Media Release

18 · Nov · 2020
PCG Memperoleh Momentum Pada 3Q2020, Mengaut Keuntungan 9 Bulan RM1.1 Bilion
Kuala Lumpur, 18 November - PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2020, berdasarkan prestasi operasi yang kukuh sewaktu pemulihan pasca perintah berkurung. Melonjak daripada antara paras terendah pada 2Q2020, harga produk petrokimia beransur pulih disebabkan kenaikan dalam industri pembuatan global serta pemulihan harga minyak mentah, mengurangkan tekanan pada margin keuntungan.
 
Sorotan utama YTD 3Q2020 berbanding YTD 3Q2019
 
  • Prestasi operasi yang kukuh dikekalkan di mana Kumpulan menyaksikan peningkatan jumlah pengeluaran dan mencatatkan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi sebanyak 95%.
  • Pendapatan kekal stabil pada RM10.5 bilion walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 13% dari tahun ke tahun di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh harga produk yang lebih rendah, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih rendah dan permintaan petrokimia yang rendah serta tahap penawaran yang tinggi.
  • Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) merosot kepada 23% disebabkan oleh mampatan margin produk didorong oleh harga yang lebih rendah.
  • EBITDA dan PAT masing-masing berjumlah RM2.4 bilion dan RM1.1 billion.
 
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah mengulas, "PCG mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada 3Q2020 hasil tumpuan yang berterusan kepada kecemerlangan operasi dan komersial, yang memastikan kesediaan kami dalam merebut peluang sewaktu pemulihan pasaran. Digabungkan dengan kedudukan kukuh di pasaran rantau ini dan kerjasama erat bersama pelanggan kami, PCG berada pada posisi yang baik untuk meraih kelebihan daripada pembukaan semula ekonomi serantau dan penyambungan semula aktiviti pembuatan. Faktor-faktor ini, bersama dengan harga minyak mentah yang stabil telah membawa kepada pemulihan permintaan dan peningkatan harga petrokimia”.
 
Walaupun terdapat peningkatan pasaran yang memberangsangkan pada 3Q2020, PCG kekal berhati-hati namun optimis bahawa pasaran akan menampakkan pemulihan secara beransur-ansur menjelang tahun 2021. "Walaupun harga petrokimia dijangkakan meningkat selaras dengan momentum pemulihan, pengenalan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 baru-baru ini mungkin memberikan kesan yang melembapkan pemulihan pasaran. Untuk mengurangkan cabaran mendatang dan memastikan ketahanan, PCG akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kecemerlangan komersial dan mengekalkan disiplin kewangan yang ketat,” tambahnya.
 
Menekankan tentang rancangan pertumbuhan PCG, Datuk Sazali berkata, "Projek kami di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dijadualkan bermula pada 1Q2021. PIC akan meningkatkan kapasiti pengeluaran petrokimia kami sekitar 15% kepada 14.6 juta metrik tan setahun."
 
"Di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar, PCG akan meneruskan usaha pelaburan kami dalam rantai nilai hiliran dan bahan kimia khusus seperti derivatif butadiena, etoksilat, poliol polieter dan derivatif silikon. Melangkah ke hadapan, PCG akan terus melabur dalam bahan kimia khas yang inovatif dan bernilai tinggi bagi melengkapkan pengembangan perniagaan terasnya. Strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat ini akan lebih memperkuatkan daya tahan PCG” katanya.
 
 
 
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
 
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
E : yogeswari.thangavel@petronas.com
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.