Media Release

20 · Jun · 2022
PCG Bakal Menghasilkan Maleic Anhydride Di Kuantan, Malaysia Menjelang Separuh Pertama 2025

Kuala Lumpur, 20 Jun 2022 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan syarikat usaha samanya (JV), BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (BPC), untuk mengambil alih loji 113 kilo-tan setahun (ktpa) Maleic Anhydride (MAn) yang terletak di Gebeng, Kuantan.

 

Loji MAn ditutup oleh BPC sebelum ini berikutan langkah penjajaran semula portfolio produk yang membawa kepada penutupan kekal loji Butanediol (BDO) dan derivatifnya. Dengan pengambilalihan itu, PCG akan menggunakan semula loji tersebut dengan memperbaharui dan menaik taraf kemudahan itu untuk menghasilkan MAn yang berkualiti tinggi agar lebih sesuai untuk industri makanan dan farmaseutikal. PCG kini sedang menjalankan penilaian terperinci, yang dijangka siap pada suku pertama 2023 dan tertakluk kepada kelulusan akhir, loji itu disasarkan siap pada separuh pertama 2025.

 

"Kemudahan bersepadu kami sekarang akan memastikan bekalan bahan mentah (feedstock) yang kompetitif dan terjamin ke loji. Di samping itu, kedekatan loji dan pasaran sasaran kami yang dikenal pasti di benua kecil Asia Pasifik dan India akan membolehkan kami menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan kami," kata Mohd Yusri Mohamed Yusof, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG.

 

Pengambilalihan ini akan membolehkan PCG meluaskan portfolio produk terkini dan mengukuhkan tumpuannya untuk mempelbagaikan ke dalam derivatif dan bahan kimia yang berbeza.

 

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Kami merupakan pengendali loji bersepadu bertaraf dunia daripada pengeluaran bahan mentah sehingga kepada produk hiliran. Dengan jumlah kapasiti sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan kami melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk bahan kimia, termasuk olefin, polimer, baja, methanol serta produk bahan kimia dan derivatif asas. Disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 2010, dengan pengalaman selama tiga dekad di dalam industri petrokimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

 

PCG adalah antara 10 syarikat daripada 200 syarikat terbesar mengikut permodalan pasaran, yang tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM). Di samping itu, PCG disenaraikan di Indeks Dunia Dow Jones Sustainability™. Indeks ini mewakili 10% teratas daripada 2,500 syarikat terbesar dalam S&P Global BMI berdasarkan kriteria ekonomi, alam sekitar dan sosial. Kami terus komited untuk memastikan amalan perniagaan kami adalah selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG).

 

Maklumat lanjut tentang PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media, Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.