Media Release

27 · Dec · 2022
PCG Menutup Tirai Inisiatif CSR di Lembah Klang dan Mendidik Masyarakat Mengenai Pengurusan Sisa Bertanggungjawab
  • Program PCG Be Green mendidik masyarakat mengenai pengutipan sisa yang betul dan kepentingan amalan 3R
  • Inisiatif komuniti PCG yang lain termasuk program SHOC4School dan program bantuan masyarakat

 

Kuala Lumpur, 27 Disember 2022 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah menutup tirai untuk program Be Green tahunannya di kawasan Lembah Klang yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kelestariannya untuk memacu negara ke arah ekonomi sirkular.

 

Dengan kerjasama Pusat STEM Negara Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Cenviro Sdn. Bhd., program tersebut melibatkan seramai 200 sukarelawan dari 27 sekolah terpilih di Kajang, Hulu Langat dan Bangi serta penduduk setempat dari Pangsapuri Prima Cempaka, Kajang, bersama warga kerja PCG dan rakan kerjasama.

 

Kempen kelestarian tersebut mengandungi ceramah pendidikan mengenai kesan pengurusan sisa bertanggungjawab yang diikuti dengan aktiviti pembersihan komuniti di kawasan sekitar Taman Tasik Cempaka, Bangi.

“Kami berharap dapat menerapkan budaya mengitar semula dan memupuk kesedaran terhadap pengurusan sisa di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda,” kata Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

“Dengan mendidik anak muda dari kecil, kita boleh melahirkan generasi yang bertanggungjawab dengan tabiat yang lebih lestari untuk masa depan yang mampan," katanya.

 

Selaras dengan aspirasi syarikat untuk menjadi rakan strategik dalam menangani pencemaran plastik, PCG memperkenalkan program Be Green pada tahun 2013, satu program pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sisa dengan matlamat untuk mempercepatkan inisiatif Ekonomi Plastik Baharu (NPE) yang mempromosikan kitaran sirkular plastik.

 

Berteraskan empat tunjang utama Inovasi, Infrastruktur, Pendidikan dan Pembersihan, program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai pengutipan dan pengasingan sampah yang betul serta menjaga kebersihan alam sekitar melalui amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

 

PCG Be Green juga telah diterapkan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia, khususnya Gurun, Sipitang dan kawasan tertentu di Selangor di mana mereka menganjurkan kempen kitar semula selama tempoh dua bulan. Inisiatif ini telah berjaya mengumpul jumlah sisa kitar semula hampir 45,000kg setakat Disember 2022.

 

Di samping inisiatif ini, PCG turut menerbitkan dan mengedarkan modul pendidikan tambahan Plastik Kelestarian dan Anda (PSYE) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara mulai 2019 untuk mengajar pengurusan plastik hujung hayat yang betul dan kepentingan ekonomi sirkular. Pada tahun ini, modul PSYE telah berjaya mencapai lebih 200,000 pelajar dan juga masyarakat.

 

“Adalah penting untuk kita mendidik generasi muda tentang pengurusan plastik yang betul, untuk mengekalkan kehijauan alam sekitar untuk mereka. Oleh itulah modul Plastik, Kelestarian dan Anda memainkan peranan penting dalam pemuliharaan alam sekitar dan kami memuji PCG untuk memperkenalkan inisiatif ini,” kata Nor Aida, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil.

 

Selain daripada insiatif Be Green, PCG juga bekerjasama dengan Pusat STEM Negara untuk memperkenalkan program Safe Handling of Chemicals for Schools (SHOC4School) yang bertujuan untuk mendidik pelajar, guru dan pembantu makmal tentang keselamatan makmal dan pengurusan kimia yang betul, yang menjadi sebahagian daripada tugas kami sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam industri.

 

Tambahan pula, PCG turut menjayakan program bantuan masyarakat yang memberi tumpuan kepada golongan B40 serta mangsa bencana iklim. Melalui inisiatif ini, PCG menyediakan bantuan makanan dan keperluan asas yang diperlukan kepada anggaran 1,500 keluarga di wilayah-wilayah tertentu di Malaysia.

 

 

 

 

 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

 

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E: yogeswari.thangavel@petronas.com