PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

Kelestarian

Pendekatan Kami Dalam Kelestarian

Tujuan kami adalah untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampan

  • Tadbir Urus Kelestarian
  • Materialiti Kami
  • Keahlian dan Pertubuhan

Tadbir Urus Kelestarian Kami

Komitmen kami terhadap kelestarian bermula daripada asas operasi kami dan meluas ke seluruh nilai rantaian. Kami memahami bahawa negara-negara menghadapi tiga isu utama dalam tenaga, iaitu kebimbangan berhubung dengan keselamatan, kemampuan, dan kelestarian yang sememangnya memerlukan pelbagai penyelesaian yang di luar kotak. Oleh itu, pendekatan kolektif antara kerajaan, peserta tenaga, sektor awam dan juga swasta adalah penting. Dengan kerjasama erat, kami dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mencapai masa depan yang lestari dan rendah karbon dengan cara yang adil dan bertanggungjawab.

Untuk memastikan akauntabiliti dan integriti, kami telah mewujudkan struktur tadbir urus khusus dengan garis pelaporan yang jelas untuk mendorong strategi, pelan tindakan, dan inisiatif kelestarian kami. Struktur ini memastikan bahawa prinsip dan keutamaan kelestarian kami adalah bersepadu sepenuhnya di seluruh organisasi, diterapkan dalam pembuatan keputusan dan pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan dengan kelestarian kami. Dengan struktur ini, kami menggariskan peranan dan tanggungjawab secara jelas, sekali gus membolehkan pengawasan, pembuatan keputusan, dan pelaksanaan yang berkesan.

Jawatankuasa
Kelestarian Kami

diagram-1

Struktur Tadbir Urus
Kelestarian PETRONAS

diagram-2

Pengawasan Lembaga Pengarah

Lembaga pengarah kami telah mengambil peranan yang aktif dalam perbincangan perkara- perkara berkaitan dengan perubahan iklim kerana kami sedar akan risiko dan peluang perubahan iklim terhadap perniagaan kami. Kami akui bahawa perubahan iklim merupakan isu perniagaan yang kritikal, yang menyumbang kepada pelbagai risiko dan peluang. Kami mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk meningkatkan kelestarian, terutamanya perbincangan yang berkaitan dengan perubahan iklim pada peringkat Lembaga Pengarah, untuk membentuk hala tuju strategik jangka panjang syarikat. 

Baca selanjutnya mengenai aktiviti utama oleh Lembaga Pengarah di sini.

 

diagram-3

 


 

Penilaian Materialiti

Kami menggunakan penilaian materialiti bukan kewangan untuk memberikan maklumat tentang keutamaan dan penzahiran kelestarian kami yang mengenal pasti topik-topik yang paling penting kepada pihak berkepentingan kami dan mempunyai impak yang paling besar terhadap perniagaan kami.

icon-

 

 

Proses

2021 - Penilaian Materialiti Penuh

2022 – Pengesahan Semula Penilaian Materialiti

Pengenalpastian

 

Analisis komputer meja dalaman merangkumi pelbagai sumber dalaman dan luaran:

  • Kerangka dan standard pelaporan
  • Strategi dalaman, dasar, proses dan dokumen
  • Perundangan yang berkaitan dinegara-negara tempat kami beroperasi
  • Trend khusus industri kebangsaan dan hasil kaji selidik
  • Agensi penilaian dan penandaarasan ESG
  • Penandaarasan rakan setara

Alatan berasaskan data untuk merangkumi sumber-sumber baharu:

  • Peraturan sedia ada dan yang sedang berkembang
  • Media
  • Piawaian Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian (SASB)

Penglibatan Pihak Berkepentingan

 

Proses Pengesahan melalui temu bual dan tinjauan dengan pihak berkepentingan:

  • Wakil pekerja termasuk pemimpin kesatuan
  • Badan-badan kerajaan dan pengawalseliaan
  • Kedutaan, suruhanjaya tinggi, dan wakil-wakil luar negara
  • Komuniti dan pelanggan
  • Media
  • Pelabur, agensi penarafan kredit, dan institusi kewangan
  • Rakan kongsi industri, pakatan dan majlis perniagaan
  • Organisasi bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan kepentingan khas
  • Institusi pendidikan

Maklum balas mendalam daripada pihak berkepentingan luar, termasuk:

  • Pelabur, bank, dan agensi penarafan
  • Tinjauan Indeks Kekuatan Reputasi

Pengutamaan

 

Kami memberikan keutamaan kepada topik-topik yang dikenal pasti berdasarkan dua bidang utama - kepentingannya kepada pihak berkepentingan dan kesan terhadap perniagaan kami. Kriteria pengutamaan termasuk:

  • Kejadian dalam pengaduan
  • Topik yang ditekankan oleh pelabur dan penilaian agensi penarafan
  • Perbincangan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah dan Kumpulan Kepimpinan Eksekutif
  • Penyelarasan dengan elemen risiko dalam Profil Risiko Korporat

Kriteria pengutamaan termasuk:

  • Penyelarasan dengan strategi dan bidang tumpuan
  • Perbincangan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah dan Kumpulan Kepimpinan Eksekutif
  • Penyelarasan dengan elemen risiko dalam Profil Risiko Korporat

Alatan berasaskan data untuk menilai serta mengutamakan materialiti kewangan dan materialiti impak.


Kelulusan dan Pengesahan

 

Diluluskan oleh Jawatankuasa Kelestarian dan disahkan oleh Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kelestarian

 

 

 

 

 

diagram-3

 

 

Pada tahun 2022, matriks materialiti kami telah mengalami beberapa pergerakan topik, menandakan perubahan dalam kepentingannya kepada pihak berkepentingan dan impak kepada perniagaan kami.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Laporan Bersepadu kami di sini.

 

 

Materialiti Berganda

Melalui pendekatan materialiti berganda, kami mempertimbangkan impak kewangan dan kelestarian daripada topik-topik material kami. Pendekatan ini membolehkan kami memahami implikasi kewangan daripada risiko dan peluang kelestarian dan bagaimana implikasi ini mungkin mempengaruhi prestasi kewangan jangka panjang kami.

Maklumat lanjut tentang kepentingan berganda kami boleh diperoleh melalui Laporan Bersepadu kami di sini.

diagram-3

 

Topik-topik material ialah suatu aspek penting dalam strategi penciptaan nilai dan pertumbuhan kami. Dengan menangani topik-topik ini, kami dapat berada di hadapan tren-tren baharu, tuntutan pelanggan yang semakin berkembang, dan pelbagai cabaran lain berdasarkan persekitaran operasi kami.

Topik Material

Penerangan

Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG)

Pendekatan kami untuk merealisasikan hala tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 dipandu oleh empat pendorong utama dekarbonisasi kami - pembakaran dan pelepasan rutin sifar, kecekapan tenaga, elektrifikasi, dan penangkapan serta penyimpanan karbon. Selain itu, kami terus meningkatkan kuantifikasi pengukuran untuk mengurangkan pelepasan metana daripada operasi kami bagi mengehadkan kesan GHG dalam jangka masa yang lebih dekat. Kami juga mengambil inisiatif kerjasama dengan rakan-rakan industri. Kami memberikan tumpuan untuk memahami dengan lebih jelas penggunaan tenaga dalam syarikat dan di seluruh rantaian nilai kami bagi menyokong usaha pengurangan pelepasan kami.

Risiko Perubahan Iklim

Matlamat kami adalah untuk memperkukuh daya tahan PETRONAS terhadap risiko perubahan iklim fizikal dan peralihan, di samping meraih peluang yang terdapat dalam peralihan kepada ekonomi karbon rendah. Kami sedang aktif menyelidik langkah-langkah adaptasi dan daya tahan, serta sistem tadbir urus yang relevan untuk mengurus risiko dan peluang yang berkaitan dengan iklim, seperti yang dicadangkan oleh Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD).

Pengurusan Persekitaran

Melindungi dan memulihara alam sekitar akan mengurangkan kesan operasi kami kepada alam sekitar, sejajar dengan peranan kami sebagai pelindung alam sekitar. Hal ini juga akan memastikan kesejahteraan jangka panjang perniagaan kami dan masyarakat di sekeliling kami. Kami mengenal pasti dan menilai kesan alam sekitar daripada operasi kami dan memberikan tumpuan untuk menguruskan sumber-sumber kami secara lestari. Hal ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) mengurangkan kesan pelepasan, mencipta strategi pengurusan sisa dan air yang bertanggungjawab, mencegah tumpahan, dan menyiapkan aset kami dengan cara yang selamat dan lestari.

Alam Semula Jadi dan Biodiversiti

Ketidakupayaan kami untuk memulihara serta melindungi alam semula jadi dan biodiversiti boleh memberikan kesan kepada keupayaan kami untuk mencapai matlamat perniagaan kami dan hala tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 kami. Memandangkan perubahan iklim menyumbang secara ketara kepada kehilangan biodiversiti dan boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan, kami tekad untuk lebih memahami hubungan dan kebergantungan kami pada alam semula jadi untuk meningkatkan pengawasan terhadap jejak alam semula jadi dan biodiversiti kami.

Pengurusan Keselamatan

Mengurus keselamatan pekerja kami terus menjadi keutamaan penting kerana perkara ini dapat memastikan bahawa kami melindungi pekerja dan kontraktor kami daripada sebarang kemudaratan atau kecederaan. Dalam usaha mencapai kecemerlangan operasi, kami menjalankan amalan pengurusan risiko proaktif di seluruh perniagaan dan operasi kami untuk menyediakan keadaan bekerja paling selamat yang mungkin dan pada masa yang sama memastikan aset kami diselenggarakan dengan baik secara berterusan.

Hak Asasi Manusia

Kami tekad dalam menghormati hak asasi manusia dalam kalangan pembekal, kontraktor, rakan kongsi, dan masyarakat tempatan di tempat kami beroperasi dengan mewujudkan dan melaksanakan dasar dan amalan hak asasi manusia. Secara berkala kami mengkaji semula dasar dan amalan kami untuk menangani isu-isu hak asasi manusia seperti buruh paksa, perdagangan manusia, perhambaan moden, syarat kerja yang adil, dan tiada diskriminasi. Kami juga telah mula menerapkan amalan penilaian usaha wajar hak asasi manusia dalam sistem dan fungsi kami di seluruh rantaian nilai kami, termasuk tindakan-tindakan pemulihan.

Tarikan, Pengekalan, dan Pembangunan Pekerja

Memandangkan landskap yang berubah secara dinamik dan peralihan tenaga yang sedang berlaku, kami memerlukan bakat yang bersedia untuk masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran yang tepat untuk merealisasikan strategi kami dan memacu daya tahan perniagaan dalam jangka panjang. Pelaburan dalam bakat yang berprestasi tinggi adalah penting, terutamanya dalam persekitaran persaingan yang semakin sengit untuk kemahiran. Matlamat kami adalah untuk terus menarik dan mengekalkan bakat terbaik dengan menyediakan pengaturan kerja yang fleksibel, mencipta peluang untuk memupuk potensi individu, dan melaksanakan pampasan yang adil dan saksama yang selari dengan prestasi berdasarkan ganjaran. Kami juga berusaha untuk mencipta tempat kerja yang adil dan inklusif dengan menyokong layanan yang sama terhadap semua pekerja tanpa mengira jantina, umur, latar belakang budaya, kemahiran, bangsa, dan agama.

Kesihatan dan Kesejahteraan

Kami memberikan penekanan yang besar dalam melindungi semua pekerja dan kontraktor kami daripada bahaya berkaitan dengan kerja serta menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan yang baik dalam kalangan tenaga kerja kami dan masyarakat yang lebih meluas. Adalah penting untuk mencipta budaya kerja yang selamat dan kondusif, kerana kesihatan dan kesejahteraan pekerja kami secara langsung mempengaruhi prestasi jangka masa panjang kami. Kami menjalankan penilaian risiko, memperkenalkan kawalan yang mencukupi, dan melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan dan kecergasan yang membantu dalam menangani kesihatan fizikal dan mental pekerja kami dan keluarga mereka.

Tadbir Urus Korporat

Adalah penting bagi kami untuk mengamalkan dan menjunjung piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, iaitu faktor utama dalam menentukan daya tahan perniagaan dan pertumbuhan jangka panjang. Antara keutamaan utama kami termasuklah memastikan amalan tahap tadbir urus yang tertinggi dalam struktur, dasar, dan strategi dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelestarian. Hal ini juga merangkumi strategi dan hala tuju kami dalam merealisasikan hala tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 kami.

Anti Rasuah dan Sogokan

Kami percaya bahawa penciptaan asas yang kukuh berdasarkan etika dan integriti akan memacu nilai-nilai bersama dan saksama dalam kalangan pihak berkepentingan. Kami perlu melindungi operasi dan perniagaan kami daripada apa-apa bentuk rasuah dan tingkah laku yang tidak beretika. Sepanjang rantaian nilai, kami sangat menggalakkan amalan perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab serta pematuhan terhadap piawaian dan panduan dalam kalangan pekerja, rakan kongsi perniagaan, pembekal, kontraktor, dan pihak perantara lain. Kami melakukannya dengan rapi serta mematuhi Dasar Anti Rasuah dan Sogokan PETRONAS serta Kod Tatakelakuan dan Etika Perniagaan (CoBE) PETRONAS.

Perniagaan Rendah Karbon dan Peralihan Tenaga

Dalam menangani cabaran iklim, kami terus memperkukuh usaha kami dalam perniagaan rendah karbon dan peralihan tenaga kerana hal ini membolehkan kami melangkah keluar daripada tunjang perniagaan kami dan mengembangkan perniagaan baharu untuk merealisasikan hala tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 kami. Hal ini termasuklah tumpuan kami terhadap gas semula jadi sebagai bahan api dengan intensiti karbon yang lebih rendah daripada bahan api lain; dan peluang pertumbuhan perniagaan lain seperti tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau, bahan kimia khas, dan biodiesel. Usaha kami ditumpukan untuk mencapai keseimbangan dalam keselamatan tenaga, kemampuan dan kelestarian, dengan mempertimbangkan dasar, matlamat, instrumen perakaunan, dan teknologi terkini yang memudahkan peralihan tenaga.

Sumbangan Ekonomi

Kemampuan kami untuk mendorong pertumbuhan perniagaan jangka panjang berjalan seiring dengan kemakmuran pasaran dan masyarakat di tempat kami beroperasi. Matlamat kami adalah untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang memberikan faedah kepada semua lapisan masyarakat dengan menjana nilai ekonomi melalui produk dan perkhidmatan kami, membayar dividen modal, membayar upah dan cukai, sambil menjana peluang sosial, komersial, dan pekerjaan untuk penduduk tempatan. Kami juga menyediakan bantuan terutamanya dalam waktu krisis melalui dana, usaha sukarela, dan produk atau perkhidmatan dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Kami berusaha untuk memastikan bahawa PETRONAS bertanggungjawab dan telus dalam amalan cukai, yang ditadbir oleh peraturan cukai tempatan atau serantau yang terpakai.

Rantaian Penawaran Lestari

Kami memberikan perhatian rapi kepada pengurusan rantaian bekalan secara keseluruhan, tanggungjawab produk, dan perolehan memandangkan hal demikian mengurangkan risiko yang memberikan kesan kepada alam sekitar, masyarakat, dan ekonomi. Hal ini memastikan kelestarian dan keselamatan produk kami sepanjang seluruh kitaran hayat. Untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, kami terus memperkukuh usaha untuk menggalakkan dan menyokong pembekal tempatan, jika mungkin dan berkenaan. Kami juga berkongsi amalan kerja global dengan entiti serantau dan tempatan untuk menyokong ekonomi tempatan.

Inovasi dan Teknologi

Kami menerapkan inovasi melalui pelaksanaan rangka kerja dan langkah-langkah dalaman yang menggalakkan amalan mencabar status quo dalam reka bentuk produk dan operasi untuk menjana penyelesaian baharu yang meningkatkan kelebihan kompetitif dan reputasi jenama kami. Hal ini termasuklah membangunkan serta menggunakan teknologi maju dan inovasi digital untuk menjana proses perniagaan baharu, termasuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan pihak berkepentingan lain. Dalam pendekatan kami, kami menggunakan inovasi dan teknologi di seluruh operasi dan perkhidmatan kami untuk mempercepat pertumbuhan dan penawaran perniagaan kami.

Ekonomi Pusingan

Aspirasi jangka panjang kami adalah untuk meminimumkan atau menghapuskan kesan negatif alam sekitar sesuatu produk dengan menghapuskan pembaziran dan mengurangkan penggunaan bahan. Kami juga ingin mengurangkan pencemaran plastik dengan mengamalkan kitar semula dan penggunaan semula, kerana hal ini mencipta peluang untuk inovasi dan pengurangan penjanaan sisa. Model ekonomi pusingan menggalakkan penciptaan sistem litar tertutup yang membolehkan sisa daripada satu proses menjadi input untuk proses yang lain. Matlamat kami adalah untuk menuju masa depan rendah sisa, mengurus sumber alam semula jadi, dan meminimumkan jejak karbon kami sambil mencipta nilai.

 

 

 

 


 

 

Keahlian dan Pertubuhan

Kami mengambil bahagian secara aktif dalam pertubuhan, acara, dan keahlian profesional dengan tujuan untuk memperkukuh usaha kelestarian kami. Melalui pelbagai platform ini, kami dapat saling bertukar pengetahuan tentang amalan terbaik untuk memacu agenda kelestarian di dalam dan di luar operasi kami. Hal ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami terhadap pembangunan negara Malaysia dan penciptaan impak positif merentas pelbagai industri dan masyarakat.

IETA
 
 
Persatuan Industri / Acara / Penglibatan Sumbangan / Peranan Kepimpinan

CEO Action Network (CAN)

CAN ialah rangkaian rakan kepada rakan (P2P) yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ahli Lembaga Pengarah yang memberikan tumpuan pada sokongan kelestarian, pembangunan kapasiti, tindakan, dan prestasi. CAN merangkumi 62 perniagaan terkemuka yang mewakili lebih 20 sektor perniagaan di Malaysia.

Penglibatan:

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik memegang jawatan pengerusi CAN pada tempoh 2021-2022.

Pada tahun 2022, di bawah kepimpinan PETRONAS sebagai pengerusi dan kolaborasi bersama Climate Governance Malaysia (CGM), CAN telah mengadakan siri meja bulat untuk menentukan cadangan dasar yang bertujuan meningkatkan usaha kelestarian dan aspirasi iklim negara.

World Business Council for Sustainable Development (WBCSD)

World Business Council for Sustainable Development (WBCSD) merupakan sebuah komuniti yang diketuai oleh CEO yang terdiri daripada lebih 200 perniagaan terkemuka di seluruh dunia yang berusaha untuk mempercepat transformasi yang diperlukan bagi masa depan sifar bersih, positif terhadap alam sekitar, dan lebih adil.

Penglibatan:

PETRONAS menyertai WBCSD pada tahun 2020 untuk mempengaruhi strategi dan penempatan kelestarian serta memperluas jangkauan global. PETRONAS juga merupakan ahli Business Council for Sustainable Development (BCSD) Malaysia.

PETRONAS diwakili dalam WBCSD melalui Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kami, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik sebagai ahli majlis, dan melibatkan ahli- ahli lain daripada Barisan Kepimpinan Eksekutif kami melalui penyertaan langsung dalam rangkaian CFO WBCSD dan The Business Commission to Tackle Inequality, selain penyertaan peringkat kerja dalam pelbagai aktiviti program WBCSD.

Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Business Advisory Council (ABAC)

ABAC (APEC Business Advisory Council) merupakan bahagian sektor swasta dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang terdiri daripada pegawai- pegawai peringkat tinggi dari 21 negara anggota, yang berdedikasi untuk menasihati pemimpin dan pegawai APEC lain mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan perniagaan.

Sumbangan:

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik ialah ahli ABAC yang memainkan peranan dalam membentangkan cadangan kepada Pemimpin APEC dalam dialog tahunan dan menasihati pegawai APEC tentang keutamaan dan kebimbangan sektor perniagaan.

Sebagai pengerusi bersama Kumpulan Kerja Kelestarian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS mencadangkan usul mengenai pengukuhan daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi rendah karbon, yang antara lain, dimasukkan dalam Laporan Tahunan 2022 daripada APEC Business Advisory Council (ABAC) kepada Pemimpin Ekonomi APEC.

International Emissions Trading Association (IETA)

International Emissions Trading Association (IETA) ialah sebuah pertubuhan perniagaan global bukan berasaskan keuntungan yang memainkan peranan menyokong yang penting dalam mewujudkan sistem perdagangan berasaskan pasaran yang berkesan bagi pelepasan dan pengurangan gas rumah hijau (GHG) untuk menggalakkan penyelesaian berdasarkan pasaran bagi perubahan iklim.

Sumbangan:

PETRONAS menjadi ahli IETA pada bulan Jun 2022. Melalui penyertaan kami dalam kumpulan kerja, pasukan petugas, dan inisiatif IETA, PETRONAS memperkukuh kapasiti dalaman kami dan membina keupayaan dalam pasaran karbon dan instrumen penentuan harga karbon.

 

 

Perjanjian / Penandatangan

Methane Guiding Principles (MGP)

Methane Guiding Principles (MGP) telah dibangunkan secara kolaboratif oleh gabungan industri, institusi antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan akademik. MGP merupakan perkongsian sukarela antarabangsa yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan antara industri dengan pertubuhan bukan industri, dengan tumpuan pada tindakan sepanjang rantaian nilai gas asli, daripada pengeluaran sehingga kepada pengguna akhir.

Sumbangan:

Pada tahun 2020, PETRONAS menjadi anggota penandatangan Prinsip Panduan Metana (Methane Guiding Principles, MGP). Pada tahun 2022, PETRONAS secara terbuka melaporkan kemajuan kami selaras dengan lima (5) prinsip MGP mengenai pendekatan kami dalam pengurusan metana yang berkesan.

Inisiatif Sifar Pembakaran Rutin oleh Bank Dunia menjelang tahun 2030.

Inisiatif ini mewajibkan kerajaan dan syarikat-syarikat minyak untuk menghentikan pembakaran rutin gas secara sepenuhnya menjelang tahun 2030, dengan tujuan untuk menyokong kerjasama antara semua pihak berkepentingan yang relevan supaya penyelesaian bagi pembakaran gas dapat ditemukan melalui pengawalan yang sesuai, penggunaan teknologi, dan pengaturan kewangan.

Sumbangan:

PETRONAS telah menyokong ikrar global untuk menghentikan pembakaran rutin gas menjelang tahun 2030, pada bulan November 2021, dengan matlamat untuk mengelakkan pembakaran rutin gas dalam pembangunan medan minyak baharu; dan untuk medan yang sedia ada, mencari penyelesaian yang berdaya maju dari segi ekonomi untuk menghapuskan tradisi pembakaran gas ini sesegera mungkin menjelang tahun 2030. PETRONAS menyumbang data pembakaran dan pelepasan gas untuk penyusunan laporan tahunan pembakaran gas global oleh Bank Dunia.

United Nations Environment Programme (UNEP) 's Oil & Gas Methane Partnership (OGMP2.0)

Oil & Gas Methane Partnership (OGMP2.0) yang dimiliki oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) merupakan inisiatif yang khusus untuk industri ini dan rangka kerja yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa untuk pengurusan pelepasan metana yang berkesan. OGMP2.0 menyediakan mekanisme bagi syarikat-syarikat untuk mengatasi dan melaporkan pelepasan metana secara sistematik.

Sumbangan:

PETRONAS menjadi anggota penandatangan OGMP2.0 pada bulan November 2022. Usaha dilaksanakan untuk meningkatkan pendekatan PETRONAS secara sistematik selaras dengan rangka kerja mengenai pengukuran, kuantifikasi, pelaporan pelepasan metana, dan pelaksanaan pemacu dekarbonisasi kami, terutamanya dalam menghentikan pembakaran rutin dan pelepasan gas, serta peningkatan kecekapan tenaga.

Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD)

Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD) menetapkan cadangan untuk penzahiran berkaitan iklim dan menyediakan rangka kerja untuk penzahiran mengenai risiko dan peluang jangka panjang yang berkaitan dengan perubahan iklim.

Sumbangan:

PETRONAS telah menyatakan sokongan umum bagi cadangan Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD) untuk memastikan lebih banyak ketelusan mengenai bagaimana kami mengendalikan risiko perubahan iklim. Kami akan memasukkan rangka kerja TCFD dalam penzahiran kami mulai tahun 2023 dan seterusnya.

World Economic Forum (WEF) Partnering Against Corruption Initiative (PACI) Signatories

Sebuah platform utama yang diketuai oleh CEO untuk memacu pencegahan rasuah secara global, berasaskan kerjasama antara sektor awam dengan swasta, kepimpinan yang bertanggungjawab, dan kemajuan teknologi.

Sumbangan:

PETRONAS menyertai PACI sebagai anggota penandatangan pada bulan Julai 2021, bersama-sama dengan 90 anggota penandatangan lain daripada pelbagai sektor di seluruh dunia. Dengan berbuat demikian, kami mempermantap toleransi sifar kami terhadap rasuah dalam semua bentuknya dan turut menyertai inisiatif tindakan bersama untuk meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap perniagaan, mewujudkan pasaran yang adil, dan menjamin keadilan dalam persaingan melalui usaha membanteras rasuah.

World Economic Forum Stakeholder Capitalism Metrics

Stakeholder Capitalism Metrics ("the Metrics") dilancarkan pada bulan September 2020 oleh International Business Council of the World Economic Forum. The Metrics merupakan rangka kerja penzahiran yang bertujuan mempermantap kemampuan syarikat dan pelabur dalam menanda aras kemajuan dalam hal-hal kelestarian, dan untuk meningkatkan ketelusan dalam penzahiran mengenai kelestarian.

Sumbangan:

PETRONAS telah menerapkan Metrics sebagai sebahagian daripada amalan pelaporan prestasi tahunannya.

International Renewable Energy Agency (IRENA) Alliance for Industry Decarbonization

Satu agensi antarabangsa global utama yang diketuai oleh kerajaan yang menyokong negara-negara dalam peralihan tenaga selain menyediakan data dan analisis mengenai teknologi, inovasi, dasar, kewangan, dan pelaburan.

Sumbangan:

PETRONAS menyertai Alliance for Industry Decarbonisation pada bulan November 2022 dengan tujuan untuk menggalakkan tindakan bagi dekarbonisasi dalam rantaian nilai industri dan meningkatkan pemahaman mengenai penyelesaian berasaskan tenaga boleh baharu serta penggunaannya oleh industri.

Dihoskan oleh PETRONAS

Rundingan Meja Bulat Sektor Tenaga Metana ASEAN

Siri meja bulat serantau untuk meningkatkan perbincangan, membentuk amalan, dasar, dan peraturan mengenai pelepasan metana di ASEAN dengan tujuan untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan melalui dialog bagi meningkatkan prestasi yang kukuh dan pengurusan pelepasan metana yang berkesan.

Sumbangan:

Pada tahun 2021, PETRONAS telah mengadakan sesi meja bulat pertama dalam kerjasama dengan PTT Public Company Limited (PTT) dari Thailand dan PERTAMINA dari Indonesia, diikuti dengan penganjuran kedua pada tahun 2022. Sejak itu, aktiviti ini telah diperluas untuk melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan, dan sesi meja bulat ketiga telah diadakan di Thailand pada bulan Disember 2022, dengan kerjasama United States Agency for International Development (USAID) Smart Power Program (SPP), ASEAN Centre for Energy (ACE), dan Asia Natural Gas & Energy Association.

 

 

 


Ketahui Lebih Lanjut Tentang PETRONAS

 

  • Pelesenan dan Perolehan di Malaysia

    Maklumat mengenai pelesenan dan pendaftaran untuk vendor yang berpangkalan di Malaysia.

    Baca Lebih Lanjut

  • Peluang Kerjaya

    Ayuh maju bersama-sama, dengan alatan dan rangka minda yang tepat. Apabila diperkasakan, segala-galanya boleh direalisasikan.

    Baca Lebih Lanjut

  • Berhubung Dengan Kami

    Daftar untuk mendapatkan kemas kini melalui e-mel dan menjadi yang pertama untuk mengetahui perkembangan terkini PETRONAS.

    Langgan Sekarang

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots