Media Release

20 · Sep · 2022
PCG dan ExxonMobil Bekerjasama dalam Pengitaran Semula Plastik di Malaysia

KUALA LUMPUR – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), cabang petrokimia PETRONAS, dan ExxonMobil telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk untuk meneliti potensi dalam penerapan teknologi pengitaran semula plastik maju yang berskala besar bagi membantu mewujudkan ekonomi sirkular untuk plastik di Malaysia. Kedua-dua syarikat juga akan menilai peluang untuk menyokong penambahbaikan dalam pengutipan dan pengasingan sisa plastik di negara ini.

 

PCG telah diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof bagi majlis menandatangani MoU tersebut, manakala pihak ExxonMobil diwakili oleh Naib Presiden Pembangunan Pemasaran Baru Dave Andrew.

 

“PCG sentiasa menerokai dan melaksanakan teknologi inovatif untuk membangunkan penyelesaian mampan yang diminta oleh pelanggannya,” kata Ir. Mohd Yusri. “Usahasama ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah peralihan kepada ekonomi sirkular berikutan peningkatan permintaan untuk produk sirkular dan menandakan komitmen kami untuk menggunakan bahan mentah yang telah dikitar semula dalam industri kimia.”

 

"Kitar semula lanjutan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk sirkular, di samping membantu menangani cabaran sisa plastik," kata Andrew. "Memanfaatkan teknologi baru dan kepakaran kedua-dua organisasi, kami berharap untuk mempercepatkan ekonomi yang lebih sirkular untuk plastik di rantau ini."

 

MoU ini dibina berdasarkan perkongsian lama antara ExxonMobil dan PETRONAS yang telah menyaksikan pelbagai kerjasama dan usaha perniagaan yang berjaya antara kedua-dua pihak di Malaysia dan luar negara.

 

PCG komited ke arah mempercepatkan peralihan rantau ini kepada ekonomi yang lebih sirkular untuk bahan plastik. Syarikat sedang menjalankan beberapa kajian kebolehlaksanaan berkenaan pengitaran semula plastik. Pada 2019, PCG menandatangani perjanjian dengan Plastic Energy untuk menukar plastik hujung hayat menggunakan proses pirolisis dan fasiliti ini dijangka beroperasi menjelang 2025. Di samping itu, PCG bekerjasama dengan syarikat pengurusan sisa untuk membangunkan nilai dalam ekosistem sisa pepejal di Malaysia. Kerjasama ini akan membantu menghentikan sisa plastik daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah dan mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk peralihan kepada ekonomi sirkular.

 

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa plastik yang wajar di Malaysia, PCG turut mencipta modul pendidikan bertajuk “Plastic, Sustainability & You” yang diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara. Modul itu dicipta dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA). Menggunakan kandungan modul ini, PCG telah menjalankan sesi webinar dan berjaya mencapai lebih daripada 130,000 orang di Malaysia.

 

ExxonMobil berancang untuk membina kapasiti kitar semula lanjutan dalam anggaran 500,000 tan metrik di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2026. Di fasiliti kitar semula lanjutan yang berteraskan teknologi Exxtend hak miliknya di Baytown, Texas, ExxonMobil telah memproses lebih daripada 5,000 tan metrik sisa plastik sejak permulaan operasinya pada 2021, dan menjangka akan menyempurnakan pengembangan fasiliti berskala besar pada akhir tahun ini. Selain Texas, syarikat sedang menilai tapak tambahan di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Singapura, dan bekerjasama dengan Plastic Energy untuk membina loji kitar semula lanjutan di Perancis.

 

ExxonMobil juga merupakan ahli pengasas Alliance to End Plastic Waste, yang bertumpukan terhadap mempercepatkan pelaburan dalam penyelesaian yang selamat, berskala dan ekonomi berdaya maju di seluruh dunia untuk membantu menangani masalah sisa plastik di alam sekitar. ExxonMobil turut membantu menubuhkan Houston Recycling Collaboration, yang menyatukan badan kerajaan, industri, dan komuniti untuk menambahbaik taraf pengitaran semula, mengurangkan sisa pembuangan, dan menukarkan sisa kepada sumber yang bernilai.

 

 

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia, yang disepadukan sepenuhnya secara menegak daripada bahan makanan kepada produk akhir hiliran. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain. Disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2010 dan dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

 

PCG adalah antara 10 syarikat daripada 200 syarikat terbesar mengikut permodalan pasaran, yang tersenarai dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM). Di samping itu, PCG disenaraikan dalam Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones. Indeks ini mewakili 10% teratas daripada 2,500 syarikat terbesar dalam BMI Global S&P berdasarkan kriteria ekonomi, persekitaran dan sosial. PCG terus komited untuk memastikan amalan perniagaannya adalah selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG).

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi

 

Yogewari Thangavelu

Emel: yogeswari.thangavel@petronas.com

 

Mengenai ExxonMobil

 

ExxonMobil, salah satu syarikat tenaga dan petrokimia antarabangsa terbesar yang didagangkan secara awam, mencipta penyelesaian yang meningkatkan kualiti hidup dan memenuhi keperluan masyarakat yang berkembang.

 

Perniagaan utama syarikat - Huluan, Product Solutions dan Low Carbon Solutions - menyediakan produk yang membolehkan kehidupan moden, termasuk tenaga, bahan kimia, pelincir, dan teknologi rendah emisi. ExxonMobil memegang portfolio sumber yang terkemuka dalam industri, dan merupakan salah satu syarikat bahan api, pelincir dan kimia bersepadu terbesar di dunia. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati exxonmobil.com dan Energy Factor.

 

Ikuti kami di Twitter dan LinkedIn.

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi

Sukiman Mohamed

Emel: sukiman.mohamed@exxonmobil.com

Jocelyne Shu

Emel: jocelyne.sm.shu@exxonmobil.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.