Copyright © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (20076-K).
All rights reserved.
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2025 – PETRONAS menganugerahkan tajaan pendidikan kepada lebih 650 pelajar cemerlang menerusi program utamanya Memperkasa Ilmu dalam satu majlis yang diadakan di sini.
Pelajar lepasan SPM 2024 yang cemerlang, dari pelbagai latar belakang, menerima tajaan pendidikan untuk melanjutkan pengajian ijazah dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal dan pemasaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta institusi terkemuka lain di dalam dan luar negara seperti United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, dan Singapura.
Proses pemilihan dijalankan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan di seluruh negara, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, menyampaikan tajaan tersebut kepada para penerima dalam majlis yang diadakan di sini. Beliau turut ditemani oleh Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir. Bacho Pilong.
Dalam ucapannya, Ruslan berkata, “Tajaan ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan. Ia membuka peluang anda melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di dalam dan luar negara. Ia adalah peluang untuk meluaskan dan mendalami ilmu pengetahuan serta melengkap diri untuk kembali berbakti kepada masyarakat.
“Bagi tahun ini sahaja, PETRONAS memperuntukkan RM319 juta kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan. Komitmen ini mencerminkan fokus kami dalam membina ekosistem pendidikan yang kukuh, menyediakan tajaan serta membuka laluan ke arah peluang pekerjaan.”
Program Memperkasakan Ilmu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS terhadap pendidikan dalam menyokong pembangunan modal insan negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, ia memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia dengan nilai pelaburan sekitar RM4.2 bilion.
Program ini menyokong Agenda Kelestarian PETRONAS serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan melahirkan pemimpin masa depan yang berupaya memberi impak sosial yang berkekalan.