PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS, UMT Lancar CEFORE Bagi Memacu Transformasi Tenaga Mampan Malaysia

2025 Media Release - 27 Sep

KUALA TERENGGANU, 27 September 2025 – PETRONAS dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), salah satu model bersepadu pertama di dunia yang menggabungkan sumber tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dengan sistem penstoran tenaga dan sistem pengurusan tenaga.

Fasiliti pembuktian konsep (proof-of-concept) yang terletak di perairan Kuala Terengganu ini dibangunkan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan konsisten, berasaskan gabungan tenaga angin luar pesisir, solar, dan ombak. Ia turut dilengkapi sistem penstoran tenaga dan sistem pengurusan tenaga di tapak bagi memastikan bekalan berterusan.

Model inovatif ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa perjalanan Malaysia menuju masa depan tenaga mampan, selari dengan National Energy Transition Roadmap (NETR) dan aspirasi kelestarian negeri dalam melaksanakan agenda rendah karbon.

Majlis pelancaran CEFORE di Pantai Tok Jembal telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi UMT Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi Projek, Teknologi & Kesihatan, Keselamatan, Kawalan dan Persekitaran (PT&HSSE), dan Naib Canselor UMT Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.

Tan Sri Mohd Bakke berkata, “PETRONAS amat menitikberatkan pembangunan yang mampan untuk kelestarian masa hadapan. Sehubungan dengan itu, kami berharap agar projek ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan tenaga boleh diperbaharui di kalangan generasi akan datang.

“Projek berwawasan ini berfungsi sebagai pembuktian konsep tenaga boleh diperbaharui campuran dan juga sebagai hab penyelidikan. Ia turut menandakan satu langkah besar ke arah masa depan tenaga kita, menyerlahkan komitmen Malaysia dan Terengganu terhadap inovasi dan kelestarian. Dengan memanfaatkan sumber kekayaan Terengganu, kami telah membangunkan salah satu penyelesaian luar pesisir pertama di dunia untuk tenaga boleh diperbaharui berterusan, sekali gus memperlihatkan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi dan berpandangan jauh di peringkat global,” ujarnya.

Sementara itu, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri menegaskan bahawa UMT amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. “CEFORE bukan sahaja memacu perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara, malah menyediakan platform kepada universiti untuk membangunkan kursus khusus dalam bidang ini dan melahirkan bakat masa depan.

Kolaborasi ini menjadikan CEFORE sebagai model perintis tenaga boleh diperbaharui luar pesisir yang bukan sahaha berfungsi sebagai pusat penjanaan mampan, malah menjadi platform integrasi ilmu, inovasi dan pembangunan kapasiti negara,” ujarnya.

CEFORE memacu inovasi dan pembangunan bakat, sambil menghubungkan keperluan dunia sebenar dengan penyelesaian berteknologi tinggi. Dengan kemudahan ini, PETRONAS melalui Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) dan UMT sedang memperkasa pembangunan keupayaan tenaga boleh diperbaharui serta program teknikal untuk melahirkan bakat bersedia menghadapi peralihan tenaga.

CEFORE dibangunkan melalui kerjasama erat antara pihak industri, akademia dan rakan teknologi strategik, dengan sokongan Arema Energies, Schneider Electric, Citaglobal dan Honeywell.

Selain matlamat teknikal, CEFORE juga dirangka untuk memberi impak bermakna kepada komuniti. Inisiatif ini akan menyokong peluang ekonomi untuk komuniti setempat, termasuk penyediaan kemudahan penyimpanan sejuk dan pembuatan ais dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui, diberikan secara percuma kepada nelayan. Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan sambil mengurangkan pergantungan kepada tenaga konvensional.

CEFORE turut diilhamkan sebagai hab edu-pelancongan dan pembelajaran awam, membolehkan pengunjung mempelajari teknologi tenaga boleh diperbaharui serta amalan kemampanan. Ini sejajar dengan komitmen PETRONAS terhadap tanggungjawab sosial dan usaha memperkayakan kehidupan komuniti di mana syarikat ini beroperasi.

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots