Hak Cipta © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(20076-K).
Hak Cipta Terpelihara.
KOTA KINABALU, 28 Ogos 2026 – PETRONAS hari ini menyampaikan tajaan pendidikan kepada lebih 100 pelajar cemerlang dari Sabah menerusi program Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026.
Para penerima yang merupakan lepasan SPM 2025 akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, sains data, psikologi dan bidang lain di Universiti Teknologi PETRONAS serta institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia, United Kingdom dan Kanada.
Mereka dipilih menerusi proses penilaian yang ketat dan kompetitif berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Majlis penyampaian anugerah tajaan itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, serta turut dihadiri oleh Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong.
Dalam ucapannya, Datuk James merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas usaha berterusan dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti untuk generasi muda Sabah. “Kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan ekonominya, tetapi juga melalui keupayaannya membangunkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS telah membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda Sabah untuk merealisasikan potensi mereka serta menyumbang kepada pembangunan masa depan negeri ini,” katanya.
Majlis itu turut meraikan 22 pelatih baharu yang ditaja untuk mengikuti program Diploma Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Program berkenaan mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memperkukuh laluan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional yang sejajar dengan keperluan industri.
Dalam majlis itu, PETRONAS turut menyampaikan Biasiswa Kecil PETRONAS kepada 25 pelajar sekolah menengah di Sabah bagi pengambilan sesi 2026/2027, sekali gus memperluas sokongannya kepada pelajar pada peringkat lebih awal dalam perjalanan pendidikan mereka.
Diperkenalkan pada 2023 menerusi kerjasama antara PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada kira kira 140 pelajar di seluruh negeri, meningkatkan peluang pendidikan, khususnya bagi pelajar daripada komuniti yang kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan.
Program itu turut mencatat satu lagi pencapaian memberangsangkan apabila sembilan lepasan SPM yang terpilih sebagai penerima Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 merupakan bekas penerima Biasiswa Kecil PETRONAS peringkat sekolah menengah.
Datuk Bacho berkata beliau bangga melihat semakin ramai golongan muda Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta berusaha membina masa depan yang lebih cerah.
“Setiap pelajar yang diraikan hari ini membawa harapan dan aspirasi keluarga, komuniti, serta negeri ini. Di PETRONAS, kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan dapat membuka peluang kepada individu, di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan.
“Kami berharap anda semua akan memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya, mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan masing-masing, dan pada suatu hari nanti, memberikan sumbangan bermakna kepada Sabah, serta Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program ajaan pendidikan PETRONAS. Di Sabah, PETRONAS terus melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan bakat dan latihan kemahiran yang bertujuan melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan, dilengkapi dengan pengetahuan serta keupayaan yang diperlukan untuk berdaya maju dalam persekitaran ekonomi yang semakin dinamik.
PETRONAS kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan rakan strategik bagi memperkasa generasi masa hadapan menerusi pendidikan, sekali gus menyumbang ke arah Sabah yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
