Media Release

25 · Nov · 2022
PCG Mencatatkan PAT Setinggi RM 1.9 Bilion Pada 3Q 2022
  • Margin EBITDA sebanyak 28%
  • Kadar penggunaan loji sebanyak 97%

 

Kuala Lumpur, 25 November 2022 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) terus mencatatkan pendapatan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022). Pendapatan suku ketiga (3Q 2022) meningkat sebanyak 22% tahun ke tahun berikutan harga purata produk yang lebih tinggi ekoran daripada pengukuhan nilai Dolar AS, ditambah dengan jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun sebanyak 3% tahun ke tahun kepada RM1.9 bilion, disebabkan margin yang lebih rendah dan sumbangan yang berkurangan daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

Berteraskan dasar kumulatif 9 bulan, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak 26% kepada RM20.2 bilion, manakala PAT Kumpulan bertambah sebanyak 11% kepada RM5.8 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Sorotan utama 3Q 2022 vs 3Q 2021

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 22% kepada RM7.0 bilion (3Q 2021: RM5.8 bilion) didorong oleh harga produk yang lebih tinggi berikutan Dolar AS yang lebih kukuh, ditambah dengan jumlah jualan yang lebih tinggi.
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 7% kepada RM2.0 bilion (3Q 2021: RM2.1 bilion) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih rendah. Margin EBITDA menurun kepada 28% pada suku ini (3Q 2021: 37%).
  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun sebanyak 3% kepada RM 1.9 bilion (3Q 2021: RM2.0 bilion), sejajar dengan margin yang lebih rendah dan sumbangan yang kurang daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
  • Kadar penggunaan loji meningkat kepada 97% (3Q 2021: 94%) menyumbang kepada jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof mengulas, “Harga produk kekal tinggi pada suku ini dengan sokongan harga minyak mentah dan tenaga yang tinggi, walaupun lebih rendah berbanding 2Q 2022. Jumlah pengeluaran dan jualan turut bertambah baik pada suku ini dengan kadar penggunaan loji kami yang telah meningkat sebanyak 97% daripada 72% pada 2Q 2022.” Dianggarkan 70% daripada jumlah pengeluaran PCG dieksport ke rantau Asia Pasifik, di mana Asia Tenggara merangkumi kira-kira 40%. Yusri berkata, "Walaupun pengukuhan nilai Dolar AS membantu meningkatkan pendapatan kami, kami menghadapi tekanan margin akibat kos operasi yang lebih tinggi."

 

Mengulas mengenai pasaran, "Kami melihat permintaan yang berkurangan, terutamanya untuk produk polimer, kesan daripada kos tenaga tinggi yang berterusan di samping sekatan COVID-19 yang berlanjutan di China. Setelah menurun ke paras 2021 sejak beberapa minggu yang lalu, harga olefin dan derivatif dijangka akan terus menyederhana sehingga pelonggaran sekatan di China. Walau bagaimanapun, harga urea dijangka kekal tinggi antara USD550/tan metrik hingga USD700/tan metrik berikutan harga tenaga yang terus menaik akibat perang Rusia-Ukraine yang berterusan."

 

Menjelaskan mengenai inisiatif pertumbuhan, Yusri berkata “Pada bulan Oktober lepas, Perstorp Holdings AB (Perstorp) yang berpangkalan di Sweden telah menjadi sebahagian daripada keluarga PCG. Kami berharap dapat mengekalkan dan memperluaskan nilai Kumpulan Perstorp, dengan memberi tumpuan kepada sasaran perniagaan yang sedia ada sambil memaksimumkan sinergi bersama PCG.” Sebagai sebuah syarikat bahan kimia khusus yang mempunyai pasaran di Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Pasifik, Perstorp merupakan penambahan strategik untuk rancangan pengembangan bahan kimia khusus dan penyahkarbonan PCG.

 

Mengenai Kompleks Integrasi Pengerang (PIC), “Kejadian kebakaran yang berlaku pada akhir Oktober lalu bukan di perkarangan fasiliti petrokimia kami dan sehingga kini, tiada sebarang kerosakan yang ditemui. Walau bagaimanapun, oleh kerana sifat bersepadu PIC, fasiliti petrokimia tersebut telah ditutup buat sementara waktu dan akan kembali beroperasi setelah semua pertimbangan dan keperluan dipenuhi,” akhiri beliau.

 

 

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol, bahan kimia asas yang lain, produk derivatif dan bahan kimia khusus.

 

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.  

 

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones.

 

Maklumat lanjut mengenai PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my

 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

 

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.