Copyright © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (20076-K).
All rights reserved.
BINTULU, 1 November 2023 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini merasmikan kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu yang telah dibangunkan oleh PETRONAS.
Hadir mewakili PETRONAS, Pengerusinya Tan Sri Mohd Bakke Salleh manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) diwakili oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Dalam majlis yang sama, Premier juga menyaksikan penyerahan kampus tersebut oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak yang seterusnya menyerahkan fasiliti pendidikan itu kepada MARA bagi urusan pengoperasiannya.
Upacara simbolik penyerahan antara ketiga-tiga entiti diwakili Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, PETRONAS, Farehana Hanapiah, Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli dan Ketua Pengarah MARA, Dato' Sri Azhar Abdul Manaf.
Turut hadir, menteri-menteri Sarawak, ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan, pengurusan tertinggi PETRONAS serta penduduk dan pelajar-pelajar tempatan.
Kampus MRSM Bintulu melibatkan kos pembinaan RM122 juta itu bakal beroperasi mulai Mac 2024, dan menyediakan peluang kepada para pelajar di Sarawak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta merangsang minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Tan Sri Mohd Bakke berkata penyerahan kampus tersebut menandakan kejayaan usahasama antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA. “Selaras dengan aspirasi bagi memperkasakan pembangunan modal insan yang berketerampilan, PETRONAS dengan dokongan dan sokongan penuh yang diberikan oleh semua pihak terlibat telah berjaya menyempurnakan pembangunan MRSM Bintulu ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya. PETRONAS ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA dalam menjayakan projek usahasama ini.”
Sementara itu, Datuk Rubiah berkata, kerjasama tiga penjuru antara MARA, Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS bakal menjadi pemacu pembangunan pendidikan di Bahagian Bintulu terutamanya dalam aspek modal insan.
“MARA akan terus komited dalam memastikan pembangunan sektor keusahawanan dan pendidikan sentiasa diutamakan. Manakala, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus menjadi “rural hero” dalam mensejahterakan luar bandar dan membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Sarawak khususnya di Bintulu ini.”
Berkeluasan 22,000-meter persegi, kampus MRSM Bintulu mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar. Kampus ini mempunyai pelbagai kemudahan, termasuk Bangunan Pentadbiran, Blok Akademik, Pusat Sumber, Asrama Pelajar, Pusat Pelajar, Dewan Makan, Dewan Serbaguna, Pavilion, Surau, Kediaman Kakitangan, Kediaman Guru, Bangunan Sampingan, dan Kemudahan Sukan. Kemudahan ini telah dirancang dengan teliti demi memenuhi pelbagai keperluan pelajar dan pendidik.