PETRONAS gigih berusaha untuk mengurangkan impak alam sekitar secara kolaboratif dengan beralih kepada penyelesaian tenaga karbon yang lebih rendah selain menggunakan operasi dan teknologi yang inovatif.
Memanfaatkan Tenaga Matahari
PETRONAS menyertai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang terbesar untuk tenaga solar di Malaysia dengan Lotus Stores (dahulunya dikenali sebagai TESCO) pada bulan Julai 2020. PPA selama 20 tahun ini melibatkan reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan panel fotovoltaik solar untuk 15 Lotus Stores terpilih di negara ini. Dibekalkan oleh NE Suria Satu Sdn Bhd, usaha sama antara PETRONAS dengan NEFIN Group, panel-panel tersebut dijangka dapat menghasilkan secara kolektif kira-kira 18 Gigawatt-jam tenaga bersih setahun, sekali gus membolehkan Lotus Stores mengurangkan lebih 12,500 tan pelepasan karbon. Pada suku ketiga tahun 2020, kerja pemasangan telah siap dilakukan di 13 Lotus Stores.
Memulihara Penyu Belimbing Hawksbill di Mexico
Operasi anak syarikat PETRONAS di Mexico, PC Carigali Mexico Operations, bekerjasama dengan Grupo Ecologista Quelonios (GEQ), iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited memperjuangkan perlindungan dan pemuliharaan penyu belimbing Hawksbill terancam di Punta Xen Centre, Champoton, Campeche, untuk memudahkan pemulihan dan penambahbaikan fasiliti pusat.
Kerjasama ini akan meliputi pemulihan bangunan utama untuk menambah baik penginapan pekerja dan gudang untuk menyimpan kelengkapan dan bahan-bahan untuk usaha pemuliharaan. Kerjasama ini juga akan membantu mencipta kawasan bertelur yang lebih besar dan dilindungi untuk telur penyu serta perlindungan yang lebih baik untuk penyu kecil sebelum mereka dilepaskan ke laut.
Sehingga September 2020, sejumlah 167,288 ekor penyu telah dilepaskan dengan selamat ke laut, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2019, sekali gus menjadikannya hasil yang amat bermakna daripada dedikasi pasukan projek.
Mengurangkan Penggunaan Tenaga Sebanyak 407,880 kWh Setahun
Untuk menyokong Agenda Nasional Malaysia mengenai perubahan iklim dan matlamat pengurangan pelepasan gas rumah hijau secara keseluruhan, INSTEP telah bekerjasama dengan TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan kos melalui pelaksanaan Peralatan Berkecekapan Tinggi CAPEXLESS. Projek MAGELLAN dirintis di INSTEP dan melibatkan penggantian pencahayaan dioda pemancar cahaya (LED) dan penerangan tiang tinggi di kawasan bukan proses. Dengan berbuat demikian, INSTEP dijangka dapat menjimatkan sebanyak 407,880 kWh setahun penggunaan tenaga, serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 283 tan.
Pengkomposan 15,000 kg Sisa Makanan Setahun
Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) sedang melaksanakan teknologi pengkomposan makanan pertama Kumpulan PETRONAS dengan memasang rumah pengkomposan di kampus, yang dijangka dapat melakukan pengkomposan kira-kira 15,000 kg sisa makanan setiap tahun. Pengkomposan makanan menutup lompang kelestarian dan membantu mencapai sisa makanan sifar dengan mengubahnya menjadi baja organik kompos atau baja kegunaan menanam selain menjadikan kampus lebih hijau.
Kelestarian sebagai Teras Projek Kampus Kepimpinan Baharu PETRONAS
Pasukan Projek Kampus Kepimpinan Baharu PETRONAS memberikan maklum balas terhadap hasrat ke arah masa depan yang lestari, memulakan usaha tersebut dengan pejabat tapak utama pembinaan, yang juga dikenali sebagai The Cubic. Aspirasi projek adalah untuk mencapai pensijilan Double-Platinum oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan LEED USA sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS. Perjalanan ke arah pensijilan Platinum diperteguh melalui pencapaian tahap Reka Bentuk Platinum oleh Panel Akreditasi GBI.
Ciri-ciri bangunan lestari telah diterapkan dalam reka bentuk The Cubic. The Cubic dibina dengan menggunakan bekas kabin yang diubah suai untuk memudahkan pergerakan udara dan dilengkapi Panel Solar Fotovoltaik yang dapat memenuhi permintaan tenaga sebanyak 73 KWp. Melalui kerjasama dengan VERITAS, syarikat reka bentuk seni bina pelbagai disiplin, struktur seperti tempat kerja dilengkapi barangan dan bahan yang diguna semula. The Cubic juga dilengkapi sistem pengumpulan air hujan untuk kegunaan bilik air dan pengairan.
Usaha kelestarian turut dijadikan sebahagian daripada skop kerja, seperti penekanan terhadap "3R - Reduce, Reuse & Recycle" pada bahan yang digunakan, komunikasi prosedur aduan dalam pelbagai bahasa kepada pekerja, interaksi dengan komuniti tempatan dalam pengurusan kantin, serta penglibatan dalam aktiviti sukan bersama-sama dengan perunding dan kontraktor.
Tujuan Kampus ini adalah untuk "Menginspirasikan Pemimpin untuk Berkembang". Dengan ruang-ruang ditampilkan yang menggalakkan kerjasama sosial dan pengalaman pembelajaran inovatif untuk menyokong budaya kerja PETRONAS. Kampus ini juga mencerminkan inti pati kelestarian yang mendukung Agenda Kelestarian PETRONAS.
Meningkatkan Akses kepada Tenaga Bersih
Sebagai peserta LNG global yang bersepadu sepenuhnya, kami mencipta nilai bagi pelanggan kami dengan memperkenalkan penyelesaian yang disesuaikan dan lestari untuk memenuhi keperluan tenaga mereka. Kami merintis kerjasama domestik penyedia perkhidmatan bunkering LNG melalui kerjasama kami dengan Avenir LNG Ltd untuk mempromosikan LNG sebagai bahan api marin pilihan dan menyediakan perkhidmatan pemindahan LNG dari kapal ke kapal bagi pelanggan dengan keperluan tenaga yang lebih kecil. Pada tahun 2020, kami menubuhkan Sistem Talian Paip Maya, satu penyelesaian untuk mengangkut LNG melalui trak ke pelanggan luar grid yang terletak jauh dari paip utama, serta kepada pelanggan skala kecil. Penyelesaian-penyelesaian ini berganding bahu untuk menjadikan LNG bahan api yang lebih bersih dan lebih mudah diakses kepada seluruh dunia. Justeru, bersama-sama kita dapat mengurangkan pelepasan karbon.
Bekerjasama untuk Ekonomi Plastik Baharu
Melalui anak syarikat petrokimia kami, PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (PCG), kami sedang melakar pertumbuhan lestari dengan menyeimbangkan matlamat perniagaan dengan keperluan alam sekitar. Untuk memperkukuh agenda kelestarian kami, PCG telah memperkenalkan inisiatif Ekonomi Plastik Baharu (New Plastics Economy, NPE), iaitu sebuah program holistik yang bertujuan mengubah sisa plastik menjadi sumber bernilai untuk dikitar semula ke dalam ekonomi pusingan. Melalui pendekatan empat aspek yang meliputi pendidikan, inovasi, infrastruktur, dan pembersihan di bawah program NPE, PCG berhasrat untuk memberikan pengetahuan dan gerak laku yang betul, bekerjasama untuk sistem pemulihan sisa yang lestari, dan membangunkan penyelesaian bagi masalah pencemaran plastik yang semakin meningkat di Malaysia. PCG juga mengambil peranan kepimpinan dalam membentuk masa depan inisiatif ekonomi pusingan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Alam Sekitar dan disokong oleh ahli Malaysia Plastic Pact, termasuk Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA).
Pemuliharaan 30,000 Hektar Hutan Hujan
Dengan kerjasama Yayasan Sabah, kami telah melabur lebih RM83 juta untuk pemuliharaan kawasan Imbak Canyon sejak tahun 2010. Imbak Canyon merupakan habitat kepada 82 spesies haiwan, 242 spesies burung dan lebih 50 spesies tumbuhan perubatan, dan dianggap sebagai kawasan hutan simpanan Kelas-1. Keadaannya yang tidak tercemar juga menjadikannya sesuai untuk penyelidikan dalam penyelesaian lestari alam sekitar seperti pengurangan karbon. Kami juga telah menubuhkan Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon (Imbak Canyon Conservation Area, ICCA), yang terlibat dalam penyelidikan, penghutanan semula (reforestation), pendidikan awam dan latihan peneraju masa depan.
1,500 Bebola Terumbu Memupuk Biodiversiti Marin
Melalui projek Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (Biodiversity, Environmental, and Conservation, BEACON), PETRONAS (melalui MLNG Sdn Bhd) dan Sarawak Forestry Corporation telah membina 1,500 unit bebola terumbu buatan di kawasan lebih a 120 km2 di perairan Taman Negara Similajau, luar pesisir pantai Bintulu, Sarawak dari tahun 2013 hingga 2015. Bebola terumbu ini melindungi habitat penting hidupan laut terancam daripada aktiviti memancing haram. Bebola terumbu ini menyerupai batu kapur dan telah membantu terumbu karang untuk menjana semula dan kini sepenuhnya dilindungi oleh lebih 10 spesies karang keras, yang menjadi tempat tinggal sotong, ketam, udang, siput laut, siput, kerang dan pelbagai spesies ikan. Selain itu, usaha ini telah menyaksikan kura-kura hijau bertelur kembali di Taman Negara Similajau selepas menghilang selama tujuh tahun.
Selain meningkatkan stok ikan dan mengekalkan mata pencarian nelayan tempatan, projek BEACON juga bertujuan memberikan pendidikan kepada orang ramai mengenai kepentingan memulihara biodiversiti hidupan. Usaha ini dilakukan melalui program seperti pembersihan terumbu dan pembersihan pantai secara berkala bersama pihak berkepentingan dan masyarakat setempat.
11,000 meter persegi Hutan Bakau yang Mengujakan
Program Pusat Pendidikan EcoCare (EcoCare Education Centre, EEC) kami menerajui inisiatif Pemuliharaan Bakau, yang telah menjadi kegiatan berterusan dalam kalangan masyarakat setempat. Usaha ini penting dalam memelihara biodiversiti kawasan paya bakau yang kaya di kawasan operasi loji kami selain membentuk semangat sukarelawan dalam aktiviti lestari.
Ditubuhkan pada tahun 2013, EEC merupakan pusat alam sekitar pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia. Pusat ini menampilkan paparan, pameran, dan maklumat yang berkaitan dengan ekosistem Sungai Kerteh. Suatu kerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society, MNS), EEC telah menjadi tempat yang popular untuk penyelidik serta pelajar universiti yang menjalani latihan industri. Pada tahun 2019, lebih 4,000 pengunjung telah menyertai inisiatif kami untuk menanam lebih 6,000 pokok yang menutupi kawasan seluas 2,500 meter persegi di sepanjang Sungai Kerteh, Terengganu.
Know more about PETRONAS
Pelesenan dan Perolehan di Malaysia
Maklumat mengenai pelesenan dan pendaftaran untuk vendor yang berpangkalan di Malaysia.