Copyright © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (20076-K).
All rights reserved.
Sorotan Kewangan Utama (RM Bil)
Berbanding 31 Disember 2024
KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2025 – PETRONAS mencatatkan pendapatan sebanyak RM132.6 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM173.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu. Penurunan pendapatan terutamanya disebabkan operasi yang dihentikan susulan pelupusan Kumpulan Engen pada Mei 2024, kesan pertukaran mata wang asing serta harga purata produk petroleum, minyak mentah dan kondensat yang lebih rendah berikutan penurunan harga penanda aras.
Selaras dengan pendapatan yang lebih rendah, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan menurun sebanyak 19 peratus kepada RM26.2 bilion berbanding RM32.4 bilion.
Kumpulan turut mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM54.4 bilion, iaitu penurunan sebanyak 15 peratus, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM48.1 bilion, menurun sebanyak RM6.7 bilion, terutamanya didorong oleh EBITDA yang lebih rendah dan sebahagiannya diimbangi oleh bayaran cukai.
Jumlah aset meningkat kepada RM780.7 bilion setakat 30 Jun 2025 berbanding RM766.7 bilion setakat 31 Disember 2024. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh hasil bersih daripada penerbitan nota dalam pasaran bon USD.
Ekuiti pemegang saham berjumlah RM437.1 bilion, menurun RM14.1 bilion, mencerminkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham dan pergerakan mata wang asing, yang sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan sepanjang tempoh tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:
“PETRONAS kekal teguh dalam komitmen untuk memperkukuh perniagaan dan ketahanan portfolio bagi pertumbuhan jangka panjang di sebalik persekitaran makro yang semakin mencabar pada separuh pertama tahun 2025. Menerusi pelaksanaan berfokus Strategi Peralihan Tenaga, pengoptimuman portfolio dan pengurusan modal yang berhemah, kami sedang mempercepat transformasi penting untuk terus menyampaikan tenaga secara selamat, boleh dipercayai dan mampan kepada semua pemegang kepentingan.
Ketika industri berdepan dengan peningkatan kos dan penurunan harga penanda aras, PETRONAS akan mempergiat usaha dalam kecemerlangan komersial dan operasi, peningkatan portfolio melalui kerjasama strategik, serta pengurusan kewangan yang berdisiplin. Langkah-langkah ini bertujuan untuk meletakkan PETRONAS dalam kedudukan yang lebih kukuh bagi meningkatkan kecekapan dan membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan.
Walaupun berdepan dengan cabaran yang semakin sukar, PETRONAS tetap komited untuk terus memberikan nilai kepada para pemegang saham dan pihak berkepentingan serta menyumbang kepada pembinaan sistem tenaga yang kukuh dan selamat demi masa depan yang mampan.”
Tinjauan
PETRONAS mengunjurkan harga minyak mentah kekal rendah berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan, ketidaktentuan makroekonomi, perkembangan landskap kawal selia serta penamatan pemotongan pengeluaran oleh OPEC+ yang dipercepatkan. Faktor-faktor ini dijangka terus mengubah dinamik tenaga global dan aliran perdagangan.
Dalam usaha mengharungi pasaran global yang kompleks dan cabaran operasi, Kumpulan PETRONAS sedang melaksanakan transformasi strategik dengan memberikan fokus terhadap peningkatan portfolio dan kerjasama strategik, serta peningkatan produktiviti dan kecekapan kos. Usaha ini memperkukuh kedudukan PETRONAS sebagai syarikat tenaga bersepadu yang komited untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan mampan disamping mengekalkan kekuatan kewangan dan daya tahan jangka panjang.
Bagi menjamin keselamatan tenaga, PETRONAS terus melangkah ke hadapan dalam penyediaan hidrokarbon dengan kos dan pelepasan yang lebih rendah. Perkembangan ini disokong oleh pelbagai penemuan dan pembangunan huluan, khususnya di Malaysia, Suriname, Indonesia dan Angola. Penghantaran pertama kargo LNG dari fasiliti LNG Canada yang baru beroperasi mengukuhkan lagi kedudukan PETRONAS sebagai pembekal LNG global yang dipercayai dan menandakan peluasan bekalan syarikat yang strategik. Pada masa yang sama, Kumpulan PETRONAS terus memperkukuh rantaian nilai rendah karbon bersepadu melalui pelaburan yang disasarkan dalam tenaga solar dan hab penyelesaian tenaga.
Rujukan
Klik di sini untuk melihat Laporan Kewangan Kumpulan PETRONAS