- Kadar Penggunaan Loji pada 94%
- Pendapatan sebanyak RM7.7 bilion
- EBITDA sebanyak RM892 juta
Kuala Lumpur, 20 Mei 2025 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan) hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku pertama (1Q 2025) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, di sebalik keadaan pasaran kimia yang kian mencabar.
Kumpulan mengekalkan prestasi operasi yang kukuh dengan kadar penggunaan loji sebanyak 94% pada 1Q 2025, hampir setara pada 4Q 2024. Pendapatan meningkat sebanyak 3% suku-ke-suku kepada RM7.7 bilion, dipacu oleh harga purata yang lebih tinggi bagi urea, metanol dan polietilena serta prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen kimia khusus. Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak 26% kepada RM892 juta, disokong oleh penyebaran produk yang lebih baik bagi urea, metanol, metil tert-butil eter (MTBE) dan derivatif olefin, serta kos operasi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun kepada RM18 juta berbanding RM539 juta pada suku sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan.
Sepanjang suku ini, segmen Olefin & Derivatif (O&D) berjaya mengatasi gangguan bekalan utiliti yang menjejaskan beberapa loji di Kertih, serta pengurangan pengeluaran di Pengerang Petrochemicals Company Sdn. Bhd. (PPC) akibat kekurangan stok suapan. Gabungan isu-isu luaran ini dengan kenaikan harga produk yang terhad di tengah-tengah lebihan bekalan industri, menyebabkan pendapatan sukuan bahagian O&D menurun 4% kepada RM3.5 bilion. Bahagian ini mencatatkan Kerugian Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (LBITDA) sebanyak RM43 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada PPC akibat pengurangan kadar penggunaan loji serta kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi daripada penilaian semula pemiutang.
Segmen Baja & Metanol (F&M) Kumpulan mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam jualan dan pendapatan, disokong oleh harga purata produk yang lebih kukuh walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah jualan. Bekalan global yang terhad serta permintaan bermusim yang kukuh telah mendorong kenaikan harga sekitar 13% bagi urea dan 5% bagi metanol. Bahagian F&M merekodkan pendapatan sukuan yang lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion, manakala EBITDA meningkat 22% suku-ke -suku kepada RM892 juta hasil daripada penyebaran produk yang lebih baik.
Segmen kimia khusus pula mencatatkan peningkatan jualan merentas semua kategori produk, dengan peningkatan ketara melalui produk Oxo berikutan aktiviti pengisian semula stok pasaran. Walaupun harga jualan purata lebih rendah, pendapatan bahagian ini meningkat 19% kepada RM1.6 bilion berbanding suku sebelumnya, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi. EBITDA turut meningkat kepada RM52 juta, dipacu oleh margin sumbangan yang lebih kukuh dan peningkatan jumlah jualan.
Sorotan utama 1Q 2025 berbanding 4Q 2024:
- Kadar penggunaan loji purata Kumpulan dicatatkan pada 94% (4Q 2024: 95%) dipacu oleh prestasi kukuh dalam segmen F&M.
- Pendapatan meningkat 3% kepada RM7.7 bilion (4Q 2024: RM7.5 bilion) hasil daripada harga purata produk dan jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen kimia khusus.
- EBITDA meningkat 26% kepada RM892 juta (4Q 2024: RM710 juta) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih baik dan kos operasi yang lebih rendah.
- PAT menurun kepada RM18 juta (4Q 2024: RM539 juta) disebabkan oleh kesan pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC dan pinjaman segmen kimia khusus
Mengulas mengenai prestasi 1Q 2025, Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata, “Ketahanan kami dalam mengharungi keadaan pasaran yang mencabar membuktikan kekuatan kepelbagaian portfolio. Peningkatan EBITDA mencerminkan usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan operasi dengan kadar penggunaan loji perniagaan komoditi yang baik, walaupun terdapat gangguan pada Januari 2025 yang menjejaskan operasi untuk sementara waktu di beberapa loji di Kertih.”
Berkenaan implikasi tarif AS terhadap PCG, beliau berkata, “Kami sedang memantau keadaan ini dengan teliti dan menilai kesan yang lebih luas terhadap keseluruhan pergerakan pasaran.”
“Bagi mengekalkan ketahanan dan daya saing dalam kemerosotan industri semasa, kami terus menumpukan untuk memacu kecemerlangan. Komitmen kami terhadap keselamatan dan kecekapan operasi semua fasiliti kami akan diteruskan dengan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di beberapa loji O&D serta F&M yang sedang giat dijalankan. Pada masa yang sama, kami memperkukuh hubungan pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang, disamping mengekalkan disiplin kewangan yang ketat serta perbelanjaan modal yang berhemat,” akhirinya.