Media Release

17 · May · 2022
PCG Membuat Pengambilalihan Bersejarah, Ambilalih Perstorp, Peneraju Global Dalam Bahan Kimia Khusus Lestari Pada Nilai RM 10.5 Bilion
  •  
  • Pengambilalihan merupakan platform utama untuk strategi “step out” PCG ke dalam industri bahan kimia khusus
  • Perstorp akan mengukuhkan usaha penyahkarbonan PCG ke arah matlamat kelestariannya

Kuala Lumpur, 17 Mei PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti pada 14 Mei 2022 bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp Holding AB, sebuah syarikat bahan kimia khusus global yang didorong oleh kelestarian, dengan harga EUR1,538.0 juta, bersamaan dengan RM7,018.7 juta. Perjanjian tersebut ditandatangani dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners, sebuah firma ekuiti swasta Eropah. Pengambilalihan tersebut menilaikan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak EUR2,300.0 juta, yang bersamaan dengan RM10,496.1 juta.

 

Perjalanan PCG bagi mencapai visinya untuk menjadi syarikat kimia pilihan yang menyediakan penyelesaian pelanggan yang inovatif adalah berdasarkan strategi yang jelas; untuk mengukuhkan portfolio petrokimia asasnya, dan untuk mempelbagaikan secara terpilih ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian. Dalam pelaksanaan strategi ini, pengambilalihan ini menandakan penciptaan portfolio bahan kimia khusus yang penting, sambil meningkatkan pendapatan keseluruhan PCG. Ini berikutan pengambilalihan BRB Group pada tahun 2019, pengeluar bebas global terkemuka dan formulator silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia, yang membawa PCG memasuki bidang baharu, sejajar dengan cita-cita pertumbuhan jangka panjangnya.

 

"Pengambilalihan bersejarah ini merupakan peristiwa penting bagi PCG dalam mewujudkan platform utama untuk mempelbagaikan industri kimia khusus dan merebut peluang pertumbuhan baharu, selain membolehkan kami mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dalam menghadapi turun naik pasaran dan dinamik perubahan industri," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

"Perstorp sesuai secara strategik bagi PCG dan membolehkan kami untuk bersaing dalam pasaran akhir yang menarik seperti cat & salutan, pembinaan, automotif, penjagaan diri dan pemakanan haiwan yang mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh. Pengambilalihan ini juga akan memberi kami bakat kritikal, pengetahuan, platform teknologi dan saluran pelanggan yang terbukti untuk menangani keperluan pasaran dalam penyelesaian yang lebih mampan.

 

Ditubuhkan lebih daripada 140 tahun yang lalu, Perstorp adalah pemain dalam industri bahan kimia khusus yang membangunkan penyelesaian lestari dengan memberi tumpuan kepada pasaran Resin & Salutan, Cecair Tereka Bentuk dan Pemakanan Haiwan. Dengan tujuh tapak pembuatan canggih dan tiga pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh dunia, Perstorp mempunyai kehadiran di 26 negara termasuk AS, Eropah dan Asia Pasifik. Ia mempunyai kira-kira 1,500 tenaga kerja dan lebih daripada 2,600 pelanggan di seluruh dunia dengan 130 tawaran produknya dalam 30 kumpulan produk.  Ia mempunyai kedudukan global #1 dalam beberapa produk seperti Trimethylolpropane (TMP) dan Pentaerythritol (Penta). Perstorp dikenali dalam kalangan pelanggannya kerana kualiti dan penyesuaian produknya, kebolehpercayaan bekalan, menjaga kepentingan pelanggan dan produk lestari serta diiktiraf kerana kilang oxo dan poliol proprietarinya. Pada FY2021, Perstorp merekodkan hasil sebanyak kira-kira EUR1,334 juta (RM6,540 juta) dan mencatatkan EBITDA EUR248 juta (RM1,214 juta) dengan margin EBITDA sebanyak 18.6%.

 

Tambah Ir. Mohd Yusri, "Kami mendapati Perstorp menarik dengan rangkaian produk mereka yang luas, asas pelanggan yang mantap serta kepimpinan pasaran mereka dalam bahan kimia terpilih, yang merupakan pelengkap kepada PCG. Perstorp akan menambah sehingga 2.3 mtpa kepada kapasiti pengeluaran PCG dan menyumbang kira-kira 28% pendapatan tambahan kepada PCG berdasarkan keputusan 2021 serta menyokong matlamat jangka sederhana PCG dalam mewujudkan 30% pendapatan yang dijana daripada perniagaan bukan tradisional menjelang 2030. Kami teruja untuk mengalu-alukan Perstorp dan pasukannya yang luar biasa ke dalam keluarga PCG."

 

Jan Secher, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp berkata, "Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PETRONAS. Saya melihat persamaan yang kuat dalam nilai dan keutamaan dalam usaha kedua-duanya untuk memajukan perniagaan masing-masing, memenuhi cabaran dan peluang di masa depan. Dengan memanfaatkan jenama global PETRONAS yang kukuh dan kekuatan PCG sebagai peneraju industri dan pasaran yang bereputasi di rantau Asia Pasifik, kami yakin bahawa Perstorp dapat terus berkembang ke fasa pertumbuhan seterusnya."

 

Perstorp mempunyai strategi kelestarian yang terkemuka di industri dan terkenal dengan produk dan penyelesaian Pro-Alam Sekitar, yang digunakan dan diperlukan untuk transformasi kelestarian banyak industri dan produk akhir. Melalui strategi ini, Perstorp telah membangunkan beberapa penyelesaian seperti pengeluaran metanol lestari daripada karbon dioksida, aliran sisa, biogas dan hidrogen hijau di tapak Stenungsund untuk menggantikan sebahagian besar metanol berasaskan fosil menjelang 2026.

 

"Dengan pendekatan holistik dan inovatif Perstorp dalam mengurangkan kesan alam sekitar selaras dengan matlamat PCG untuk sumbangan alam sekitar dan sosial yang positif, PCG yakin bahawa bersama-sama kami akan dapat mempercepat perjalanan kelestarian ke arah ekonomi pekeliling dan neutral karbon menjelang 2050," kata Ir. Mohd Yusri.

 

Penyempurnaan pengambilalihan adalah tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan dan pemegang saham yang berkaitan.

 

Perjanjian termetrai: Duduk dari kiri, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof; dan Rakan kongsi PAI, Fabrice Fouletier; berdiri dari kiri, Ketua Pegawai Kewangan PCG, Mohd Azli Ishak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher bersama dengan, Rakan kongsi PAI, Ragnar Hellenius

 

 

Ibu pejabat Perstorp di Malmö, Sweden