Media Release

9 · Oct · 2023
PCG Bakal Membina Loji Kitar Semula Kimia Termaju yang Terbesar di Asia
  • PCG mencapai FID untuk pembinaan loji kitar semula kimia termaju di Pengerang, Johor, yang dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026.
  • Kilang tersebut akan menggunakan teknologi terpaten Plastic Energy untuk menukarkan plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis, yang boleh digunakan untuk menghasilkan plastik kitar semula.

 

 

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa). Loji tersebut yang bakal dibangunkan di Pengerang, Johor, dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026.

 

Pengumuman FID tersebut juga diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Limited (Plastic Energy) serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn. Bhd.

 

Sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi sirkular dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari, loji tersebut akan dapat meneroka keupayaan kitar semula kimia sisa plastik di Malaysia melalui penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL ™, yang boleh digunakan sebagai stok suapan kimia ke arah penghasilan plastik yang lestari.

 

“Melalui loji kitar semula kimia termaju ini, kami mempunyai visi untuk memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik di samping mewujudkan peluang untuk semua pihak, daripada pengumpul sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik sirkular. Ini membolehkan kami memarakan aspirasi negara dalam menyingkirkan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari,” kata Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

Plastic Energy akan menyediakan teknologi kitar semula kimia untuk loji tersebut melalui proses TAC™ yang terpaten, yang memanaskan campuran sisa plastik pascapengguna tanpa penggunaan oksigen. Proses ini seterusnya menghasilkan wap hidrokarbon, yang melalui proses pemeluwapan menjadi minyak pirolisis atau TACOIL™ yang boleh digunakan sebagai pengganti stok suapan hidrokarbon dalam penghasilan plastik kitar semula gred makanan.

 

“Sejak kerjasama kami dengan PCG pada 2019, kami berbesar hati dipilih sebagai penyedia teknologi untuk loji kitar semula kimia baharu mereka di Malaysia. Kami berkongsi matlamat yang sama untuk mengurangkan pencemaran plastik di Asia dengan meningkatkan jumlah sisa plastik yang boleh dikitar semula, dan mengembangkan infrastruktur kitar semula di rantau ini,” kata Carlos Monreal, Ketua Pegawai Eksekutif Plastic Energy.

 

"Kami teruja untuk menjadi rakan kongsi EPC di bawah projek PCG ini. Kami sentiasa komited untuk memastikan kecemerlangan dalam setiap projek yang kami jalankan, dan kami akan memastikan loji ini akan memenuhi jangkaan PCG," kata Datuk Surendran Menon, Pengarah Urusan Mutiara Etnik.

 

Loji kitar semula kimia termaju tersebut akan memanfaatkan rantaian nilai plastik Malaysia selain daripada menutup lingkaran bagi kitaran hayat plastik dengan mewujudkan ekosistem yang menggalakkan peralihan kepada ekonomi sirkular.

 

From the left: Rita Rahayu Omar, Mutiara Etnik Director; Sharifah Zarina Syed Hashim, PCG Head of Corporate Investment, Governance & Services; Ying Staton, Plastic Energy VP Asia/Chief Sustainability Officer; Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, PCG MD/CEO; Carlos Monreal, Plastic Energy CEO; Datuk Sazali Hamzah, PETRONAS Downstream EVP/CEO; Datuk Surendran Menon, Mutiara Etnik MD, and Yaacob Salim, PCG Head of Strategic Planning & Ventures; at the signing ceremony.

 

###

 

Mengenai Mutiara Etnik Sdn. Bhd.

 

MUTIARA ETNIK merupakan Kontraktor EPCC dengan pensijilan ISO dan pendaftaran CIDB Gred 7 untuk menjalankan projek Pembinaan Kejuruteraan Awam, Pembinaan Bangunan dan kerja-kerja projek Mekanikal. Visi kami adalah untuk menjadi peneraju dalam menyediakan penyelesaian mampan melalui inisiatif dan penetapan haluan yang lestari. Kami merupakan pakar dalam sistem penukaran sisa kepada tenaga, pengendalian bahan, peralatan pelabuhan, kitar semula, pemulihan, sumber tenaga boleh diperbaharui, projek bangunan dan infrastruktur. Syarikat menyelaraskan perniagaannya dengan komitmen ESG secara aktif dan menyokong strategi penyahkarbonan untuk mencapai matlamat kelestariannya. Pendekatan projek komprehensif kami memastikan kebolehlaksanaan dan kecekapan kos pada setiap peringkat.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.mutiaraetnik.com

 

Untuk pertanyaan akhbar: admin@mutiaraetnik.com

 

Mengenai Plastic Energy

 

Plastic Energy merupakan peneraju global dalam jurusan kitar semula kimia, yang menawarkan penyelesaian yang lestari untuk membantu mencegah sisa plastik, dengan mengubah sisa plastik yang tidak boleh dikitar sebelum ini kepada sumber yang berharga. Teknologi kitar semula kimia kami yang terpaten dan terbukti ini dapat menukarkan sisa plastik akhir hayat kepada stok suapan optimum (TACOIL™) untuk menghasilkan plastik kitar semula berkualiti tinggi. Plastic Energy kini mempunyai dua loji kitar semula kimia yang beroperasi secara berterusan di Sepanyol dan merupakan salah satu daripada beberapa syarikat di seluruh dunia yang telah menjual TACOIL™ daripada penukaran sisa plastik akhir hayat untuk menggantikan minyak fosil dalam penghasilan plastik baharu. Kami menerajui bidang kami dalam peralihan kepada ekonomi sirkular karbon rendah untuk plastik.

 

Ketahui lebih lanjut di laman web kami, dan ikuti kami di Twitter dan Linkedin.

 

Untuk pertanyaan akhbar: press@plasticenergy.com

 

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad  

 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain. 

 

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.  

  

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones. 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: 

  

Yogeswari Thangavelu 

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG) 

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.