Media Release

19 · Aug · 2020
PCG Mengurangkan Kesan COVID-19, Mengaut Keuntungan 1H RM678 Juta
  • Penggunaan Loji pada 97%
  • Margin EBITDA pada 21%
  • Dividen Interim RM400 juta
 
Kuala Lumpur, 19 Ogos– PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mengekalkan keuntungan bagi 1H 2020 di sebalik cabaran global, kesan daripada wabak COVID-19 dan berikutan kegagalan rundingan OPEC+. Kumpulan mencatatkan Keuntungan selepas Cukai (PAT) 6 bulan sebanyak RM678 juta, dalam tempoh yang dimana seluruh dunia melalui perintah berkurung dan mengalami kejatuhan harga minyak mentah.
 
Ketangkasan PCG dalam mengatasi keadaan semasa akibat wabak ini telah membolehkan Syarikat mengekalkan prestasi operasi yang kukuh pada 1H 2020 seterusnya dapat mencapai kadar penggunaan loji dan jumlah penjualan pada tahap yang setanding dengan 1H 2019. Harga produk petrokimia yang tertekan dan keadaan penurunan industri yang berpanjangan, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu telah  memberi tekanan pada margin keuntungan.
 
 
Sorotan utama YTD 1H 2020 berbanding YTD 1H 2019
  • Operasi kekal kukuh pada 1H 2020, sejajar dengan Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji yang tinggi sebanyak 97%, setanding dengan 1H 2019.
  • Pendapatan merosot sebanyak 17% tahun ke tahun kepada RM7.1 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga produk yang lebih rendah, didorong oleh permintaan yang rendah dan penawaran produk petrokimia yang tinggi serta harga minyak mentah yang lebih rendah.
  • Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) merosot kepada 21% daripada 33% pada 1H 2019 disebabkan oleh margin produk yang lebih tipis.
  • EBITDA dan PAT masing-masing berjumlah RM1.5 bilion dan RM678 juta, lebih rendah sebanyak 48% dan 65% dari tahun ke tahun.
  • Dividen interim sebanyak 5 sen sesaham, diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Dividen yang berjumlah RM400juta bakal dibayar pada bulan September 2020.
 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah mengulas, “Secara keseluruhan, PCG menunjukkan prestasi berdaya tahan walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar. Kesan domino daripada COVID-19 telah menurunkan harga petrokimia ke paras terendah dalam sejarah, terutama pada bulan April dan Mei. PCG mengatasi impak tersebut dengan menumpukan fokus kepada kecekapan operasi dan mengambil kesempatan atas kekuatan pasaran kami di rantau ini. Ditambah dengan hubungan kerjasama erat kami dengan pelanggan, PCG dapat memaksimumkan pengeluaran untuk memenuhi komitmen penjualan dan penghantaran dengan gangguan yang minimum walaupun pada saat-saat yang sukar ini. "

 

"Kami optimis namun kekal berhati-hati ketika pasaran kini menunjukkan tanda-tanda peningkatan dengan pembukaan semula ekonomi. Pemulihan dijangka berlaku secara berperingkat menjelang akhir 2020 hingga 2021. Di PCG, kami komited untuk meningkatkan kemampuan operasi dan komersial kami, serta memberi tumpuan kepada usaha pengurangan kos bagi mengurangkan kesan harga produk rendah yang berterusan. Pasukan kami kekal berhati-hati dengan potensi risiko atau gangguan dan jug bertindak balas terhadap perubahan pasaran,” tambahnya.

 

Walaupun menghadapi cabaran semasa, PCG terus maju ke hadapan dengan perancangan pengembangannya. Mengulas mengenai projek pertumbuhan Kumpulan, "Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dalam persiapan untuk permulaan pada suku pertama tahun depan."

 

"Kami sedang memulakan dua projek kimia khusus, iaitu loji derivatif butadiena di PIC dan kimia khusus di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih yang pada ketika ini sedang menjalani tahap teknik kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). Selain daripada itu, kami sedang membangunkan loji pengadun silikon di Gebeng, sebagai sebahagian daripada perancangan pertumbuhan untuk Kumpulan Da Vinci, anak syarikat yang baru diambil alih. Ini akan membolehkan PCG memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk berasaskan silikon di rantau ini.

 

Sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian kami, kami sedang membina loji perintis untuk penghasilan bahan kimia dari punca biomas kelapa sawit. Kami yakin bahawa strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dengan cara mengembangkan perniagaan komoditi kimia serta kimia khusus akan memperkuatkan lagi daya tahan PCG,” kata beliau.

 
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.