Media Release

6 · Sep · 2023
PCG Mengembangkan Inisiatif Pengurusan Sisa Plastik Melangkaui Sempadan Malaysia
  • PCG telah mengembangkan program Be Green ke Indonesia buat kali pertama bagi meningkatkan kesedaran berkenaan pengurusan sisa plastik.
  • PCG akan memperkenalkan program Be Green ke lebih banyak negara selepas Indonesia

 

Kuala Lumpur, 6 September 2023 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mengembangkan Be Green, program impak sosial utamanya ke peringkat antarabangsa untuk julung kalinya, bermula di Indonesia dengan tujuan memberikan nilai tambahan kepada negara-negara di mana program ini berlangsung.

 

Pengembangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran bagi penggunaan dan pengendalian plastik yang betul menerusi pendidikan di kalangan komuniti tempatan berkenaan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang selaras dengan agenda Ekonomi Plastik Baharu (NPE) PCG dan strategi impak sosial, di samping menyumbang kepada peralihan global ke arah ekonomi sirkular.

 

“Pengembangan program Be Green yang melangkaui sempadan Malaysia ini adalah pencapaian yang membanggakan bagi PCG selaras dengan perjalanan kelestarian kami. Pengurusan sisa plastik adalah cabaran sedunia yang memerlukan komitmen daripada masyarakat, bermula dengan peringkat pendidikan. Melalui Be Green, kami merancang untuk berkongsi ilmu berkenaan plastik serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab dengan masyarakat, selaras dengan agenda NPE di bawah PCG. Kami akan terus memupuk sikap yang positif di kalangan masyarakat melalui usaha-usaha kami, justeru melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup lestari sebagai rutin harian,” kata Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Be Green di Indonesia, PCG telah menjayakan sebuah sesi perkongsian maklumat yang interaktif di Universiti Indonesia. Sesi tersebut memberi tumpuan terhadap peralihan PCG ke arah ekonomi sirkular, program Be Green, serta modul pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda. Melalui subsidiari PCG, PT PCM Kimia Indonesia, kami telah menyumbangkan 20 tong kitar semula kepada pihak universiti tersebut untuk ditempatkan di sekeliling kampus, bagi memudahkan pelajar untuk mempraktikkan amalan 3R.

 

PCG juga telah menganjurkan aktiviti ‘plogging’ di Jakarta, Indonesia sempena ‘Car Free Day’ di bandar tersebut yang mendapat sokongan dripada 100 orang peserta yang terdiri daripada Kedutaan Malaysia, rakan kongsi tempatan, pelajar-pelajar Universiti Indonesia serta kakitangan PCG. Sebanyak 150 kg sisa telah dikutip untuk tujuan pemprosesan dan kitar semula.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PT PCM Kimia Indonesia, A Najib Turmidi berkata, “Kami berbesar hati untuk memberi sokongan kepada program PCG Be Green ini di samping menanamkan budaya kelestarian di kalangan rakyat Indonesia. Selaras dengan penularan isu pencemaran plastik yang juga wujud di Indonesia, minat yang ditunjukkan daripada para pelajar tempatan bagi aktiviti ‘plogging’ kami menandakan potensi bagi program tersebut di negara ini, dan kami berharap untuk membawa inisiatif ini ke hadapan serta memberi impak yang positif kepada Indonesia.”

 

Ditubuhkan pada 2013, Be Green bertujuan untuk memberikan kesan positif terhadap masyarakat melalui pendidikan dan kolaborasi aktiviti kitar semula. PCG menggalakkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta amalan 3R dengan melibatkan penyertaan daripada sekolah dan komuniti tempatan di sekitar kawasan operasi PCG. Program ini juga bertujuan untuk menyokong usaha-usaha aktiviti impak sosial terhadap alam sekitar (Planting Tomorrow) di bawah PETRONAS, menerusi penglibatan bersama masyarakat tempatan di samping mengurangkan impak kami terhadap alam sekitar.

 

PCG juga telah menerbitkan modul pendidikan tambahan Plastik, Kelestarian dan Anda (PSYE) dalam pelbagai bahasa pada 2019, sebagai penambahan di bawah program Be Green. Diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia serta rakan kongsi yang lain, modul ini telah diagihkan kepada lebih 10,000 sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia.

 

Sejak tahun 2022, program Be Green telah diimplementasikan di 98 sekolah di serata Malaysia bersama modul PSYE dan telah mencapai lebih kurang 400,000 pihak berkepentingan, termasuk para pelajar dan pihak masyarakat. PCG akan terus mengembangkan program ini secara strategik kepada negara-negara lain selepas Indonesia.

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Gary Khoo

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : khoo.tseyau@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.