Media Release

4 · Oct · 2023
PCG Memperkenalkan AireBlue™ di Kedai Mesra, Mempromosikan Penyelesaian yang Lebih Baik kepada Pelanggan
  • Produk AireBlue™ boleh didapati di cawangan Kedai Mesra terpilih di Johor

Kuala Lumpur, 3 Oktober 2023 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah memperkenalkan AireBlue™, cecair ekzos diesel berkualiti tinggi di cawangan Kedai Mesra terpilih buat pertama kali. Usaha ini dicapai melalui kolaborasi bersama syarikat milik penuhnya, PETRONAS Chemicals Marketing (Labuan) Ltd. (PCML) dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMMSB).

 

AireBlue™ yang mula diperkenalkan pada 2019, kini boleh didapati di beberapa cawangan Kedai Mesra terpilih di Johor, bermula di kawasan Gelang Patah (Selatan), Bayu Senibong, dan R&R Skudai Arah Utara. Lokasi strategik ini yang berhampiran dengan Singapura membolehkan PCG turut meluaskan pemasarannya kepada pelanggan dari Singapura.

 

“Pencemaran udara adalah salah satu pencemar global terbesar, dan ekzos diesel merupakan penyumbang utama melalui pelepasan Nitrogen Oksidanya (NOx). Pemasaran AireBlue™ di cawangan Kedai Mesra memberikan pemandu akses kepada alternatif cecair ekzos diesel yang lebih baik di samping memainkan peranan dalam mengurangkan impak kenderaan kepada alam sekitar,” kata Shakeel Ahmad Khan, Ketua Pegawai Komersial PCG.

 

“PCG turut merancang untuk memastikan AireBlue™ boleh didapati di semua cawangan Kedai Mesra di seluruh negara untuk kemudahan pelanggan pada masa hadapan.”

 

AireBlue™ merupakan produk AdBlue® iaitu cecair ekzos diesel berkualiti tinggi yang diperbuat daripada reagen berasaskan urea yang berupaya menukarkan NOx yang dilepaskan oleh kenderaan diesel kepada nitrogen dan air.

 

Apabila digabungkan dengan Sistem Pengurangan Bermangkin Terpilih (SCR) kenderaan, larutan AireBlue™ ketulenan tinggi membantu mengurangkan pembentukan bendasing, seterusnya menghasilkan pelepasan ekzos yang lebih bersih. Ini membantu meningkatkan keberkesanan kenderaan dalam mengurangkan pelepasan NOx di samping menambahkan jangka hayat pengubah bermangkin kenderaan diesel.

 

AireBlue™ direka oleh PCG sebagai pilihan bermutu tinggi bagi pengguna kenderaan. Ia telah disahkan oleh German Association of the Automotive Industry (VDA) sebagai cecair ekzos diesel berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan produk yang ketat berdasarkan Piawaian ISO 22241-1.

 

 

Produk AireBlue™ boleh didapati di cawangan Kedai Mesra terpilih di Johor

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
E : yogeswari.thangavel@petronas.com