Media Release

9 · Jan · 2023
SMJ Bakal Mengambil Alih Kepentingan Ekuiti di PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd

Kota Kinabalu, Malaysia, 9 Januari 2023 – Negeri Sabah, melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn Bhd (SMJSB), dan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk (Heads of Agreement) bagi pengambilalihan 25% kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FSSB).

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat dan juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof dengan kehadiran Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan ll dan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi PETRONAS, Datuk Haji Bacho Pilong.

 

"Pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam PC FSSB akan membuahkan perkongsian keuntungan yang lebih besar kepada Negeri Sabah dalam industri minyak dan gas di Sabah. Ini merupakan tambahan kepada pengambilalihan aset saluran paip gas hiliran terpilih dan kontrak pembekalan gas asli oleh Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) baru-baru ini, yang menjadikan SEC pembekal domestik dan pengangkut gas asli terbesar di Sabah. Pengambilalihan ini menandakan peningkatan penyertaan GLC negeri Sabah dalam industri minyak dan gas," kata Dr. Dionysia Aloysius Kibat.

 

Ir. Mohd Yusri berkata, “Pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan dirinya sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekalkan dan memperkembangkan perniagaan petrokimia di Sabah. Kami menghargai peluang ini untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah. Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, di mana mereka akan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan PC FSSB di samping memberikan nilai tambahan kepada sumber gas negeri.”

 

PC FSSB, anak syarikat milik penuh PCG, ditubuhkan pada tahun 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah perbandaran Sipitang, Sabah. Ia dianggarkan 150 kilometer ke arah selatan Kota Kinabalu dan 20 kilometer ke selatan Sipitang. PC FSSB mempunyai fasiliti pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan direka untuk menghasilkan ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun. Ia merupakan loji ammonia dan urea “single train” terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. Ia merangkumi tanah seluas 211 ekar di SOGIP, berhampiran dengan pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik.

 

PC FSSB merupakan pemangkin utama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah melalui SOGIP. Ia merupakan loji baja pertama dan loji petrokimia bertaraf dunia pertama yang dibina di Sabah. Urea digunakan secara langsung sebagai baja atau bahan mentah untuk penghasilan resin dalam papan lapis dan pelekat, serta bahan kimia lain. Ammonia digunakan terutamanya sebagai bahan mentah untuk urea, atau kegunaan industri seperti pembersih alkali dan gas penyejuk.

 


Perjanjian Ditandatangani : (Dari kiri) Ketua Perancangan Strategik dan Usaha Niaga, PCG Ir. Yaacob Salim; Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof; Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS Datuk Bacho Pilong, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat di majlis menandatangi perjanjian antara PCG and SMJSB.

# # #

 

 

Mengenai SMJ Sdn Bhd

 

SMJ Sdn Bhd adalah sebuah syarikat minyak dan gas negeri yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk menjaga kepentingan keseluruhan negeri dalam pembangunan minyak dan gas untuk kepentingan terbaik negeri, dan juga untuk mendapatkan perkongsian keuntungan yang lebih tinggi, pendapat serta penyertaan yang lebih besar dalam rantaian nilai minyak dan gas di negeri ini.

 

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 

 

Datuk Brenndon Keith Soh
Pengarah Undang-Undang & Komersial
SMJ Sdn Bhd
L2.01 Level 2 Plaza Shell
29 Jalan Tunku Abdul Rahman
88000 Kota Kinabalu.
E:
smj@smjsb.com.my

 

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.

 

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.  

 

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones.

 

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.