Media Release

22 · Apr · 2021
Prestasi Berdaya Tahan Pada Tahun 2020, PCG Sedia Untuk Pertumbuhan Yang Mampan
Kuala Lumpur, 22 April – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-23 bagi membentangkan prestasi Syarikat kepada para pemegang sahamnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Mesyuarat secara maya tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi PCG, Datuk Md Arif Mahmood, yang juga Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS. Turut hadir bersama adalah semua ahli Lembaga Pengarah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah serta Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak.
 
Pada mesyuarat tersebut, Datuk Sazali berkongsi mengenai prestasi Syarikat, rancangan pertumbuhan dan strategi kelestariannya serta tinjauan untuk 2021.
 
Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar. Wabak COVID-19 telah memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi dunia disamping perang perdagangan AS-China yang masih belum selesai, ditambah pula dengan kegagalan rundingan OPEC+ yang menyebabkan keruntuhan harga minyak mentah. Walaupun menghadapi cabaran ini, Syarikat kekal fokus terhadap operasi dan keselamatan loji, mengekalkan kadar penggunaan loji yang terbaik pada 94%, lebih tinggi daripada piawaian bertaraf dunia pada 90% dan mengekalkan rekod keselamatan yang cemerlang. Hasilnya, PCG memecahkan rekod jumlah pengeluaran pada 10.7 juta tan setahun dan mencapai tahap kebolehpercayaan pemenuhan pesanan bertaraf dunia pada kadar 97% yang jelas menunjukkan kecekapan dan daya tahan PCG.
 
“Pencapaian ini adalah hasil daripada keupayaan kami memanfaatkan kekuatan yang kami ada. Kami telah lama membina asas-asas yang kukuh dan berupaya menghadapi pelbagai cabaran. Dengan teknologi terkemuka, kemudahan bersepadu, kelebihan logistik, portfolio yang pelbagai, jejak serantau dan hubungan rapat dengan pelanggan, kami kekal berdaya tahan. Hasilnya, PCG mengakhiri tahun 2020 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.6 bilion. Sejajar dengan dasar dividen Syarikat, untuk tahun kewangan 2020, kami telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 12 sen atau RM960 juta, menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 59% daripada jumlah keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI),” kata Datuk Sazali.
 
Dalam menjelaskan tentang strategi pertumbuhan PCG, tambah beliau, “Kami kekal fokus dalam menjalankan strategi serampang dua mata kami iaitu, untuk mengekalkan kekuatan kami dalam produk petrokimia asas dan mempelbagaikan kepada derivatif, bahan kimia dan larutan khusus.”
 
Pertumbuhan dalam bahan kimia asas melalui Da Vinci Group (DVG) berjalan seperti yang dirancang. DVG, syarikat yang diperoleh PCG pada tahun 2019, sedang meluaskan kapasitinya dengan pembinaan loji silikon di Gebeng, Pahang dan sebuah fasiliti baru untuk bahan pelincir tambahan dan bahan kimia di Echt, Belanda. Setelah fasiliti ini siap, PCG akan mempunyai akses yang lebih luas ke dalam pasaran akhir dengan pertumbuhan tinggi seperti produk penjagaan diri, automotif dan penjagaan kesihatan. Perjalanan pertumbuhan PCG juga bertambah maju dengan terbentuknya perkongsian usaha sama dengan PT AKR untuk mengedarkan bahan kimia di seluruh Indonesia. Perkongsian ini akan membuka akses kepada pasaran yang lebih meluas di Indonesia sekaligus membolehkan PCG untuk berkhidmat dengan lebih efektif terhadap para pelanggannya.
 
“Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) akan membuka platform yang baru untuk kami mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pengeluaran bahan kimia asas dan bahan kimia khusus. Kami sedang bersiap sedia untuk permulaan penuh pada separuh kedua tahun 2021. Dengan PIC, kami menjangka untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kami dianggarkan daripada 12.8 juta sehingga 14.6 juta tan setahun,” tambah Datuk Sazali.
 
Mengulas tentang strategi kelestarian PCG, Datuk Sazali berkata, “Kami melihat kelestarian sebagai satu lesen untuk beroperasi. Justeru itu, kami memberikan tumpuan kepada 3Ps; People, Planet dan Profit. Untuk People, kami akan terus membuat pelaburan untuk memastikan kesejahteraan kakitangan dan komuniti sekeliling. Untuk Planet, perniagaan kami akan sentiasa menggalakkan pengurusan alam sekitar dan kecekapan sumber, manakala untuk Profit, kami akan memastikan perniagaan kami kekal mampan dan terus berkembang maju. Pertumbuhan PCG juga termasuk inisiatif hijau seperti pelaburan bagi kilang perintis bio-Mono Ethylene Glycol (MEG) pertama di dunia melalui penukaran langsung daripada biomas sawit yang menggunakan teknologi dalaman.”
 
“Tahun 2020 diakhiri dengan perkembangan positif vaksin COVID-19, begitu juga dengan adanya tanda-tanda pemulihan ekonomi. Harga untuk minyak dan bahan kimia, khususnya, telah menunjukkan penambahbaikan menjelang akhir tahun 2020. Buat masa ini, pasaran telah mulai pulih, walaupun kestabilannya masih tidak menentu. Dalam pada kami kekal optimis untuk masa hadapan, kami tetap berwaspada terhadap sebarangan kemungkinan yang boleh menjadi halangan kepada perniagaan kami. Kami akan meneruskan kecemerlangan operasi dan komersial kami dan usaha pengoptimuman kos serta mengejar peluang pertumbuhan pada tahun 2021. Kami yakin bahawa kami mampu untuk mengemudi dunia pasca wabak dengan asas yang lebih kuat, lantas mewujudkan lebih banyak nilai untuk semua pemegang saham kami,” akhiri Datuk Sazali.
 
Versi digital Laporan PCG 2020 ; Laporan Bersepadu, Laporan Kelestarian serta Laporan Tadbir Urus dan Kewangan boleh didapati di laman web PCG di https://www.petronas.com/pcg/media/reports dan laman web Bursa Malaysia di www.bursamalaysia.com di bawah pengumuman Syarikat.
 
 
PCG 23rd AGM (Pix 1)
 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Pentadbiran

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.