Media Release

23 · Feb · 2023
PCG Mencatatkan PAT Yang Kukuh Setinggi RM6.3 Bilion Pada FY2022

 

 

  • Margin EBITDA sebanyak 28%
  • Dividen interim kedua berjumlah RM1.3 bilion

 

Kuala Lumpur, 23 Feb – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan rekod tertinggi untuk pendapatan sebanyak RM29.0 bilion pada Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2022 (FY2022). Peningkatan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 26% berbanding RM23 bilion pada FY2021 ekoran daripada peningkatan harga produk yang lebih tinggi di samping pengukuhan nilai Dolar AS berbanding Ringgit Malaysia (USD/MYR) dan juga sumbangan hasil daripada pengambilalihan anak syarikat bahan kimia khusus, Perstorp Holding AB (Perstorp), baru-baru ini. PCG telah memperkenalkan segmen operasi yang baru untuk bahan kimia khusus di bawah penyata kewangan 4Q2022, mengikuti pengambilalihan Perstorp,.

 

PCG mencapai Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang kukuh sebanyak RM6.3 bilion pada FY2022, walaupun 14% lebih rendah tahun ke tahun berbanding RM7.3 bilion pada FY2021. Penggunaan loji dicatatkan pada 89% berbanding 93% pada tahun sebelumnya disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berkanun yang dijalankan pada tahun tersebut.

 

Hasil suku keempat (4Q 2022) telah meningkat sebanyak 25% tahun ke tahun kepada RM8.7 bilion berikutan jumlah jualan yang lebih besar, USD/MYR yang lebih kukuh dan sumbangan hasil pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen bahan kimia khusus, walaupun harga purata produk menurun akibat daripada permintaan yang lebih rendah, terutamanya untuk urea, metanol, polimer, dan glikol. Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 25% kepada RM1.7 bilion disebabkan oleh margin yang lebih rendah. PAT berkurang sebanyak 76% kepada RM 484 juta selaras dengan EBITDA yang lebih rendah, kerugian pertukaran asing tidak direalisasi dan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

PCG mengisytiharkan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham yang berjumlah RM1.3 bilion. Jumlah dividen yang diisytiharkan pada FY2022 adalah sebanyak RM3.3 bilion, mewakili 52% daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI).

 

Sorotan Utama 4Q 2022 Berbanding 4Q 2021

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 25% kepada RM8.7 bilion (4Q 2021: RM7.0 bilion) disumbang oleh hasil jualan Perstorp dan jumlah jualan yang lebih tinggi selaras dengan USD yang lebih kukuh berbanding MYR.
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 25% kepada RM1.7 bilion (4Q 2021: RM2.3 bilion) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi. Sebagai hasil, margin EBITDA pada suku ini menurun kepada 20% (4Q 2021: 33%).
  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun sebanyak 76% kepada RM484 juta (4Q 2021: RM2.0 bilion) disebabkan oleh EBITDA yang lebih rendah, kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi dan perkongsian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
  • Dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham telah diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. Dividen berjumlah RM1.3 bilion akan dibayar pada 23 Mac 2023. Jumlah dividen yang telah diisytiharkan pada FY2022 sebanyak RM3.3 bilion, mewakili 52% daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI).
  • Kadar penggunaan loji dicatatkan pada 100% (4Q 2021: 89%) pada suku tersebut yang menyumbang kepada peningkatan dalam pengeluaran dan jumlah jualan.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, “Pelengkapan pengambilalihan Perstorp pada Oktober 2022 merupakan pencapaian besar untuk PCG. Dengan kewujudan segmen bahan kimia khusus yang merangkumi Perstorp dan BRB, kini kami boleh menyertai pasaran akhir yang menarik dan berkembang pesat termasuk cat dan salutan, penjagaan diri, dan pemakanan haiwan di samping pelbagai tawaran produk, dan penyelesaian yang lestari, sejajar dengan usaha mempercepatkan pertumbuhan dan rancangan penyahkarbonan kami."

 

Beliau menambah, “Dalam operasi Malaysia, kami mencapai jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi selaras dengan kadar penggunaan loji 4Q 2022 kami yang mencecah 100% berbanding 97% pada 3Q 2022. Walau bagaimanapun, margin turut mengalami penurunan yang ketara pada suku tersebut ekoran daripada harga produk yang lebih rendah disebabkan permintaan global yang berkurangan, di samping kos operasi yang lebih tinggi. Walaupun mengalami ketidaktentuan dalam pasaran, PCG tetap mencapai pendapatan bersih tahunan yang membanggakan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham kami.”

 

Mengulas mengenai pasaran, “Kami melihat pembukaan semula dan kelonggaran dasar Zero-COVID China sebagai perkara positif untuk sektor kimia, terutamanya untuk polimer dan olefin yang telah beransur pulih dalam beberapa minggu ini. Namun demikian, kami tetap berjaga-jaga berikutan perubahan dinamik dalam geopolitik dan iklim yang berpotensi menjejaskan ekonomi global. Harga produk petrokimia akan sentiasa berubah. Sebagai contoh, harga urea telah menurun secara mendadak di luar jangkaan walaupun peperangan Rusia-Ukraine masih berterusan. Kami menjangkakan cabaran pada separuh pertama 2023 di samping permintaan yang rendah dan kos yang lebih tinggi akibat inflasi, terutamanya untuk perniagaan kami di Eropah dan Amerika Syarikat.”

 

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), “Kami telah meneruskan operasi loji petrokimia secara berperingkat berikutan pemulihan lengkap saluran paip yang terjejas selepas kejadian pada Oktober 2022,” tambah beliau.

Mengulas berkenaan usaha-usaha kelestarian Kumpulan, Ir. Mohd Yusri berkata, “Kami telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan sebanyak 100,000 tan Karbon Dioksida (tCO2e), bersamaan dengan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) dalam operasi kami di Malaysia menjelang 2024. Melalui inisiatif pengoptimuman operasi, kami telah mencapai pengurangan di bawah pelepasan Skop 1 dan Skop 2 sebanyak kira-kira 108,000 tCO2e pada hujung tahun 2022, lebih awal daripada rancangan asal.

 

“Kami merancang untuk memberi tumpuan kepada Project Air Perstorp, satu langkah inovatif yang melibatkan teknologi penangkapan karbon untuk menghasilkan metanol yang lestari. Projek ini dapat membantu kami merealisasikan aspirasi sifar bersih menjelang 2050,” akhiri beliau.

 

 

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 

 

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

 

 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.