PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Membangunkan Glosari ESG dalam Bahasa Melayu

2023 Media Release - 20 Nov

KUALA LUMPUR, 20 November 2023 – PETRONAS bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama untuk membangunkan glosari istilah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam bahasa Melayu.

Wakil-wakil PETRONAS, DBP, ahli akademik, badan-badan kerajaan dan industri minyak dan gas akan berpadu tenaga melaksanakan projek selama dua tahun ini yang akan melibatkan penyusunan sehingga 1,000 istilah untuk menyumbang kepada komunikasi berkaitan ESG dalam bahasa Melayu.

Satu perjanjian kerjasama dimetrai baru-baru ini antara kedua-dua belah pihak, disaksikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr Mohd Anwar Ridhwan.

Mohd Bakke berkata inisiatif ini penting untuk penyampaian mesej yang jelas tentang topik kemampanan dan perubahan iklim sejajar dengan peningkatan tuntutan untuk ketelusan dan pelaporan tentang ESG.

“Kemunculan istilah baharu yang selaras dengan kemajuan dalam sektor tenaga penting untuk keperluan komunikasi penggiat industri, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat awam. Pengukuhan perbendaharaan kata tersebut mampu menjadi pemangkin penguasaan ilmu dalam bidang berkaitan ESG,” tambah beliau.

Mohd Anwar berkata DBP mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dan industri.

“DBP amat berbesar hati kerana buat julung-julung kalinya dapat bekerjasama dengan PETRONAS. Perjanjian kerjasama ini menjadi detik bersejarah dan titik permulaan untuk menjalinkan hubungan strategik serta persefahaman yang lebih erat antara DBP dengan PETRONAS melalui pelaksanaan pelbagai program,” tambah beliau.

Perjanjian kerjasama itu adalah bukti komitmen PETRONAS dan DBP dalam meningkatkan komunikasi ESG untuk keterangkuman dan jangkauan nasional.

Setelah selesai, glosari ESG ini akan ditempatkan di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP untuk kegunaan umum.

Dari kiri: Pengurus Besar Pengurusan Komunikasi PETRONAS, M Fazli Ibrahim; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah DBP, Dato’ Dr Mohd Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots