Copyright © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (20076-K).
All rights reserved.
KOTA KINABALU, 20 November 2023 – PETRONAS hari ini menyerahkan kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), menandakan detik bersejarah dalam pembangunan kampus itu yang bakal meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti di kalangan pelajar negeri ini.
Upacara simbolik penyerahan itu berlangsung di sini disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik serta Pengerusi MARA Datuk Wira Asyraf Wajdi Dusuki.
Di upacara itu, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, PETRONAS, Datuk Bacho Pilong menyerahkan replika kunci kepada wakil negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, yang seterusnya menyerahkan replika itu kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri bagi urusan pengoperasian fasiliti berkenaan.
Turut hadir, menteri-menteri kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pengurusan tertinggi PETRONAS.
Kampus MRSM Ranau, yang dibangunkan oleh PETRONAS dengan kos berjumlah RM132 juta, merupakan hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan MARA, dan bakal beroperasi mulai Mac 2024, sekali gus menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti di kalangan pelajar di Sabah serta merangsang minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata projek MRSM Ranau adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, MARA dan PETRONAS demi memperkasakan pembangunan modal insan yang berkemahiran khususnya melalui pendidikan.
“Majlis hari ini dengan penyerahan MRSM Ranau membuka satu lagi lembaran baharu dalam kerjasama antara semua pihak ke arah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan di kalangan belia Sabah sebagai aset yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran Negeri. PETRONAS percaya belia Sabah akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik ke arah melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran untuk menyokong penyampaian matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah – sejajar dengan matlamat Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS,” katanya.
Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi berkata, “Hasil kolaborasi antara MARA, PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah dalam membangunkan MRSM ini di negeri ini bakal mewujudkan dimensi baharu pendidikan luar bandar yang akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk Sabah, khususnya di sekitar daerah Ranau.”
“Semoga usaha membangunkan institusi pendidikan menengah yang terbaharu ini di negeri ini akan mengukuh serta memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar, sekaligus menjadi penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah.”
Dengan keluasan lantai melebihi 26,000 meter persegi, kampus MRSM Ranau mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar.
Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, pavilion, surau, kediaman kakitangan, kediaman guru, bangunan sampingan, dan kemudahan sukan yang telah dirancang dengan teliti demi memenuhi pelbagai keperluan pelajar, guru dan pengurusan kampus.