Hak Cipta © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(20076-K).
Hak Cipta Terpelihara.
KOTA KINABALU, 4 Ogos 2025 – PETRONAS hari ini menyampaikan tajaan pendidikan kepada lebih 100 pelajar cemerlang dari Sabah, dengan jumlah penajaan yang diperuntukkan bernilai RM28 juta di bawah program Memperkasakan Ilmu.
Pelajar-pelajar lepasan SPM 2024 yang datang daripada pelbagai latar belakang itu, menerima tajaan penuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, pemasaran, serta kursus-kursus lain yang relevan di Universiti Teknologi PETRONAS dan institusi pengajian tinggi terkemuka tempatan serta antarabangsa di United Kingdom, Australia, Jepun, dan Korea Selatan.
Proses pemilihan dilakukan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan yang diterima dari seluruh negara, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Majlis penyampaian tajaan disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, diiringi Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Panglima Hajiji mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PETRONAS kerana terus komited dalam membangunkan modal insan di Sabah melalui program-program pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti.
“Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 memberikan penekanan yang serius kepada pembangunan modal insan. Saya yakin dengan melabur dalam pendidikan dan pembangunan belia Sabah, PETRONAS turut membantu negeri ini membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif. Menerusi usaha berterusan ini, kita dapat melihat lebih ramai anak-anak Sabah memasuki bidang kemahiran seterusnya membantu dalam pembangunan negeri ini,” katanya.
Selain tajaan pendidikan peringkat ijazah, majlis hari ini turut meraikan 20 penerima tajaan baharu bagi kursus Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi dan Kawalan Industri di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Majlis turut menyaksikan penyerahan pengiktirafan rasmi Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran kepada KTC bagi kursus diploma yang ditawarkan. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa latihan kemahiran yang ditawarkan KTC memenuhi piawaian kebangsaan dan kehendak industri.
PETRONAS turut memperluas akses pendidikan peringkat menengah melalui penyampaian Biasiswa Kecil PETRONAS kepada 29 lagi pelajar Sabah bagi sesi 2025/2026 menjadikan jumlah keseluruhan penerima tahun ini seramai 40 orang. Sejak diperkenalkan pada tahun 2023 menerusi kerjasama antara PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dan Yayasan Sabah, sejumlah 120 pelajar telah menerima manfaat daripada inisiatif itu.
Sebagai anak jati Sabah, Datuk Ir Bacho berbangga melihat generasi muda negeri ini terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin serta mendapat pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka.
Beliau berkata, “PETRONAS percaya bahawa pendidikan adalah pelaburan paling berharga. Ia membentuk pemikiran, membina jati diri, seterusnya membuka jalan ke arah pembangunan negeri yang lebih makmur. PETRONAS beriltizam untuk terus menyokong aspirasi Sabah ke arah membina masa depan yang inklusif dan mampan.”
Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar di seluruh negara telah menerima tajaan pendidikan PETRONAS. Di Sabah, PETRONAS giat melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan kemahiran bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta membina kapasiti tenaga kerja tempatan yang berdaya saing.
PETRONAS akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan rakan-rakan strategik lain dalam memacu pembangunan modal insan demi masa depan negeri yang lebih makmur, inklusif dan mampan.