Kuala Lumpur, 13 Jun 2023 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pengambilalihan loji Maleic Anhydride (MAn) yang mempunyai kapasiti 113 kilo-tan setahun (ktpa) bertempat di Gebeng, Kuantan daripada BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC).
Loji tersebut bakal meluaskan portfolio produk PCG dan derivatifnya untuk mengukuhkan lagi penawaran produk derivatif PCG. FID ini menandakan permulaan fasa pelaksanaan projek loji tersebut untuk menaik taraf dan mempertingkatkan kemudahan untuk menghasilkan MAn yang diproses, yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2025.
Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, “FID untuk loji MAn menandakan komitmen kami yang kukuh ke arah mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dengan mempelbagaikan ke jurusan derivatif dan bahan kimia khusus. Ini turut membolehkan kami menghasilkan MAn untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan di rantau Asia Pasifik dan India di samping menerokai peluang yang berpotensi dalam pasaran Eropah dan Timur Tengah.”
“Tambahan lagi, loji tersebut akan membolehkan penyepaduan derivatif kimia khusus MAn dengan kedua-dua anak syarikat kami iaitu Perstorp dan BRB pada masa akan datang untuk memberikan penyelesaian inovatif dan juga kemungkinan usaha sama bersama pengeluar hiliran MAn yang lain di Malaysia,” tambah Yusri.
Kegunaan utama MAn boleh dilihat dalam pembuatan resin poliester tidak tepu, cat dan bahan perisa makanan. Sebelum ini, loji MAn tersebut yang diuruskan oleh BPC, syarikat usaha sama PCG dan kini akan dikendalikan oleh anak syarikat PCG, PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd., berikutan penyelesaian pengambilalihan ini.
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)