengeluaran tahun ke tahun pada kadar penggunaan loji yang lebih tinggi iaitu sebanyak 94% berbanding 92% pada FY2019. 
  • Pendapatan kekal kukuh pada RM14.4 bilion, walaupun mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 12% disebabkan purata harga produk yang lebih rendah, lantaran tindakan efektif Kumpulan dalam mengekalkan jumlah penjualan sewaktu kemerosotan pasaran yang diakibatkan oleh wabak dan didorong oleh susulan pemulihan pasaran pada separuh tahun kedua 2020. 
  •  

    Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM1.6 bilion. 

  • Margin EBITDA adalah lebih rendah pada 25% disebabkan oleh penurunan margin produk berikutan harga yang lebih rendah. 
  • PCG mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7 sen setiap saham biasa berjumlah RM560 juta yang akan dibayar pada Mac 2021. Ini adalah tambahan kepada dividen interim pertama sebanyak 5 sen sesaham yang telah dibayar kepada pemegang-pemegang saham pada September 2020. Untuk FY2020, jumlah dividen sebanyak 12 sen atau RM960 juta, menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 59% daripada jumlah keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI).

     

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah mengulas, "2020 merupakan satu pengalaman yang luar biasa, dimana seluruh dunia bersama-sama mengharungi cabaran yang sukar. Impak daripada kegagalan rundingan OPEC+ dan wabak COVID-19 telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang berkurangan sehingga mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang serius. Walaupun dengan kesukaran persekitaran yang baharu, PCG telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. PCG mengakhiri tahun 2020 dengan kukuh hasil daipada tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan komersial, didorong oleh momentum pemulihan 4Q2020”. Pada suku akhir tahun 2020, harga produk petrokimia semakin pulih dengan peningkatan harga minyak mentah serta pertumbuhan permintaan yang didorong oleh prospek ekonomi yang optimis.  

 

Mengulas mengenai pasaran, Datuk Sazali berkata “Momentum pemulihan telah dapat dilihat pada awal tahun 2021 dan kami menjangkakan peningkatan yang lebih baik tahun ini jika permintaan terus pulih dan harga minyak mentah kekal melebihi USD50 setong, kerana ini memberi petanda baik bagi harga produk utama kami. Bagi memaksimumkan keuntungan, PCG akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapan kami serta menerapkan disiplin kewangan yang tegas, terutamanya dengan beberapa perancangan penyelenggaraan loji pada tahun ini.” 

 

Keutamaan lain Kumpulan adalah permulaan dan operasi komersial bagi kemudahan petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) serta memulakan pembinaan fasiliti lain di kompleks Kerteh dan Gebeng. “Mencapai sasaran projek pertumbuhan akan membantu kami dalam mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dalam menghadapi turun naik pasaran dan dinamik perubahan industri minyak dan gas. Kami menjangka untuk membelanjakan sekitar RM6 bilion bagi derivatif dan bahan kimia khusus dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang. Melabur dalam pembinaan kemudahan baru untuk menghasilkan rangkaian produk yang lebih luas akan memperkukuhkan lagi daya tahan kami,” tambah beliau. 

 

Selaras dengan usaha Alam Sekitar dan Tadbir Urus Korporat (ESG) Kumpulan, rancangan pelaburan PCG juga termasuk membangunkan produk inovatif daripada sumber yang boleh diperbaharui. “Ini sejajar  dengan keutamaan perniagaan dan agenda kelestarian serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” akhiri Datuk Sazali. 

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi: 
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.