Media Release

22 · Aug · 2023
PCG Mencatatkan PAT Setinggi RM633 Juta pada 2Q 2023
  • Dividen Interim sebanyak RM640 juta

 

Kuala Lumpur, 22 Ogos 2023– PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) setinggi RM633 juta pada 2Q 2023, mengekalkan daya tahan kewangannya walaupun berhadapan dengan persekitaran pasaran yang mencabar.

 

Pendapatan Kumpulan berkurang sebanyak 6% suku ke suku kepada RM7.1 bilion berbanding dengan RM7.6 bilion pada 1Q 2023 berikutan permintaan yang lebih rendah daripada pengguna dan sektor pembuatan serta tekanan kos disebabkan oleh inflasi. Harga purata produk dan penyebaran produk turut menurun pada 2Q 2023, selaras dengan penurunan harga minyak mentah. Tambahan pula, kadar penggunaan loji juga berkurang berikutan gangguan bekalan bahan mentah kepada loji metanol dan urea di Labuan dan Sabah, yang menyebabkan penurunan dalam pengeluaran dan jumlah jualan.

 

Pada separuh pertama 2023, PCG mencatatkan pendapatan sebanyak RM14.7 bilion dan PAT setinggi RM1.2 bilion. Kumpulan turut mengisytiharkan pembayaran dividen interim sebanyak RM640 juta yang mewakili 55% daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan 1H 2023.

 

Soroton Utama 2Q 2023 berbanding 1Q 2023

 

  • Pendapatan berkurang sebanyak 6% kepada RM7.1 bilion (1Q 2023: RM7.6 bilion) berikutan jumlah jualan yang lebih rendah di samping harga purata produk yang rendah disebabkan oleh permintaan global yang berkurangan.
  • PAT meningkat sebanyak 18% kepada RM633 juta (1Q 2023: RM536 juta) disebabkan keuntungan penukaran mata wang asing yang tidak direalisasi berikutan kenaikan nilai Dolar Amerika Syarikat (USD) berbanding Ringgit Malaysia (MYR).
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dan margin EDITBA telah dicatatkan pada RM1.1 bilion (1Q 2023: RM1.1 bilion) and 15% (1Q 2023: 14%).
  • Dividen interim sebanyak 8 sen sesaham telah diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Dividen berjumlah RM640 juta akan dibayar pada September 2023.
  • Kadar penggunaan loji menurun kepada 82% (1Q 2023: 96%) disebabkan gangguan bekalan gas yang telah memberi kesan kepada pengeluaran metanol dan urea, seterusnya menyumbang kepada pengeluaran dan jumlah jualan yang berkurangan.

 

Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, “Pada 2Q 2023, kami menghadapi kekangan luaran yang sangat mencabar. Loji kami di Labuan dan Sabah mengalami penutupan yang tidak dirancang berikutan gangguan bekalan bahan mentah gas yang sementara, yang turut menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran dan jumlah jualan. Perkara ini menambahkan lagi tekanan kepada penurunan margin yang kami hadapi sejak Disember 2022 akibat harga dan penyebaran produk yang berkurangan.”

 

Sebagai impak daripada penurunan harga minyak mentah serta kadar pemulihan permintaan yang kurang memberangsangkan di China, harga purata bagi polimer telah menurun sebanyak 7% suku ke suku manakala olefin dan derivatif yang lain menunjukkan kadar prestasi yang sama. Harga ammonia dan urea yang telah mengalami perubahan sejak 2H 2022, terus menurun pada tahun 2023 selaras dengan isu bekalan berlebihan. Berbanding dengan suku pertama 2023, harga ammonia berkurang sebanyak 56% manakala urea menurun sebanyak 15% disebabkan kekurangan permintaan.

 

Mengulas mengenai prospek bagi 2H 2023, Yusri berkata, “Dalam beberapa minggu ini, harga produk telah menunjukkan peningkatan dengan aliran pertumbuhan dalam harga minyak mentah dan aktiviti penambahan semula stok. Namun demikian, kami menjangkakan margin untuk kekal di paras yang kurang memberangsangkan. Kami masih perlu berhadapan dengan kos operasi yang lebih tinggi, kadar pertumbuhan ekonomi sedunia yang perlahan dan persaingan tambahan daripada aliran-aliran baharu dalam industri, khususnya di China dan Amerika Syarikat. Permintaan untuk segmen bahan kimia khusus dijangkakan untuk kekal rendah, selari dengan pertumbuhan pengeluaran perindustrian sedunia yang perlahan, dan turut memberi kesan kepada permintaan daripada pasaran akhir.

 

Merujuk kepada operasi Kumpulan pada 2H 2023, Yusri bertambah, “Beberapa loji kami telah dijadualkan untuk menjalani aktiviti-aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berkanun. Berikutan itu, kami menjangkakan sedikit penurunan dalam jumlah pengeluaran. Kami kekal memberikan tumpuan kepada operasi penyelenggaraan dan kecemerlangan komersial bagi mengekalkan daya tahan kewangan kami.“

 

Mengulas berkenaan pertumbuhan projek Kumpulan, Yusri berkata, “Penjanaan semula loji petrokimia kami di Pengerang masih berterusan dan kami semakin maju ke arah operasi pengkomersialan.”

 

“Pada separuh tahun pertama ini, kami juga telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi pengambilalihan loji Maleic Anhydride (MAn) daripada BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd di Gebeng, Pahang. Berikutan penaikan taraf dan rejuvenasi kemudahan untuk menghasilkan MAn yang diproses, loji dijangkakan untuk beroperasi pada 2H 2025. Kegunaan utama MAn boleh dilihat dalam pembuatan resin poliester tidak tepu, cat dan bahan perisa makanan. Projek ini bertujuan untuk mengembangkan portfolio produk PCG, khususnya dalam derivatif serta memperkukuhkan penawarannya dalam bidang tersebut, selaras dengan strategi dua serampang kami yang menumpukan kepelbagaian derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian,” akhiri beliau.

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.