Media Release

25 · Aug · 2021
PCG Mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai RM1.9 Bilion Pada 2Q2021 Didorong Oleh Permintaan Tinggi Dan Pemulihan Harga


  • Kadar penggunaan loji pada 97%
  • Margin EBITDA pada 38%
  • Dividen interim sebanyak RM1.84 bilion

 

 

Kuala Lumpur, 25 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan pendapatan dan keuntungan suku tahunan yang kukuh bagi 2Q 2021. Prestasi yang didorong oleh lonjakan harga produk petrokimia turut disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan pemulihan dalam permintaan global yang kukuh.

 

Keuntungan selepas Cukai (PAT) Kumpulan sebanyak RM1.9 bilion dimana sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan margin produk walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar akibat peningkatan semula wabak COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan. Secara kumulatif, PAT meningkat kepada RM3.3 bilion pada 1H 2021 berbanding RM678 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

PCG juga mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM1.84 bilion yang merupakan 55% daripada PAT 1H 2021.

 

Sorotan utama 2Q 2021 berbanding 2Q 2020

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 77% kepada RM5.6 bilion (2Q 2020: RM3.2 bilion) disumbang oleh kenaikan harga produk, hasil daripada peningkatan permintaan global dan persekitaran bekalan yang ketat.
  • PAT meningkat kepada RM1.9 bilion (Q2 2020: RM185 juta).
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM2.1 bilion (2Q 2020: RM695 juta) dibantu oleh harga dan penyebaran produk yang lebih tinggi. Margin EBITDA meningkat kepada 38% (2Q 2020: 22%).
  • Dividen interim sebanyak 23 sen sesaham, diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Dividen berjumlah RM1.84 bilion bakal dibayar pada bulan September 2021.
  • Operasi kekal kukuh pada 2Q 2021, dengan volum jualan pada 2.1 juta mt dan kadar penggunaan loji pada 97%.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, “Kenaikan harga minyak mentah pada 2Q 2021, digabungkan dengan kenaikan permintaan petrokimia, telah mengukuhkan harga produk dan meningkatkan margin keuntungan. Berbanding dengan tahun sebelumnya, harga polimer dan urea masing-masing meningkat sekitar 70% dan 60%, manakala harga ammonia dan metanol meningkat dua kali ganda."

 

Mengulas mengenai perolehan suku tahunan tertinggi Kumpulan, beliau berkata, "Saya gembira dengan prestasi yang dicatatkan memandangkan persekitaran kerja yang semakin mencabar disebabkan wabak COVID-19. Model perniagaan PCG yang menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial memastikan kami memperolehi peluang pasaran sambil mengharungi gangguan rantaian bekalan global. Sebagai contoh, kami dapat mengoptimumkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan pelanggan walaupun sewaktu PCG sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori."

 

Bagi prospek PCG untuk bulan-bulan seterusnya bagi tahun 2021, Datuk Sazali berkata, "Kami menjangkakan kenaikan harga yang sederhana bagi 2H 2021. Memandangkan pencapaian yang memberangsangkan bagi 1H 2021, peningkatan keseluruhan prestasi kami tahun ini nampak menggalakkan. Tambahan lagi, kami akan meneruskan inisiatif kami termasuk langkah pengoptimuman kos bagi memaksimumkan prestasi kewangan dalam keadaan industri semasa yang kian meningkat."

 

Datuk Sazali seterusnya menjelaskan bahawa keuntungan Kumpulan akan terus disumbangkan oleh kapasiti pengeluaran PCG sedia ada. "Kapasiti baharu, terutamanya daripada fasiliti petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang, belum lagi mula menyumbang kepada keuntungan PCG tahun ini. Kami akan meneruskan usaha dalam memulakan operasi dengan selamat dan berjaya bagi kompleks bersepadu tersebut menjelang akhir tahun ini,” katanya.

 

 

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Media Relations, Corporate Affairs & Administration Department

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

T: +(603) 2331 5000 (GL), +(603) 23926434 (DL) M: (6) 017 2000919

E: yogeswari.thangavel@petronas.com