Media Release

26 · Feb · 2024
PCG Merekodkan PAT Sebanyak RM1.8 Bilion untuk FY2023
  • EBITDA sebanyak RM3.8 bilion 
  • Dividen sebanyak RM1.0 bilion

Kuala Lumpur, 26 Februari – PETRONAS Chemicals Group Berhad merekodkan pendapatan sebanyak RM28.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, mencatatkan penurunan marginal berbanding RM29.0 bilion pada FY2022, selaras dengan tahun yang mencabar untuk industri kimia global. Pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan telah memberi kesan kepada industri yang menyebabkan permintaan produk dan harga semakin rendah. Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik menyebabkan harga tenaga kekal tinggi, mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah dan penekanan margin.

Kumpulan mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM1.8 bilion, penurunan berbanding RM6.3 bilion pada FY2022. Penggunaan loji dicatatkan pada 85% berbanding tahun sebelumnya pada 89% di samping cabaran-cabaran operasi serta aktiviti-aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berkanun yang dijalankan pada tahun tersebut.

Pada suku keempat 2023 (4Q2023), hasil meningkat sebanyak 6% suku ke suku kepada RM7.2 bilion berikutan jumlah pengeluaran dan volum jualan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, PAT menurun kepada RM142 juta atas penyebaran produk yang lebih rendah serta kos tenaga dan utiliti yang lebih tinggi.

PCG mengumumkan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham berjumlah RM400 juta. Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk FY2023 adalah RM1.0 bilion yang mewakili 61.3% daripada PAT dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI).

 

Sorotan utama 4Q 2023 berbanding 3Q 2023 

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 6% kepada RM7.2 bilion (3Q 2023: RM6.8 bilion) disumbang oleh volum jualan yang lebih tinggi selaras dengan USD yang lebih kukuh berbanding MYR.
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 35% kepada RM655 juta (3Q 2023: RM1.0 bilion) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih rendah serta kos tenaga & utiliti, dan juga kos penyelenggaraan yang lebih tinggi disebabkan penutupan loji yang tidak dirancang terutamanya segmen Olefin dan Derivatif (O&D). Margin EBITDA pada suku ini menurun kepada 9% (3Q 2023: 15%).
  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun sebanyak 68% kepada RM142 juta (3Q 2023: RM439 juta) selaras dengan EBITDA yang lebih rendah dan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham.
  • Dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham telah diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Dividen berjumlah RM400 juta akan dibayar pada 26 Mac 2024. Jumlah dividen yang telah diisytiharkan pada FY2023 sebanyak RM1.0 bilion, mewakili 61.3% daripada PAT dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI).
  • Kadar penggunaan loji dicatatkan pada 84% (3Q 2023: 77%) pada suku tersebut yang menyumbang kepada peningkatan dalam pengeluaran dan jumlah jualan.

 

“2023 merupakan tahun yang sukar untuk PCG, pada bahagian pasaran dan juga operasi. Di samping kita menempuh pasaran bahan kimia yang tidak menentu sepanjang tahun, kami turut menghadapi gangguan di beberapa loji kami, yang mengakibatkan prestasi yang lebih rendah dalam segmen O&D serta Baja dan Metanol (F&M) kami. Pada masa yang sama, segmen Bahan Kimia Khusus terus terjejas kerana isu pengurangan stok berterusan dan juga persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar-pengeluar China. Di samping penyebaran rendah yang berterusan dan cabaran operasi, kami kekal berdaya tahan dengan kedudukan kewangan yang memuaskan justeru membolehkan kami melangkaui komitmen kepada pemegang saham,” kata Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG.

Mengenai prospek pasaran bahan kimia, beliau berkata, “Cabaran yang dilalui pada 2023 dijangka berterusan hingga 2024 kerana pemulihan ekonomi dijangka kekal perlahan namun peluang dalam pelbagai sektor masih ada. Harga etilena dijangka meningkat pada akhir tahun selaras dengan peningkatan penggunaan yang turut mendorong permintaan untuk polietilena dalam aplikasi pembungkusan. Untuk segmen F&M, harga urea dijangka stabil, dengan sokongan daripada musim penanaman di India dan larangan berterusan eksport urea dari China. Harga metanol mungkin berkurang kerana permintaan hiliran dijangka kekal rendah, dan begitu juga dengan bahan kimia khusus.”

Mazuin bertambah "Industri kimia bersifat siklis, oleh itu kami menjangkakan kitaran menurun ini akan berubah apabila permintaan sejajar dengan bekalan. Kami telah berjaya menyelesaikan kebanyakan cabaran operasi dan turut merancang posisi Syarikat secara strategik untuk merebut peluang apabila pasaran bertambah baik.”

Mengenai projek pertumbuhan pula, Mazuin menyatakan bahawa ujian prestasi sedang dijalankan di fasiliti petrokimia di Pengerang. “Kami teruja untuk mencapai operasi komersial di loji baharu yang lain tahun ini, termasuk loji melamin di Gurun, Kedah; loji kimia khusus di Sayakha, India, untuk pengeluaran pentaerythritol dan kalsium format; serta pengembangan loji asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang melalui syarikat usaha sama kami, BASF PETRONAS Chemicals. Ketiga-tiga fasiliti ini, dengan gabungan kapasiti tahunan yang dianggarkan dalam 130,000 tan metrik setahun, menandakan kejayaan dalam strategi dua serampang kami ke arah mencapai pertumbuhan yang lestari,” akhirinya.

 

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:  

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.