PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Rekod Prestasi Cemerlang Sembilan Bulan Pertama, Terus Memacu Sifar Bersih dan Peralihan Tenaga Saksama

2022 Media Release - 30 Nov

KUALA LUMPUR, 30 November 2022 – PETRONAS merekodkan prestasi cemerlang bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022 dalam pasaran tenaga yang tidak menentu serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

Prestasi kukuh Kumpulan dipacu oleh tumpuan syarikat untuk pencapaian kecemerlangan komersial dan operasi perniagaan dengan selamat merentasi rantaian nilai bersepadu, disokong oleh harga komoditi yang tinggi.

Kumpulan akan terus berdisiplin dengan melabur secara bertanggungjawab ke arah melaksanakan strategi tiga serampang (three-pronged) dan sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 (NZCE 2050).

Tempoh kumulatif berakhir 30 September 2022
(Analisis berbanding Tempoh Kumulatif berakhir 30 September 2021)

Bagi sembilan bulan pertama 2022, Kumpulan merekodkan pendapatan yang lebih baik sebanyak RM271.3 bilion berbanding RM171.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh kesan harga yang menggalakkan untuk produk utama selari dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat kepada RM77.2 bilion dan Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) adalah sebanyak RM130.2 bilion.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) meningkat kepada RM83.1 bilion.

Jumlah aset diperkukuhkan kepada RM725.6 bilion setakat 30 September 2022 berbanding RM635.0 bilion pada 31 Disember 2021.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM386.2 bilion setakat 30 September 2022, berbanding RM350.8 bilion pada 31 Disember 2021, khususnya disumbangkan oleh keuntungan lebih tinggi yang direkodkan pada tempoh berkenaan.

Perbelanjaan modal (CAPEX) Kumpulan adalah sebanyak RM27.4 bilion, peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Perniagaan Huluan kekal sebagai penyumbang utama.

Suku Ketiga FY2022
(Analisis berbanding Suku Ketiga FY2021)

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, Kumpulan merekodkan pendapatan lebih tinggi pada RM99.2 bilion, berbanding RM61.8 bilion pada suku sama tahun lalu terutamanya disebabkan oleh kesan harga semua produk dan impak pertukaran kadar yang menggalakkan.

PAT meningkat kepada RM30.8 bilion dan EBITDA berada pada RM47.5 bilion.

CFFO berjumlah RM20.7 bilion, berbanding RM21.8 bilion pada suku sama tahun lalu berikutan hutang bersih yang tinggi selari dengan harga yang tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik

"Prestasi kewangan teguh PETRONAS dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 adalah hasil dedikasi dan usaha kakitangan serta rakan kongsi ketika syarikat berdepan dengan pasaran tenaga yang tidak menentu.

Kumpulan akan terus menumpukan terhadap pelaksanaan prestasi yang selamat untuk memaksimumkan penjanaan tunainya dan mengembangkan portfolio perniagaan, selaras dengan strategi pertumbuhan tiga serampang dan sasaran NZCE 2050.

PETRONAS kekal berazam sepenuhnya untuk mengukuhkan daya tahannya dan merebut peluang baharu, dengan berpegang teguh kepada pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin modal yang teguh dalam melabur secara bertanggungjawab untuk menghasilkan pertumbuhan yang menguntungkan secara mampan.

Sambil meneruskan usaha ini, PETRONAS tekad untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada pemegang sahamnya termasuk memupuk ekosistem OGSE tempatan yang berdaya tahan dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di mana kami beroperasi.

Melangkah ke hadapan, PETRONAS kekal tekad dalam mempercepatkan pertumbuhan dengan peningkatan pelaburan, khususnya dalam membuktikan portfolio syarikat pada masa hadapan dalam persekitaran yang semakin tidak menentu dan berubah-ubah. Kumpulan telah mengambil langkah strategik jangka panjang sebagai tindak balas kepada peralihan tenaga dengan pelancaran Hala Tuju NZCE 2050 PETRONAS.

Kami secara berhati-hati mengambil langkah untuk meneroka nilai baharu daripada portfolio teras syarikat dengan memberi tumpuan kepada penyahkarbonan operasi serta mengejar peluang menarik dalam penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

Berlandaskan kepada Penyataan Tujuan syarikat, PETRONAS kekal komited sepenuhnya untuk menyediakan dunia dengan tenaga yang diperlukan untuk mencapai aspirasi bersama untuk masa depan yang rendah karbon secara yang adil dan bertanggungjawab."

Kelestarian dan Pelaburan Impak Sosial

PETRONAS mengumumkan hala tuju NZCE 2050 pada 1 November 2022, yang menetapkan butiran bagaimana organisasi akan menangani pelepasan daripada operasi dan sasaran pertumbuhannya untuk penyelesaian tenaga yang lebih bersih. PETRONAS telah menetapkan sasaran jangka pendek untuk menghadkan pelepasan operasi kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2024 di Malaysia dan mencapai 25 peratus pengurangan pelepasan mutlak bagi seluruh Kumpulan menjelang 2030 berdasarkan data pelepasan 2019. PETRONAS memperuntukkan 20 peratus daripada perbelanjaan modalnya untuk projek penyahkarbonan dan pengembangan kepada penyelesaian tenaga yang lebih bersih dari 2023 hingga 2026.

Pelaksanaan sasaran ini adalah berpaksikan pada konteks perniagaan, dasar negara, rangka kerja antarabangsa dan konsensus saintifik terhadap perubahan iklim yang menyokong matlamat bercita-cita tinggi yang digariskan dalam Perjanjian Paris.

Menjangkaui perniagaan, PETRONAS komited untuk memberi kembali kepada masyarakat dan mewujudkan impak sosial yang positif untuk rakyat Malaysia dan negara di mana kami beroperasi. Setakat 30 September 2022, PETRONAS menyumbang lebih RM540 juta ke arah usaha kemampanan dan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara, yang memanfaatkan lebih 900,000 penerima di seluruh dunia.

Tinjauan

Harga minyak dan gas dijangka terus tidak menentu, dipengaruhi oleh tekanan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi. Dalam berdepan dengan krisis tenaga global yang belum pernah berlaku sebelum ini, PETRONAS akan terus fokus untuk melaksanakan kecemerlangan komersial dan operasinya. PETRONAS akan terus melabur secara bertanggungjawab ke arah memastikan sekuriti bekalan tenaga, dan meneruskan strategi pertumbuhannya serta hala tuju NZCE 2050 Kumpulan yang baru diumumkan baru-baru ini.

Sorotan Operasi untuk Suku Ketiga FY2022

Huluan

Memaksimumkan Penjanaan Tunai

  • Huluan merekodkan jumlah purata pengeluaran harian sebanyak 2,415 ribu tong minyak setara (boe) sehari pada tempoh sembilan bulan pertama 2022, lebih tinggi berbanding 2,269 ribu boe sehari yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Ini khususnya didorong oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi daripada operasi di Malaysia, ditambah dengan pengeluaran minyak mentah yang tinggi daripada operasi antarabangsa. Perkara ini sebahagiannya diimbangi oleh pengeluaran gas asli yang lebih rendah daripada operasi antarabangsa berikutan pelupusan aset Azerbaijan.
  • Berikut adalah pencapaian perniagaan setakat ini:
    • 29 projek di Malaysia dan luar negara mencapai hidrokarbon pertama – 25 brownfields dan empat greenfields.
    • 17 projek memuktamadkan keputusan pelaburan akhir (FID) – enam di Sarawak, satu di Sabah, satu di Wilayah Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA), empat di Indonesia, empat di Sudan Selatan dan satu di Brazil.
    • Tiga penemuan penerokaan – satu di Malaysia, Brazil dan Suriname.
  • Mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan progresif dalam meneroka peluang untuk sekuriti bekalan tenaga:
    • PETRONAS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF pada 1 September 2022 bagi meneruskan kerjasama di Argentina untuk projek huluan yang dikenalpasti dan bidang lain dalam rantaian nilai tenaga.
  • Dalam memperluaskan strategi pertumbuhannya di Afrika Barat, PETRONAS menandatangani kontrak dengan 30 peratus ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Marine 20 di Congo Brazzaville dengan TotalEnergies dan Woodside Energy yang dimuktamad pada 27 Julai 2022.

Stepping Out

  • PETRONAS terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab peneraju Penyerapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) di rantau ini. Pada Q3 FY2022, PETRONAS telah menjalin kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan:
    • DNV GL Malaysia Sdn Bhd pada 8 Julai 2022
    • Enam syarikat Korea Selatan; GS Energy Corporation, Lotte Chemical Co., Samsung Engineering Co.LTD, Samsung Heavy Industries, SK Earthon Co.Ltd, SK Energy Co.Ltd  pada 2 Ogos 2022.
    • Storegga Limited pada 24 Ogos 2022.
    • Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun dan Japan Bank for International Corporation (JBIC) pada 27 September 2022.

Kecemerlangan Rendah Carbon

  • Dalam menangani pelepasan dari operasinya seiring kemajuan PETRONAS dengan sasaran hala tuju NZCE 2050, Huluan merekodkan 19 peratus pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) pada suku ketiga FY2022 berbanding suku sama tahun lalu disebabkan pelaksanaan pelbagai projek pengurangan pelepasan.

Gas

Memaksimumkan Penjanaan Tunai

  • Keberkesanan Kelengkapan Keseluruhan (OEE) bagi Perniagaan Gas adalah pada 96.2 peratus merentasi semua segmen perniagaan.
  • Perniagaan Gas PETRONAS meraih pencapaian berikut dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022:
    • Menghantar 301 kargo gas asli cecair (LNG) dari Kompleks LNG PETRONAS (PLC) di Bintulu kepada pelanggan seluruh dunia.
    • Menghantar 33 kargo LNG dari fasiliti LNG terapung PETRONAS, PFLNG SATU dan PFLNG DUA.
    • Melengkapkan sebanyak 1,943 penghantaran Sistem Paip Maya (VPS) dan LNG Bunkering di Malaysia kepada pelanggan yang jauh serta industri marin.
    • Memuktamadkan sebanyak 136 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) perjanjian bekalan gas asli bersama pelanggan baharu dan sedia ada daripada sektor bukan tenaga.

Mengembangkan Perniagaan Teras

  • PETRONAS terus berkembang dan mempelbagaikan perniagaan bersepadunya dengan perkongsian strategik bersama YPF di Argentina meliputi MoU dan Perjanjian Kajian dan Pembangunan Bersama (JSDA). Kerjasama itu bakal menyaksikan PETRONAS dan YPF menjalankan kajian terperinci mengenai projek LNG bersepadu yang berpotensi di Argentina daripada pengeluaran gas huluan, pembangunan infrastruktur dan saluran paip khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran LNG..
  • PETRONAS memperluaskan lagi perkongsian LNG dengan Jepun melalui Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan & Industri (METI) Jepun. MoC bersama METI bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama untuk sekuriti tenaga di Asia melalui rangka kerja kerjasama LNG yang meliputi pelaburan dalam LNG, pengurangan pelepasan GHG dan pembangunan pasaran LNG yang fleksibel untuk mengurus gangguan pasaran.

Hiliran

Memaksimumkan Penjanaan Tunai

  • Perniagaan Hiliran merekodkan Keberkesanan Peralatan Keseluruhan (OEE) sebanyak 82.8 peratus pada Q3 FY2022 disokong oleh operasi loji yang stabil.
  • Perniagaan Pemasaran keseluruhannya merekodkan jualan 18.5 bilion liter, peningkatan 20.9 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu iaitu 15.3 bilion terutamanya didorong oleh pemulihan permintaan dalam kedua-dua segmen Runcit dan Komersial. PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) merekodkan peningkatan 33 peratus dalam jumlah jualan apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula. Sementara itu, Engen merekodkan peningkatan 9.5 peratus dalam jumlah jualan  disumbangkan khususnya oleh pemulihan permintaan dalam segmen Komersial.
  • PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merekodkan penggunaan loji sebanyak 85.1 peratus menghasilkan 7.1 juta tan metrik produk petrokimia berikutan pemulihan statutori di lima loji. PCG merekodkan jumlah jualan petrokimia sebanyak 5.7 juta tan metrik bersandarkan kepada harga produk petrokimia yang stabil, sejajar dengan pemulihan pasaran dan bekalan yang ketat.

Mengembangkan Perniagaan Teras

  • Untuk mempertingkatkan lagi pengalaman pelanggan dan mempelbagaikan portfolio bukan bahan api, PDB menerokai perniagaan Café Mesra; konsep baharu untuk menambah baik tawaran runcit dan menyokong perniagaannya pada masa akan datang. Sehingga kini, Café Mesra berada di 16 stesen PETRONAS di sekitar pusat bandar Malaysia.
  • PDB memperkenalkan platform sehenti e-dagang yang baharu – PETRONAS Shop – menerusi aplikasi Setel dengan ciri One-Click Checkout untuk pengalaman pelanggan yang lebih lancar. Platform ini menawarkan rangkaian luas produk jenama PETRONAS yang tulen seperti pelincir PETRONAS serta barangan dari PETRONAS Twin Towers Gift Shop dan Petrosains.

Stepping Out

  • PCG dan ExxonMobil menandatangani MoU untuk menilai potensi pelaksanaan berskala besar untuk pelaksanaan teknologi kitar semula plastik termaju untuk membantu mewujudkan Ekonomi Plastik Baharu di Malaysia. MoU itu turut membuka peluang kepada PCG untuk membangunkan kepakaran teknologi kitar semula plastik, yang akan membolehkan Kumpulan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk berkaitan sambil menangani cabaran sisa plastik.
  • PETRONAS juga menyambung peranannya sebagai Penaja Rasmi dan Teknikal dengan Pasukan Formula1 Mercedes-AMG PETRONAS, bermula pada musim 2026 dan seterusnya, menandakan komitmen syarikat ke arah masa depan yang mampan dengan penggunaan 100 peratus bahan api lestari termaju untuk unit kuasa generasi akan datang. Dengan pengalaman yang luas dalam rumusan Fluid Technology Solutions™ untuk pasukan, PETRONAS dilengkapi sepenuhnya dengan kapasiti dan keupayaan dalam menyempurnakan teknologi untuk menghasilkan dan membekalkan bahan api kepada pasukan F1.

Sorotan Perniagaan Lain

Gentari Sdn Bhd

  • Penyedia tenaga bersih Gentari Sdn Bhd (Gentari) secara rasminya dilancarkan pada September.
  • Gentari meraih pencapaian berikut di bawah tiga tawaran terasnya – penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau
  • Tenaga Boleh Diperbaharui
    • Gentari mencapai 1.12 GW kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam operasi dan masih dalam pembangunan.
    • Project Dev, projek Open Akses utama di Uttar Pradesh, India, dengan kapasiti 56.5MW, telah berjaya dimulakan pada Julai 2022.
  • Hidrogen
    • Gentari dan TNB meneroka kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan projek hidrogen yang termasuk bekalan kepada loji janakuasa Paka TNB, sebagai sebahagian daripada MoU yang ditandatangani antara PETRONAS dan TNB untuk bekerjasama dalam memacu penyelesaian inovatif ke arah penyahkarbonan.
    • Gentari menunjukkan kemajuan menerusi kajian pra-kebolehlaksanaan untuk dua projek hidrogen-ke-ammonia di India, menandakan kejayaannya dalam segmen hidrogen India.
    • Satu MoU ditandatangani antara Gentari dan SK Companies dari Korea Selatan untuk potensi pembangunan bersama untuk hidrogen bersih, ammonia atau produk yang berkaitan.
  • Mobiliti Hijau
    • Sehingga kini, penawaran Vehicle-as-a-Service (VaaS) di India telah menghantar sejumlah 322 kenderaan tiga roda dan 139 titik pengecasan, serta mencapai satu juta kilometer bersih (bersamaan dengan pengurangan pelepasan CO2)
    • Sehingga kini, Gentari telah memasang sebanyak 89 titik pengecasan di Malaysia. Ini termasuklah 49 titik pengecasan di Suria KLCC, menjadikannya sebagai hab pengecasan EV terbesar di Asia Tenggara. Hab itu juga turut menyediakan pengecas pantas DC pertama yang dipasang di pusat beli-belah Malaysia serta pengecas pertama EV yang dipasang dengan pengiklanan luar rumah digital di Asia Tenggara.
  • Pada Q3 FY2022, PETRONAS memeterai MoU dengan Japan Bank for International Corporation (JBIC) untuk meningkatkan kerjasama dengan syarikat Jepun dalam pelbagai sektor termasuklah pembangunan rantaian nilai hidrogen dan ammonia, tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau.

MISC Berhad

  • MISC dan rakan konsortiumnya, Nippon Yusen Kabushiki Kaisha (NYK), Kawasaki Kisen Kaisha, Ltd. (K-Line) dan China LNG Shipping (Holdings) Limiyed (CLNG) memperoleh kontrak jangka panjang untuk tujuh kapal LNG baharu dengan QatarEnergy pada 10 Ogos 2022. Semua kapal ini akan dibina oleh Hyundai Heavy Industries (HHI) di Korea Selatan.
  • PTT Public Company Limited dan cabang Petroleum MISC, AET menandatangani MoU pada 29 September 2022 untuk pembangunan dan pembinaan untuk dua Aframax sifar pelepasan yang dikuasakan oleh ammonia hijau. Kerjasama ini adalah pelengkap kepada ‘The Castor initiative’, pakatan multinasional yang diasaskan oleh MISC dan rakan industrinya dalam merealisasikan penghantaran pelepasan. Bergantung kepada pelbagai pencapaian termasuklah ketersediaan Ammonia Hijau di Asia, AET akan memilih kapal yang bersesuaian dan dua kapal tangki dwi-bahan api sifar pelepasan yang akan dihantar untuk carter jangka panjang masing-masing pada Q4 2025 dan Q1 2026. MoU berkenaan ditandatangani adalah bukti komitmen sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS, untuk mengurangkan GHG menerusi kerjasama dengan rakan industri.
  • MISC memperoleh kontrak jangka panjang untuk dua kapal LNG baharu dengan SeaRiver Maritime LLC pada 30 September 2022. Kapal ini akan dibina oleh Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME) di Korea Selatan. Cabang perkhidmatan marin bersepadu MISC, Eaglestar akan terlibat dalam fasa pengurusan projek dan menguruskan operasi kapal sebaik sahaja ia dihantar pada 2025.
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots