PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Memohon Penjelasan Mengenai Kerangka Kawal Selia Petroleum di Sarawak

2026 Media Release - 12 Jan

12 Januari 2026 - PETRONAS telah memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak. Pihak responden yang dinamakan adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan PETRONAS terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik. Permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut.

Keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak tahun 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada PETRONAS.

PETRONAS berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini. PETRONAS juga menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukan.

Sementara itu, PETRONAS tetap komited untuk melaksanakan operasinya dengan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak. Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa. PETRONAS akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak dan memelihara kemakmuran Malaysia.

PETRONAS kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usahasama syarikat.

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots