Media Release

12 · Oct · 2022
PCG Melengkapkan Pengambilalihan Perstorp

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2022 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) hari ini mengumumkan kelengkapan pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp) pada 11 Oktober 2022.

 

Pada bulan Mei tahun ini, PCG menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang merupakan sebuah firma ekuiti swasta Eropah, untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp, sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka di Sweden yang didorong oleh kelestarian. Berikutan pengambilalihan ini, Perstorp kini merupakan anak syarikat milik penuh PCG.

 

"Kami berbesar hati dapat melengkapkan pengambilalihan ini. Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi “step-out” kami dengan penjanaan platform baru untuk pertumbuhan kami dalam industri kimia khusus. Ia juga melangkaui potensi pendapatan; di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai-nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri. Kami mengalu-alukan Perstorp ke dalam keluarga PCG," kata Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

"Hari ini menandakan permulaan baharu dan masa depan yang menarik untuk Perstorp sebagai sebahagian daripada keluarga PCG. Kami teruja untuk menerokai peluang yang boleh diwujudkan melalui usahasama dengan PCG. Ini akan mempercepatkan fasa perkembangan seterusnya dan mengukuhkan lagi kami sebagai syarikat bahan kimia khusus terkemuka," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp Jan Secher.

 

Melangkah ke hadapan selepas pengambilalihan, PCG berhasrat untuk terus mengekalkan dan memperkembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat tersebut. Antara rancangan pembangunan utama termasuk pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

 

Selain itu, PCG juga akan berusaha untuk memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos. Perstorp mempunyai beberapa projek yang telah diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan. Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah (The European Union Innovation Fund) memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima EUR 1.8 bilion. Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir. Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan CO2 secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden.

 

"Kami bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian kami. Inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih kami menjelang 2050," kata Ir. Mohd Yusri.

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media, Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

E: Yogeswari.thangavel@petronas.com